PETALING JAYA: Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) menawarkan Malaysia untuk menggantikan Victoria, Australia selaku tuan rumah penganjuran Sukan Komanwel 2026.
Presiden Persatuan Sukan Komanwel (CGA) Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, CGF membuat pelawaan rasmi kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan CGA Malaysia bulan lalu, malah MOM telah memulakan perbincangan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) agar mempertimbangkan tawaran tersebut.
Norza berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan pelawaan tersebut memandangkan tawaran itu adalah peluang terbaik untuk meletakkan Malaysia kembali di peta dunia sukan selepas menjadi tuan rumah Sukan Komanwel pada 1998.
“CGA Malaysia dan CGF sudah pun mengadakan perbincangan berhubung peluang Malaysia menjadi tuan rumah Komanwel 2026. Kali terakhir Malaysia menganjurkannya pada 1998 dan CGA Malaysia berpandangan kerajaan Malaysia perlu mempertimbangkan peluang sekali dalam seumur hidup ini.
“Dengan fasiliti bertaraf dunia, Malaysia bersedia untuk menjadi tuan rumah bagi temasya antarabangsa Komanwel yang melibatkan 74 negara. Penganjuran akan membabitkan perbelanjaan kerajaan yang minimum dan membawa faedah sosio-ekonomi ketara kepada negara.
“Taraf sukan Malaysia turut meningkat seperti apa yang berlaku selepas temasya 1998 dan untuk tujuan itu, CGF bersama CGA Malaysia sudah menawarkan cadangan yang menarik kepada kerajaan Malaysia,” kata Norza dalam satu kenyataan.
Pelawaan CGF itu turut hadir bersama suntikan dana sebanyak 100 juta pound (RM602 juta) bagi menganjurkannya.
Victoria yang sebelum ini bersedia menganjurkan temasya itu telah menarik diri dengan alasan peningkatan kos penganjuran daripada jangkaan awal AUD2.6 bilion (anggaran RM8.09 bilion) kepada AUD7 bilion (anggaran RM21.78 bilion.
Kerajaan Victoria juga dilaporkan bersetuju untuk membayar AUD380 juta (RM1.18 bilion) kerana melanggar kontrak, apabila tidak dapat menganjurkan temasya itu mengikut jadual bermula 17-29 Mac 2026. – UTUSAN










