Kala Pani, larangan berlayar merentas lautan

Kala Pani, larangan berlayar merentas lautan

PENJARA di Kepulauan Andaman diisytihar sebagai memorial kebangsaan pada 11 Februari 1979.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGENALAN awal saya kepada frasa kala pani ialah menerusi filem Malayalam berjudul Kaalapaani (1996) lakonan Mohanlal dan Prabhu. Ia mengisahkan sekumpulan pejuang kemerdekaan India dihantar ke Penjara Selular (Cellular Jail) di Kepulauan Andaman dan Nicobar pada 1915.

Terdahulu, filem Hindi berjudul Kala Pani (1958) pula mengenai watak lakonan Dev Anand mahu membela bapanya yang dituduh membunuh lalu dipenjarakan. Ia merupakan pembikinan semula filem Bengali berjudul Sabar Uparey (1955) dan berdasarkan pula novel Beyond This Place (1950).

Seterusnya, siri Kaala Paani (2023) di Netflix berkisar tentang penyakit misteri menyerupai Covid-19 melanda Kepulauan Andaman dan Nicobar pada 2027. Keseluruhan Andaman menjadi semacam ‘penjara’.

Penduduk Malaysia mungkin kurang mengenali dan memahami konteks nama berkenaan. Perkataan kaala mungkin disamakan dengan kata kala (masa, waktu) dalam bahasa kebangsaan kita. Peminat filem Hindi boleh meneka paani membawa makna air.

Kata kaala dalam Sanskrit sebenarnya membawa makna hitam. Maka, kalapani atau kaala paani bermakna air hitam. Istilah itu digunakan untuk merujuk penjara di Andaman yang dibina khas bagi menempatkan tahanan politik oleh penjajah British.

Kompleks penjara itu dibina pada 1896 tetapi Andaman sudah menjadi tempat pembuangan banduan jauh lebih awal. Misalnya, susulan pemberontakan menentang Syarikat Hindia Timur British pada 1857, sekitar 200 pejuang kemerdekaan dihantar ke pulau itu. Pada 1868, sejumlah 733 banduan dibawa dari Karachi. Banduan dari Burma (Myanmar) juga dihantar ke sana.

Sesiapa yang dihantar ke penjara itu dianggap tidak ada peluang untuk kembali ke tempat asal. Pelbagai kekejaman dan salah guna kuasa dilaporkan berlaku secara berleluasa. Artikel Cellular Jail: A Century of Sacrifices oleh R.V.R. Murthy di The Indian Journal of Political Science (Oktober 2006) memperincikan sejarah penjara kala pani yang diiktiraf sebagai memorial kebangsaan di India pada 1979.

Selain kedudukan strategik pulau dan penjara itu yang terpisah dari dunia luar, ada sebab lain British memilih Andaman sebagai lokasi menempatkan banduan politik dan pejuang kemerdekaan pada masa dahulu.

Untuk memahaminya, kita perlu kembali meneliti konsep asal kala pani dalam budaya India dan agama Hindu. Kita sedia maklum hakikat orang dari Benua Kecil India berlayar ke pelbagai negara termasuk Kepulauan Melayu selewat-lewatnya sejak kurun pertama.

Selepas British menjajah Malaya, ramai pula orang Tamil, Telugu, Punjabi dan Malayali dibawa untuk bekerja di ladang, membina jalan raya dan sebagainya sepertimana diperincikan dalam buku Suvarna Bhumi (2022) dan Dewi Pertiwi (2024).

Konsep kala pani dalam ajaran Hindu menyebut seseorang penganut hilang kedudukan sosial serta dianggap tidak lagi suci jika belayar merentas lautan.

Kertas kerja bertajuk Crossing the Kala Pani to Britain for Hindu Workers and Elites oleh Michael H. Fisher pada Persidangan Persatuan Sejarah Amerika (Januari 2013) memperincikan perkara ini.

Kesalahan bagi orang Hindu berlayar merentas lautan meninggalkan Benua Kecil India dinamakan Samudrolanghana dan hukum itu tercatat dalam teks Baudhayana Dharma Sutra.

Ada pelbagai alasan dan hujah diketengahkan pada masa silam untuk menegakkan konsep kala pani dan menghalang orang Hindu berlayar meninggalkan negara asal.

Misalnya, walaupun jika individu itu pulang ke India, dia dianggap sudah hilang segala hak dan kedudukan sosial yang pernah dimiliki dahulu. Dipercayai bahawa apabila seseorang meninggalkan tanah kelahiran, maka dia memutuskan rantai reinkarnasi atau kelahiran semula dalam budaya Hindu.

Tentulah segala hal ini dianggap kurang logik pada masa kini. Malah, kaum India beragama Hindu di Malaysia pada masa sekarang mungkin tidak tahu dan tidak lagi mempercayai amalan seperti ini.

Catatan ini hanya bertujuan membantu kita memahami budaya dan amalan masa silam.

Malah, kita tahu proses Indianisasi melibatkan agama Hindu dan Buddha berlaku di Kepulauan Melayu sejak lama dahulu.

Kehadiran orang India semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka, Gangga Negara yang disebut dalam Sejarah Melayu, Lembah Bujang di Kedah dan pelbagai monumen lain membuktikan secara tuntas kehadiran orang India di sini sejak zaman-berzaman.

Tulisan akademik oleh Crispin Bates dan Marina Carter di Journal of Indentureship and Its Legacies (September 2021), Aftab Nabi di Pakistan Horizon (Oktober 2018) serta Julia Sophie Dobson di Modern Asian Studies (November 2019) meneliti konsep dan sejarah kala pani secara lebih mendalam.

Dihuraikan bagaimana Swami Vivekananda dihalang memasuki kuil di India apabila pulang dari menghadiri persidangan agama sedunia di Chicago, Amerika Syarikat (AS) pada 1893.

Mahatma Gandhi pula diarah menjalani upacara penyucian sebaik pulang dari Afrika Selatan pada 1915. Seorang pedagang terkenal, Dwarkanath Tagore iaitu datuk kepada Rabindranath Tagore turut dipinggirkan saudara mara apabila pulang dari Eropah pada 1842.

Ternyata hukum dan larangan dalam teks agama tidak menghalang orang Hindu berlayar merentas lautan menuju ke negara-negara lain. Mungkin kerana mereka kurang yakin dengan alasan yang dinyatakan dalam teks berkenaan.

Tambahan pula, apabila orang India yang pergi berlayar pulang dengan selamat, maka orang lain mahu turut mencuba.

KONSEP BERBEZA
Di pihak penjajah British pula, pada mulanya mereka ternyata menggunakan konsep kala pani untuk menghukum banduan politik dan pejuang kemerdekaan India. Banduan dibawa ke Andaman, Malaya, Singapura, Australia dan sebagainya untuk dijadikan tenaga kerja percuma.

Kemudian, apabila British memerlukan tenaga buruh dari India di negeri-negeri selat dan negeri-negeri Melayu bersekutu, maka konsep kala pani dipinggirkan supaya lebih mudah memujuk dan membawa buruh ke Malaya.

Kalaulah budaya dan larangan kala pani diamalkan secara tegas oleh nenek moyang kaum India, tentulah wajah Malaysia pada hari ini tidak akan sama. Proses Indianisasi juga tentu tidak berlaku di Kepulauan Melayu.-UTUSAN

 

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN