Isu stoking kalimah Allah: Contoh integrasi yang gagal

Isu stoking kalimah Allah: Contoh integrasi yang gagal

ETNIK bukan Melayu dikehendaki fasih berbahasa Melayu selain memahami amalan Melayu, walaupun mempraktikkannya. – UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMIMPIN Cina yang tampil untuk menyelesaikan isu stoking yang tertera kalimah Allah, bukan sahaja mengeruhkan lagi keadaan, juga menunjukkan betapa jahilnya mereka terhadap aspirasi keagamaan etnik Melayu dan umat Islam. Ini pasti akibat daripada kurang, malah tiadanya integrasi bermakna oleh etnik Cina ke dalam struktur sosial Melayu untuk mengetahui etnik Melayu adalah kelompok etnoagama.

Kejahilan ini dapat dilihat dengan jelas sekali pada kenyataan pemimpin Cina yang menganggap isu stoking ini sebagai bersifat perkauman dan keagamaan yang sengaja ditunggang pihak tertentu. Selain ini, bantahan etnik Melayu dianggap sebagai hasutan daripada pemimpin Melayu tertentu yang bersuara lantang.

Sementelah ini, ada kenyataan yang semacam memberi amaran agar isu ini tidak perlu diperbesar-besar kerana dianggap hanya perkara kecil. Seterusnya ada pula yang mengatakan bahawa isu keagamaan akan muncul dari semasa ke semasa, justeru ia semacam perkara biasa sahaja yang boleh dikesampingkan.

Kesemua kenyataan pemimpin Cina itu betul-betul membuktikan tahap kejahilan yang amat sangat tinggi sehingga tidak mampu mengetahui agama adalah perkara yang paling penting dalam warisan budaya Melayu.

Kegagalan pemahaman ini antaranya boleh dikaitkan dengan latar semua pemimpin Cina itu dari pelbagai sisi, antaranya pendidikan asas mereka.

Perkara sesensitif begini tidak akan sesekali dilakukan etnik Cina yang berjaya diintegrasikan, apatah lagi yang diasimilasikan seperti yang terjadi pada Cina Kelantan dan Terengganu, baik yang peranakan mahupun yang bukan.

Integrasi yang berjaya melalui pergaulan bebas pada intensiti tinggi dan frekuensi kerap pasti akan menyedarkan etnik Cina tentang betapa sensitifnya isu yang berkaitan dengan agama Islam. Malangnya, perkara ini rata-ratanya tidak berlaku di seluruh negara dalam kalangan etnik Cina lain untuk memperlihat resam di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

Inilah kesan nyata daripada integrasi gagal yang didapati sengaja dibantutkan dengan keengganan untuk mengidentifikasikan diri pada tahap bermakna dengan etnik Melayu sebagai penduduk asal dan kelompok majoriti lagi dominan di negara ini.

Pengidentifikasian amat rendah ini tidak dapat dinafikan mempunyai implikasi negatif kepada perpaduan negara, khususnya dari segi hubungan etnik.

Semua perkara ini dititah oleh ketua negara yang mahu melihat adanya perubahan kepada masalah warganegara yang tidak cekap berbahasa negara dan juga yang tidak mengetahui budaya etnik lain untuk berperanan dengan baik dalam sebuah negara yang tuan miliknya ialah etnik Melayu.

SEKOLAH
Dengan ini, untuk terus tinggal di negara ini, etnik bukan Melayu dikehendaki melakukan beberapa perkara wajib, antaranya fasih berbahasa Melayu selain memahami amalan Melayu, kalau tidakpun mempraktikkannya.

Kesemua kewajipan ini hendaklah dipupuk dari usia muda lagi. Antaranya melalui sistem pendidikan negara yang mewajibkan kanak-kanak belajar bersekali semenjak kecil lagi untuk terus bersama-sama apabila dewasa nanti. Inilah semudah-mudahnya teori perpaduan negara yang tidak perlu pun dicipta oleh saintis roket. Itulah juga yang dititahkan.

Oleh sebab tiadanya pergaulan mencukupi yang disebabkan corak persekolahan kita yang membenarkan pengasingan etnik berlaku di peringkat sekolah rendah lagi, bukan sahaja pemisahan etnik wujud sehingga sudah menebal. Juga ia memudaratkan perpaduan negara ke tahap saling curiga kerana tidak cukup bergaul untuk mengenali dan memahami sesama kita yang pelbagai etnisiti.

Hujah kebanjiran murid bukan Cina semenjak sekian lama, khususnya Melayu di sekolah vernakular Cina, sering digunakan untuk mempertahan kejayaannya dari pelbagai sudut, antara yang terpenting ialah perpaduan etnik.

Jika ia benar, mengapakah murid Cina tidak juga-juga terintegrasi ke dalam struktur sosial Melayu yang asas menerusi murid Melayu yang ramai itu, untuk mengetahui lalu memahami pelbagai resam Melayu yang merupakan tunjang kebudayaan kebangsaan untuk negara ini.

Sehubungan isu stoking ini, mengapakah terdapat begitu banyak komen di media sosial yang rata-ratanya tidak peka langsung kepada sensitiviti agama umat Islam. Kegagalan menyedari bahawa etnik Melayu adalah kelompok etnoagama menunjukkan integrasi yang gagal, yakni tidak berlaku pun dengan berkesan, yang antaranya disebabkan adanya penentangan terhadapnya.

Hal penentangan ini dapat dilihat antaranya pada penolakan habis-habisan pelbagai saranan di sekolah vernakular untuk mempertingkat pengetahuan dan penguasaan bahasa Melayu selaku bahasa negara. Begitu juga dengan kegagalan gagasan sekolah wawasan yang disebabkan etnik Cina, yang tidak mahu menjayakannya atas alasan cauvinis yang sempit lagi tidak munasabah.

Sebenarnya kegagalan integrasi yang mahu disanggah dengan pelbagai pengakuan oleh etnik Cina, adalah tidak semudah itu. Ini kerana walaupun pengakuan mereka itu positif belaka, kelakuan mereka hampir kesemuanya membuktikan keadaan yang sebaliknya.

Etnik Cina harus mengubah sikap ke arah yang jauh lebih positif daripada yang ada kini, untuk pertama-tamanya lebih bersedia berintegrasi dengan etnik Melayu setelah sudah hampir 70 tahun negara ini tertubuh.

Hargailah integrasi kerana ia diingini, malah dituntut etnik Cina sendiri dengan janji untuk menerima kedudukan bahasa Melayu, Islam, keistimewaan etnik Melayu serta raja-raja Melayu. Jadi langsaikanlah bahagian kamu itu.-UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×