Impian Bearman buru slot Ferrari

Impian Bearman buru slot Ferrari

OLIVER BEARMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANGGAL 10 Februari 2024 me­rupakan tarikh yang tidak dapat dilupakan buat pelumba rookie Ferrari, Oliver Bearman apabila membuat penampilan sulung­nya di pentas Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Arab Saudi.

Daripada Formula Dua (F2), Bearman yang merupakan pemandu akademi Ferrari dipanggil menggantikan Carlos Sainz yang dirawat akibat apendiks dan berhasil menamatkan perlumbaan tempat ketujuh.

Meskipun hanya berusia 19 tahun, ia tidak mematahkan semangatnya untuk menamatkan perlumbaan di hadapan juara dunia tujuh kali dari Mercedes, Lewis Hamilton yang hanya menamatkan perlumbaan litar Jeddah di tempat kesembilan.

Bearman memulakan kariernya dengan hanya berlumba go-kart secara kompetitif se­awal usia 8 tahun selepas menurut serta dalam kejohanan Trent Valley Kart Club di Brandon, England.

Kecemerlangannya dalam bidang go-kart itu dibawa sehingga berusia 14 tahun apabila dia meraih kemenangan pada siri perlumbaan Kejuruteraan Pemotoran Amerika Itali (IAME) tahun 2019.

Dia kemudian berpindah ke saingan Formula Empat (F4) untuk menyertai kejuaraan Jerman, Amerika Syarikat (AS) dan tiga pusingan dalam perlumbaan di Itali bagi musim 2020.

Pelumba Britain itu, memulakan kempennya dalam siri Jerman bermula dengan penamat mata biasa dalam dua pusingan pertama, sebelum mencapai kemenangan sulungnya di Hoc­kenheimring, diikuti dengan dua podium lagi, masing-ma­sing satu di Nurburgring dan Oschersleben.

Perjalanan Bearman tidak terhenti di situ, selepas bertukar kepada pasukan Van Amersfoort Racing untuk melaksanakan tugas berganda dalam kedua-dua Kejohanan F4 Jerman dan Itali musim 2021

Beliau berhasil meraih gela­ran menerusi kejuaraannya di Jerman dan Itali selepas menghadapi musim yang sukar sekali gus menjadikannya pemandu pertama yang mencapai dua kejuaraan F4 berturut-turut dalam tempoh satu tahun.

Gelaran yang diraih olehnya semasa di peringkat F4 memberi sinar buat Bearman untuk bersaing pada Formula Tiga (F3) memandu dengan Premac Ra­cing bersama Arthur Leclerc iaitu adik kepada bintang Ferrari iaitu Charles Leclerc dan akhir_nya menamatkan kejuaraann F3 pada tempat ketiga.

Pada 14 November 2022, Bearman diumumkan sebagai pemandu Prema Racing untuk Kejuaraan Formula 2 (F2) 2023, bergandingan dengan pemandu junior Mercedes, Frederik Vesti selepas cemerlang dalam pe­ringkat F3.

Bearman menamatkan musim 2023 di tempat keenam dalam kejuaraan dengan 130 mata.

Dia berjaya memperoleh empat kemenangan, lima podium, dua petak pertama dan dua pusingan terpantas serta turut membantu Prema meraih tempat kedua dalam kejuaraan itu.

Bearman masih kekal bersama Prema Racing untuk musim 2024, yang mana rakan sepasukannya yang juga dari Mercedes junior Andrea Kimi Antonelli.

Semasa musim 2024 bermula, Bearman kekal bersama Premac menerajui pusingan pertama di Sakhir, Bahrain yang menyaksikan keputusan hambar selepas layak di petak ke-18 dan hanya menamatkan perlumbaan di tempat ke-15.

Bearman kemudian menca­tatkan masa pusingan terpantas semasa ujian kelayakan pusi­ngan kedua di Jeddah, Arab Saudi tetapi menarik diri untuk menggantikan Sainz dalam Grand Prix Arab Saudi, meninggalkannya di tempat terakhir dalam kejuaraan F2 selepas itu.

Selepas perlumbaan GP Arab Saudi, Bearman tekad untuk me­lakukan yang terbaik pada perlumbaan F2 kelak agar berjaya memahat namanya di saingan F1 dalam masa terdekat.

“Itu adalah impian zaman kanak-kanak dan saya ingin membuktikannya. Saya perlu terus berusaha dalam perlumbaan F2 supaya mampu mendapatkan tempat di F1 nanti.

Itulah matlamat utama saya untuk tahun ini.

“Saya tidak akan mem­biarkan perkara lain mengganggu saya. Dapat bersaing dalam perlumbaan F1 sebenar adalah satu pengalaman luar biasa dan saya ingin ke sana,” katanya.

Bearman menjadi pemandu akademi Ferrari sejak 2021, menaruh harapan untuk memandu di peringkat F1, tetapi peluangnya menjadi samar-samar selepas Hamilton sah menyertai pasukan Itali berkenaan musim depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN