Harimau Malaya janji bangkit

Harimau Malaya janji bangkit

FAISAL Halim diasak pemain Oman dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Muscat, semalam. Malaysia yang tewas 2-0 pada perlawanan itu akan menentang lawan yang sama pada pertemuan kedua Selasa ini. - IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia akan melayan kunjungan Oman pada Selasa ini seperti harimau terluka selepas kalah 0-2 pada perlawanan Kumpulan D pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 di Muscat, semalam.

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon juga memberi jaminan bahawa Malaysia akan membalas dendam atas kekalahan itu dengan beraksi di laman sendiri di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) memberi kelebihan kepada Malaysia.

Tumpas kepada Oman dalam aksi terakhir pusingan pertama itu menyaksikan Harimau Malaya tumpas buat kali pertama pada kempen kelayakan kali ini dan akan berentap dengan pasukan ranking ke-80 dunia itu sekali lagi di SNBJ pada Selasa ini.

Pan Gon berkata, biarpun pasukan tidak melakukan persediaan yang terbaik menjelang pertemuan dengan Oman, namun barisan pemainnya tetap memberikan yang terbaik sehingga menyukarkan lawan sebelum akur dengan kekalahan 0-2.

Dalam masa masa yang sama, jurulatih berusia 54 tahun itu percaya peluang mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia masih terbuka namun, dengan syarat Harimau Malaya mengutip seberapa banyak mata dalam tiga baki aksi kumpulan D.

Katanya, berdepan Oman yang menghuni tangga ke-80 dunia itu bukan mudah apatah lagi ia berlangsung di depan ribuan penyokong lawan.

“Ia perlawanan yang sukar dan kami sedar pasukan lawan berada di kelas tersendiri, di mana pasukan Oman pasukan pilihan dan berada di kedudukan balang pertama, serta bermain di laman sendiri.

“Kami cuba terbaik untuk beri saingan, dan apabila bermain di tempat kita nanti situasi akan berbeza. Sudah tentu mengenai kecergasan pemain kita tidak boleh minta lebih.

“Tapi kalau kita nak pergi ke pusingan 18 terbaik, saya fikir aksi selepas ini kita wajib meraih mata dan cuba lakukannya. Kita harus percaya peluang masih ada, di mana kita masih ada lagi tiga perlawanan dan sebaiknya kita berfikir positif untuk baki aksi berikutnya,” katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan itu.

Malaysia memulakan kempen kelayakan dengan cemerlang susulan dua kemenangan ke atas Kyrgyzstan dan Taiwan sebelum ini, terpaksa akur dengan keampuhan Oman apabila dua jaringan pada babak kedua memisahkan kedua-dua pasukan.

Dalam pada itu, Pan Gon berkata, beliau akan melihat kembali tayangan video perlawanan itu bagi mengenal pasti kelemahan tertentu dan bersedia menghadapi aksi di Bukit Jalil nanti.

“Kami perlu mengkaji semula corak permainan dengan pantas, cepat pulih dari segi fizikal dan bersedia untuk satu lagi perlawanan di gelanggang sendiri. Kami akan cuba sedaya upaya untuk menampilkan persembahan yang lebih baik.

“Kami masih ada satu lagi perlawanan dan pasukan akan membuat persiapan sebaik mungkin untuk berikan sesuatu,” katanya yang turut memohon maaf kepada seluruh peminat tanah air di atas kekalahan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN