PETALING JAYA: Harapan untuk menyaksikan Malaysia mempunyai sekurang-kurangnya dua wakil badminton dalam acara beregu lelaki pada Sukan Olimpik 2024 di Paris, Julai ini nampaknya tidak menjadi kenyataan.
Kekalahan menimpa beregu profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi kepada pasangan No. 8 dunia, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi dari China 21-15, 21-23, 14-21 pada pusingan pertama Kejohanan Badminton All England di Birmingham, kelmarin menutup peluang mereka.
Yew Sin-Ee Yi yang pada ketika ini menghuni ranking No. 12 dunia tidak lagi mampu mengejar mata Olimpik sekalipun mereka mencatat keputusan baik pada tiga kejohanan yang menawarkan mata Olimpik iaitu di Terbuka Switzerland pada 19-24 Mac, Sepanyol Masters (26-31 Mac) dan Kejohanan Badminton Asia (9-14 April).
Tarikh tutup kelayakan ke temasya empat tahun sekali itu ialah pada 28 April ini dengan slot beregu hanya menawarkan lapan pasangan terbaik dalam ranking dunia layak untuk berentap di Paris.
Yew Sin-Ee Yi tidak pernah memiliki rekod sempurna sepanjang penyertaan mereka di All England, dengan peringkat 16 akhir merupakan pencapaian terbaik mereka.
Beregu No. 2 negara itu perlu mara ke separuh akhir pada All England jika berhajat menghidupkan peluang ke Sukan Olimpik, malah mereka turut terkandas awal di Terbuka Perancis, minggu lalu.
Melihat kepada situasi tersebut, beregu No. 5 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang hampir pasti layak ke Sukan Olimpik, bakal berjuang sendirian tanpa sokongan satu lagi pasangan negara.
Bekas juara dunia itu merupakan wakil negara paling konsisten selepas sekurang-kurangnya menjejakkan kaki ke suku akhir pada Terbuka Malaysia, separuh akhir di Terbuka India dan suku akhir Terbuka Perancis.
Sebelum ini, bekas jaguh beregu Malaysia, Tan Boon Heong pernah menyatakan pendapatnya bahawa peluang pasangan negara pada Sukan Olimpik memenangi pingat lebih cerah jika ada dua wakil ke Paris, tetapi malangnya ia tidak menjadi kenyataan.
“Bagi saya bagus jika kita ada dua beregu dalam Olimpik, saya percaya ia akan memberi kelebihan kepada Malaysia.
“Macam China, Korea Selatan, biasanya mereka ada dua beregu, jadi, jika pencabar kita masing-masing mempunyai dua wakil, kita pula hanya satu beregu, ia tidak akan berpihak kepada kita,” katanya ketika ditemu bual, baru-baru ini.
Nasib serupa mungkin terjadi dalam acara perseorangan lelaki apabila Lee Zii Jia yang menghuni ranking No. 10 dunia mungkin menjadi wakil tunggal Malaysia ke Sukan Olimpik yang menawarkan 16 slot.
Masalah kecederaan belakang menimpa Ng Tze Yong yang kini berada di tangga No. 16 dunia, semakin menipiskan peluangnya.
Anak muda berusia 23 tahun itu yang terpaksa menarik diri daripada Terbuka Perancis dan All England, kini mengejar masa yang cukup mencemburuinya untuk segera sembuh selepas menjalani pembedahan, bulan lalu. – UTUSAN










