Giliran Magic Boy gegar pentas One Championship

Giliran Magic Boy gegar pentas One Championship

Rifdean Masdor (kanan) melepaskan tumbukan tangan kiri ke muka Pichai Lookbanmai dalam pertarungan One Championship di Bangkok, semalam. – IHSAN MUAYTHAI MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Atlet muaythai Malaysia terus mencipta sensasi di pentas One Championship apabila giliran Rifdean Masdor melakar kemenangan dan meraih bonus 350,000 baht (RM 45,700).

Rifdean mencipta kemenangan pertama di One Championship dengan penuh bergaya apabila menewaskan wakil Thailand, Pichai Lookbanmai dengan pukulan Technical Knockout (TKO) di Bangkok, Thailand, semalam.

Kemenangan dalam pertarungan ONE Friday Fights 56 kategori 50.8 kilogram (kg) itu menyaksikan Rifdean berjaya membawa pulang bonus dan juga hadiah kemenangan sebanyak RM47,700.

Rifdean berkata, keha­diran jurulatihnya dari Malaysia memberi keyakinan lebih tinggi selain menjadi tonik tambahan untuk dia menentang lawan dari Thailand yang tidak kurang hebatnya.

“Sebab jurulatih saya datang dan dia bercakap kepada saya agar berlawan dengan sepenuh hati untuk keluarga, pasukan dan negara Malaysia.

“Saya rasa sangat gembira kerana jurulatih saya datang dari Malaysia dan menonton saya bertarung dalam One Championship dan ini adalah impian saya.

“Saya nak ucapkan terima kasih kepada pasukan saya, Sor Sommai dan Palang Mai yang menaja saya, terima kasih banyak-banyak prihatin ke atas saya.

“Saya tidak boleh bercakap, terima kasih banyak-banyak Sor Sommai,” katanya selepas pertarungan.

Dalam aksi menentang Lookbanmai, Rifdean yang terkenal dengan gelaran ‘Magic Boy’ tidak memberikan ruang kepada lawannya itu dengan dia mempamerkan serangan pantas termasuk melakukan tumbukan padu dengan menggunakan kedua-dua belah tangan.

Tindakan itu memberi kesukaran kepada Lookbanmai untuk membalas kembali serangan sehingga dia terjatuh serta sukar untuk kembali bangun meneruskan perlawanan.

Taktik agresif yang ditampilkan oleh atlet berusia 21 tahun itu ternyata membuahkan hasil yang cukup lumayan apabila dia berjaya mencatat kemenangan hanya dalam masa 1 minit 18 saat sahaja di pusingan pertama dengan kemenangan TKO.

Untuk rekod, beberapa atlet kelahiran Malaysia telah mencipta nama di One Championship antaranya, Johan Ghazali Zulfikar atau lebih dikenali dengan gelaran Jojo dan Ahmad Nor Iman Aliff Rakib.

Lebih membanggakan, Jojo dan Aliff ketika ini berada dalam kelas tersendiri apabila meraih kontrak One Championship bernilai AS$100,000 (RM469,000). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN