Catatan Azeem masih jauh dari masa Olimpik

Catatan Azeem masih jauh dari masa Olimpik

Muhammad Azeem giat menjalani sesi latihan di Universiti Auburn.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Catatan masa dilakukan bintang pecut kebangsaan, Muhammad Azeem Mohd. Fahmi untuk membolehkan dirinya layak ke Olimpik Paris masih jauh selepas sekadar menamatkan acara 100 meter (m) lelaki dengan masa 10.38 saat (s).

Rekod itu dilakukan di Kejohanan Jemputan Yellow ­Jacket di Georgia Tech, Atlanta yang berlangsung semalam dan ia merupakan larian pertama dalam kejohanan luar dewan bagi memburu tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024 tahun ini.

Bagaimanapun, peluang untuk Azeem masih terbuka ke temasya terbesar dunia itu kerana masih mempunyai tujuh perlumbaan untuk disertai termasuk Kejohanan Olahraga Kebangsaan 2024 di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Jun nanti.

Pelari berusia 20 tahun itu, mengakui kecewa dengan keputusan dicatat namun optimis mampu melakukan lebih baik pada kejohanan akan datang.

“Bukan keputusan yang diharapkan pada larian pertama 100m pada tahun ini tetapi perancangan Allah lebih baik. Percaya kepada proses,” katanya.

Keputusan di raih di Kejohanan Jemputan Yellow ­Jacket meletakkan Azeem di kedudukan ketiga terbaik manakala tempat satu dan dua menjadi milik Kanyinsola Ajayi dengan catatan masa 10.21s serta Makanakaishe Charamba (10.28s).

Sementara itu, kekecewaan itu diubati dengan kejayaan meraih emas selepas dia membantu kuartet 4x100m Universiti Auburn yang turut dibarisi Charamba, Ajayi dan Dario Matau melakukan catatan masa 38.74s.

Pingat perak acara tersebut dimenangi kuartet Universiti Olahraga Missouri yang mencatat masa kedua terpantas 40.59s manakala gangsa menjadi miliki Universiti Middle Tennessee dengan catatan 40.71s.

Untuk bulan ini, Azeem hanya menyertai satu kejohanan dan terpaksa melupakan empat kejohanan bagi menghormati bulan Ramadan kerana yakin ia tidak akan menjejaskan peluangnya ke Sukan Olimpik Paris 2024 bermula 26 Julai ini.

Pemegang rekod 100 meter (m) kebangsaan dengan catatan 10.09 saat (s) itu akan kembali menggegar trek di bumi Amerika Syarikat (AS) selepas Hari Raya Aidilfitri pada 10 April ini.

“Saya akan balik Malaysia untuk sertai kejohanan kebangsaan. Saya perlu menang kerana dapat banyak mata sebagai juara kebangsaan untuk membantu kedudukan ranking dunia.

“Katakan saya masih belum layak ke Olimpik Paris, kejohanan itu akan menjadi peluang ter­akhir saya. Seandainya layak, saya akan pulang ke AS dan seterusnya ke Jerman untuk kem latihan sebelum terus ke Paris nanti,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×