PETALING JAYA: Beregu No. 1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik perlu memanfaatkan peluang berdepan pasangan Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana bagi memburu slot ke separuh akhir pada Kejohanan Badminton All England di Arena Birmingham, England, esok (awal pagi waktu Malaysia).
Aaron-Wooi Yik yang merupakan pasangan No. 5 dunia mara ke peringkat lapan terbaik selepas menyingkirkan Chang Ko Chi-Po Li Wei dari Taiwan 21-18, 24-22 dalam masa 46 minit pada pusingan kedua, hari ini.
Sementara itu, Shohibul-Bagas mencipta kejutan ke atas pilihan pertama, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India 21-16, 21-15 dalam satu lagi perlawanan pusingan kedua.
Di atas kertas, wakil Malaysia itu memiliki kelebihan jika rekod pertemuan 4-0 antara kedua-dua beregu diambil kira.
Namun, prestasi cemerlang yang dipamerkan Shohibul-Bagas menyingkirkan Rankireddy-Shetty harus membuka mata Aaron-Wooi Yik bahawa mereka tidak boleh memandang mudah pertembungan tersebut.
Jika berjaya mara ke separuh akhir, Aaron-Wooi Yik berpeluang mengukuhkan kedudukan mereka dalam kelompok lapan terbaik bagi menjamin tempat ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, Julai ini.
Gandingan yang mendapat bimbingan bekas juara dunia, Rexy Mainaky itu akan menjadi wakil tunggal Malaysia dalam acara beregu lelaki pada temasya empat tahun sekali tersebut selepas satu lagi pasangan negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi gagal untuk berbuat demikian. – UTUSAN










