PETALING JAYA: Skuad bawah 23 tahun (B-23) negara dijangka menyertai perlawanan empat penjuru yang akan berlangsung di Indonesia yang dijadualkan pada 18 hingga 26 Mac ini.
Perlawanan itu bakal disertai skuad B-23 Arab Saudi dan Tajikistan selain penyertaan daripada tuan rumah.
Pengurus skuad B-23 negara, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, pasukan muda negara sememangnya bersetuju untuk menyertai perlawanan berkenaan namun perlu menunggu pengesahan daripada penganjur terlebih dahulu.
“Memang kita mahu menyertai pertandingan empat penjuru itu dalam usaha menyiapkan pasukan bagi mengharungi kempen Asia B-23 di Qatar, April ini.
“Difahamkan Tajikistan dan Arab Saudi jugak dijemput tapi belum ada perkhabaran yang sah. Kita masih menunggu perkembangan dari pihak penganjur.
“Persiapan rapi perlu dilaksanakan memandangkan lawan kita nanti bukanlah biasa-biasa namun terdiri daripada pasukan berpengalaman dan hebat di rantau Asia,” katanya.
Skuad B-23 negara berjaya menempah slot ke Piala Asia B-23 di Doha, Qatar selepas muncul empat pasukan naib juara kumpulan terbaik dalam aksi kelayakan.
Terdahulu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meletakkan harapan tinggi untuk melihat skuad Harimau Muda yang diundi dalam Kumpulan D bersama Uzbekistan, Vietnam dan Kuwait mara sehingga ke separuh akhir.
Menurut Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, bagi memastikan harapan itu mampu dicapai, pihaknya akan berusaha keras menyediakan pasukan termasuk menghantar skuad Harimau Muda itu mengharungi beberapa aksi persahabatan berkualiti di luar negara.
Jelas Hamidin, sasaran ke separuh akhir itu bukan saja menempatkan pasukan selaku empat pasukan terbaik, malah berpeluang merebut tiket ke Sukan Olimpik Paris pada Julai ini, di mana tiga pasukan terbaik automatik mewakili Asia.
Satu lagi pasukan akan mengharungi saingan playoff menentang Guinea dari benua Afrika. – UTUSAN










