BELGRADE: Pasukan tenis Serbia menerima tamparan apabila tewas 0-4 kepada Slovakia dalam aksi pusingan kelayakan Piala Davis di Dewan Sukan Kraljevo kelmarin.
Biarpun Serbia berjaya mara sehingga ke peringkat separuh akhir pada edisi lalu, namun tanpa bintang utama Novak Djokovic, pasukan itu beraksi dengan penuh longlai.
Perlawanan pertama membabitkan Miomir Kecmanovic menyaksikan dia tumbang 6-7 (2-7), 2-6 kepada Lukas Klein.
Dusan Lajovic cuba untuk memberikan tentangan ketika berdepan dengan Alex Molcan, namun kemudian akur apabila tewas 6-4, 2-6, 0-6.
Lukas Klein pula yang bergandingan dengan Igor Zelenay dalam acara beregu lelaki terus meletakkan pelawat semakin selesa apabila tidak berdepan masalah mengalahkan Kecmanovic yang turun bergandingan dengan Nikola Cacic dengan keputusan 6-7 (4-7), 3-6.
Slovakia sah dinobatkan sebagai pemenang apabila pemain Serbia, Laslo Djere yang turun sebagai wakil keempat tidak dapat meneruskan perlawanan ketika berdepan dengan Lukas Pokorny.
Kejayaan ini menyaksikan Slovakia akan menyertai 15 negara lain beraksi di Kejohanan Akhir Piala Davis yang akan berlangsung di Malaga, Sepanyol pada 10 hingga 15 September depan.
Malang buat Serbia yang pernah menjadi juara kejohanan ini pada 2010 apabila akan beraksi di Kumpulan Dunia 1 bersama-sama 11 negara layak yang turut tewas dalam pusingan kelayakan.
“Kisah yang sama berulang lagi. Kami mempunyai pasukan yang bagus tetapi semuanya bergantung kepada Djokovic.
“Jika dia ada dalam pasukan, banyak yang kami boleh lakukan,” jelas kapten pasukan, Viktor Troicki. – AGENSI/UTUSAN











