PETALING JAYA: Selepas sekian lama Malaysia menantikan kelahiran ratu trek negara yang, Izzah Izzati Mohd Asri muncul untuk meneruskan legasi itu dengan membawa pulang dua pingat emas dari Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2024 di New Delhi, India.
Dua pingat emas menerusi acara keirin dan ujian masa 500 meter (m) menjadikan Izzah sebagai pelumba wanita negara membawa pulang dua pingat emas daripada ACC sejak saingan ini diadakan pada 1963.
Selain itu Izzah turut merangkul satu pingat perak dalam acara pecut berpasukan bersama Anis Amira Rosdi dan Nurul Aliana Syafika Azizan serta pingat gangsa dalam acara pecut individu wanita elit.
Kejayaan Izzah telah lama dinantikan peminat sukan tempatan sejak kali terakhir Fatehah Mustapa menjadi sandaran dalam acara berbasikal trek wanita di pentas antarabangsa.
“Secara keseluruhan, saya agak berpuas hati dengan pencapaian saya di New Delhi kali ini, tetapi perjalanan saya masih jauh kerana masih banyak yang perlu dipelajari.
“Saya memperoleh dua pingat emas, satu perak dan satu gangsa, jadi saya harap selepas ini saya dapat mengekalkan prestasi serta dapat mempertingkatkan lagi pengalaman saya supaya lebih maju jaya untuk masa hadapan.
“Saya juga ingin berterima kasih kepada ibu bapa saya yang banyak menyokong saya dari awal saya menyertai sukan berbasikal , jurulatih saya yang berada di kedah dan jurulatih saya di kem kebangsaan, serta seluruh rakyat Malaysia yang memberikan kata-kata semangat kepada saya,” jelas Izzah kepada Utusan Malaysia.
Biarpun harapan Izzah untuk ke Paris amat tipis, namun gadis berusia 20 tahun ini dilihat bakal menjadi pencabar utama buat arena berbasikal dunia untuk tempoh empat tahun akan datang
Bagi jurulatih kebangsaan, John Beasley, dia menjadi individu paling lega memandangkan kempen Malaysia di ACC kali ini tanpa kehadiran Datuk Azizulhasni Awang selain Muhammad Fadhil Zonis secara tiba-tiba dijangkiti virus.
Secara keseluruhan, Malaysia membawa pulang dua pingat emas, dua perak dan tiga gangsa, sekali gus mencapai sasaran yang diletakkan Beasley untuk berada dalam kelompok tiga terbaik bagi edisi kali ini.
“Ini merupakan kejohanan yang bertaraf tinggi dan saya rasa kami telah menamatkan saingan ini dengan keputusan yang membanggakan,” kata Beasley.
“Kami ada sebuah pasukan muda dan matlamat kami adalah untuk menyiapkan mereka bagi 2028. Enam hari yang lalu telah memperlihatkan bahawa kami sedang membina dan membangunkan sebuah pasukan muda, dan mereka telah menunjukkan yang mereka mampu melakukannya. – UTUSAN










