PETALING JAYA: Pengambilan pemain warisan bukan jalan pintas untuk skuad bola sepak negara disegani lawan pada masa akan datang kerana bukan semua pemain keturunan itu mempunyai standard yang bagus.
Ketika ini, beberapa nama hangat diperkatakan mempunyai darah keturunan Malaysia dan berpotensi untuk mewakili Harimau Malaya pada masa akan datang, namun kehadiran mereka mempunyai kesan baik dan buruknya.
Perkara itu itu diakui oleh penganalisis sukan tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli yang melihat fenomena pemain warisan tiba-tiba sahaja meletup selepas Harimau Malaya mula mempamerkan peningkatan prestasi.
“Saya nampak, secara tiba-tiba ramai pula pemain warisan kita timbul dan hangat diperkatakan. Persoalannya, adakah mereka ini betul-betul minat untuk mewakili Malaysia atau sekadar mahu melengkapkan profil masing-masing.
“Ia juga aspek positif apabila pemain warisan kita ada di mana-mana. Namun, kita kena berhati-hati kerana tidak semestinya produk luar negara itu bagus dan mereka (pemain warisan) yang diperkatakan juga bermain liga bawahan.
“Produk (pemain) tempatan juga perlu diberikan keutamaan kerana kita ada program pembangunan, dengan pemilihan ramai pemain luar (warisan), ia akan menjatuhkan semangat pemain tempatan yang bersaing untuk memikat hati jurulatih.
“Bagi saya, kemunculan ramai pemain warisan ini bukan jalan pintas untuk kita berjaya, kerana kualiti mereka juga boleh dipertikaikan kerana bukannya mereka beraksi di liga-liga utama di luar negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebagai rekod, bukan setakat pemain Barcelona B, Naim Garcia yang berdarah Sepanyol memiliki keturunan Malaysia tetapi ramai lagi pemain kacukan yang layak mewakili Harimau Malaya ketika ini sedang beraksi di luar negara.
Selain Naim, laman Frfuturetalents turut mendedahkan seorang lagi pemain warisan Malaysia, Ferdy Druijf turut menyerlah di Belanda dan boleh beraksi pada beberapa posisi seperti pemain tengah menyerang dan juga penyerang utama. – UTUSAN










