Nasib TKKR Racing kabur

Nasib TKKR Racing kabur

Bobie Farid Shamsuddin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Impian pasukan pemotoran negara, Onexox TKKR Racing untuk terus kekal beraksi di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) atau sebaliknya akan diketahui pada hari ini.

Prinsipal pasukan, Bobie Farid Shamsuddin mendedahkan pasukannya itu kini mengalami masalah kewangan, dan tidak menolak kemungkinan akan berundur daripada saingan perlumbaan itu pada musim ini.

Lebih mengecewakan, biarpun telah tujuh tahun membawa nama Malaysia dengan memenangi pelbagai gelaran di pentas ARRC, Bobie mengakui kesemua pencapaian tidak memberi sebarang makna apabila gagal menarik perhatian pihak berwajib untuk menaja pasukannya.

Biarpun ada beberapa organisasi tampil untuk bekerjasama dengan TKKR bagi meneruskan kelangsung pada musim ini, namun dana yang diperlukan masih belum cukup untuk menampung perbelanjaang bagi mengharungi keseluruhan enam pusingan perlumbaan.

Justeru mesyuarat bersama ahli lembaga Onexox pada hari ini bakal jadi penentu mengenai masa depan pasukan itu di pentas Asia.

“Tempoh 24 jam ini sangat penting buat kami, sehingga ke hari ini (semalam), saya masih lagi sedang cuba berunding untuk mendapatkan penajaan buat pasukan kami. Sebelum ada dua tiga pihak tampil, namun dana yang dapat diberikan hanya cukup untuk kami berlumba sekitar dua hingga tiga pusingan perlumbaan sahaja, jadi masalah tetap akan timbul.

“Waktu pula semakin singkat buat kita untuk mendapatkan penajaan memandangkan perlumbaan pertama akan berlangsung 15 Mac ini.

“Bagi saya, keadaan ini amat mengecewakan kerana kami berlumba membawa nama negara, tetapi segala pencapaian yang telah kami raih selama ini dipandang sepi, seperti tidak membawa sebarang makna,” kata Bobie yang dihubungi Utusan Malaysia semalam.

ARRC 2023 menyaksikan pelumba TKKR, Markus Reiterberger muncul juara keseluruhan kategor Asian Superbika (ASB) 1000, manakala Muzakkir Mohamed pula raih gelaran juara dalam kategori TVS Asia One Make Championship.

Lebih manis, TKKR dinobatkan pasukan terbaik bagi kategori ASB 1000.

Sekiranya keputusan yang dicapai dalam mesyuarat hari ini tidak memberangsangkan, TKKR akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada perlumbaan tempatan iaitu Kejuaran Cub Prix yang akan membuka tirai pada hujung minggu ini di Litar Jasin, Melaka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×