Malaysia bukan lagi pencabar utama Asia Tenggara

Malaysia bukan lagi pencabar utama Asia Tenggara

Wong Ling Ching.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kekalahan memang sudah dijangka tetapi tumbangnya skuad badminton wanita negara 1-4 kepada Thailand yang kalau dicongak 10 tahun lalu bukanlah pencabar utama Malaysia di rantau Asia Tenggara amat membimbangkan.

Dalam aksi terakhir Kumpulan Y pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Pusat Konvensyen Setia City, semalam, Malaysia yang telah layak ke suku akhir selaku naib juara gagal menandingi kehebatan Thailand yang menurunkan barisan terkuat mereka.

Dalam perlawanan itu, empat wakil negara tunduk kepada lawan masing-masing iaitu Goh Jin Wei, Pearly Tan-M. Thinaah, K. Letshanaa serta Tan Zhing Yi-Teoh Mei Xing dan hanya perseorangan ketiga, Wong Ling Ching menjadi wakil tunggal melakar kemenangan ke atas Pornpicha Choeikeewong 21-19, 15-21, 21-16.

Jurulatih perseorangan negara, K. Yogendran turut berkongsi keresahan tersebut, namun beliau masih optimis terhadap kemampuan pemain bimbingannya yang disifatkan masih terlalu muda jika dibandingkan dengan Thailand.

“Sebenarnya Thailand menurunkan pasukan terkuat mereka kecuali Ratchanok Intanon dan Pornpawee Chochuwong yang tidak disenaraikan kerana kecederaan.

“Saya rasa pasukan kita tidaklah jauh sangat di belakang Thailand, cuma jurang yang ada ialah dari segi pengalaman, tetapi bukan melibatkan skil,” katanya di sini, semalam.

Menyifatkan barisan pemain yang berada di bawah terajunya masih mentah dengan rata-rata daripada mereka berusia sekitar 19-21 tahun, justeru, Yogendran memohon waktu buat anak-anak buahnya membuktikan kemampuan masing-masing.

“Pasukan kita kurang pengalaman kerana kita membariskan pemain yang masih muda dan jurang usia mereka sekitar tujuh tahun berbanding Thailand,” ujarnya.

BATC yang dilihatnya sebagai medan membina pengalaman, Yogendran amat berharap, Sukan SEA pada tahun depan di Thailand bakal menjadi gelanggang penebus maruah buat para pemainnya yang sedang dipersiapkan untuk ke temasya tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN