LONDON: Pihak pengurusan tertinggi Chelsea menyenaraikan lima calon pengganti pengendali kelab itu, Mauricio Pochettino susulan prestasi skuad itu semakin buruk saban hari.
Pochettino dilantik sebagai pengendali baharu The Blues pada musim panas lalu dengan jaminan kontrak selama tiga tahun dan merupakan pengurus ketiga sehak Todd Boehly mengambil alih pemilikan kelab selepas Thomas Tuchel dan Graham Potter dipecat oleh pihak pengurusan.
Walau bagaimanapun, selepas tujuh bulan Pochettino bertugas, beliau mungkin berdepan nasib yang sama apabila prestasi kelabnya itu semakin buruk selepas tewas kepada Wolves 2-4, Ahad lalu.
Situasi itu membuatkan pihak pengurus kelab perlu mengenal pasti calon sesuai yang bakal mengambil alih tugasnya sekiranya Boehly membuat keputusan untuk memecat Pochettino.
Bekas pengendali Chelsea, Jose Mourinho dalam senarai yang kini tanpa jawatan selepas meninggalkan AS Roma bulan lalu serta pengendali Barcelona, Xavi yang mengumumkan akan meninggalkan pasukan itu hujung musim nanti juga menempah namanya dalam senarai.
Selain itu, pengurus Bayer Leverkusen, Xabi Alonso yang berada dalam radar Liverpool untuk menggantikan Jurgen Klopp turut dilaporkan berada dalam senarai teratas selepas prestasi cemerlang dipamerkan di Bundesliga dengan meraih 16 kemenangan daripada 20 perlawanan untuk menguasai takhta liga.
Dua lagi calon untuk ke Stamford Bridge adalah pengendali Brentford, Thomas Frank dan Michel Sanchez yang bersama Girona di La Liga sedia dipilih oleh Chelsea. – AGENSI/UTUSAN










