Klinsmann fokus Piala Dunia 2026

Klinsmann fokus Piala Dunia 2026

JURGEN KLINSMANN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOHA: Kegagalan menamatkan kemarau 64 tahun Korea Selatan untuk menjulang Piala Asia tidak menjadi penamat untuk Jurgen Klinsmann melepaskan jawatannya sebagai ketua jurulatih skuad Taegeuk Warriors.

Sebaliknya, Klinsmann melihat pasukan ini mempunyai masa depan yang cerah walaupun tersingkir di separuh akhir Piala Asia 2023.

Legenda Jerman itu gagal memenangi hati peminat dan media sejak mengambil alih pasukan lebih setahun lalu dan dijangka didesak meletakkan jawatan selepas tersingkir di separuh akhir.

Kehadiran pemain terbaik Asia, Son Heung-min gagal membantu Korea Selatan mengakhiri kemarau kejuaraan Piala Asia sejak tahun 1960.

Selepas perlawanan itu, Klinsmann ditanya sama ada dia merancang untuk meletakkan jawatan sebagai jurulatih Korea Selatan susulan kegagalan dalam Piala Asia 2023.

“Saya tidak bercadang untuk melakukan apa-apa.Saya bercadang untuk menganalisis kejohanan ini.

“Kembali ke Korea dan sudah tentu bercakap dengan persekutuan tentang apa yang baik dan apa yang tidak begitu baik dalam kejohanan itu.

“Saya fikir terdapat banyak perkara baik yang kami lihat. Ini adalah pasukan yang sedang membangun, pasukan yang masih perlu berkembang menuju ke Piala Dunia di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada dalam dua setengah tahun akan datang.

“Jelas sekali, membuktikan dalam kelayakan adalah sangat sukar, jadi kami masih mempunyai banyak kerja yang perlu dilakukan. Selain itu, saya tidak memikirkan apa-apa,” kata Klinsmann.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Ahmad bin Ali, Jordan berjaya menewaskan Korea Selatan 2-0 hasil jaringan Yazan Al Naimat pada minit ke-53 dan Musa Al Taamari pada minit ke-66.

Sementara itu, Heung Min yang juga kapten pasukan Taegeuk Warriors memohon maaf dan mengakui berasa amat kecewa.

“Sangat kecewa dengan keputusan ini. Jordan mengharungi perjalanan menakjubkan di kejohanan ini. Mereka berhak menang, mereka berjuang hingga ke akhir. Bagi kami ia malam yang mengecewakan,” kata Heung-min. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN