ALOR SETAR: Kecintaan Mohd. Azraai Khor Abdullah terhadap dunia bola sepak yang diceburinya sejak zaman bergelar pemain, jurulatih dan kini sudah bersara tidak pernah pudar.
Isteri Allahyarham, Rohani Ibrahim, 64, berkata, walaupun sudah bersara sebagai pengendali profesional, jadual Mohd. Azraai Khor, 72, tetap padat dengan aktiviti sukan itu.
“Boleh kata kerap arwah dipanggil untuk program berkaitan bola sepak terutama di sekitar negeri ini dan Sabtu ini pun sepatutnya dia terlibat dalam sesi pemilihan terakhir Akademi Bola Sepak Madad.
“Apabila dia dijemput ke apa-apa program, tak pernah dia tetapkan bayaran cuma kalau ada yang memberi dia ambil sebagai menghormati tetapi sama sekali tidak akan minta, kalau tak ada tak mengapa kerana jiwa dia memang sebati dengan bola sepak,” katanya.
Tambah Rohani, arwah sebelum ini ada meninggalkan pesan kepadanya supaya tidak menerima sebarang penganugerahan pangkat seperti Datuk jika dia meninggal dunia.
Mohd. Azraai Khor menjadi satu-satunya jurulatih tempatan yang mencipta sejarah selepas skuad pimpinannya itu merangkul kejayaan berganda Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia bagi dua tahun berturut-turut.
Sementara itu, Rohani berkata, arwah tidak sihat sejak empat hari lalu yang bermula dengan kesukaran membuang air besar sebelum mendapatkan rawatan ke klinik dan secara alternatif.
“Nampak dia memang letih sangat, selalu terbaring dan hanya gagahkan diri bangun ke bilik air. Pagi ini ketika bersarapan nampak perubahan ketara dia apabila tidak boleh makan dan minum sebelum kami segera memanggil ambulan.
“Dia cuma ada masalah darah tinggi sebelum ini tetapi tidak menghadapi sebarang penyakit lain tetapi kami reda kerana arwah meninggal dunia pada hari baik Israk Mikraj dan bulan Rejab,” katanya.
Allahyarham Mohd. Azraai Khor yang berasal dari Alor Semadom dikebumikan selepas solat Asar di Tanah Perkuburan Islam Taman Uda, di sini. – UTUSAN










