Cools akan sertai JDT?

Cools akan sertai JDT?

DION Cools bersaing dengan pemain tengah Korea Selatan, Hwang Hee-chan dalam saingan peringkat kumpulan Piala Asia 2023 di Doha, sebelum ini. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tonggak Harimau Malaya, Dion Cools dijangka menjadi pemain terbaharu Johor Darul Ta’zim (JDT) pada musim ini.

Lebih menguatkan perkara itu apabila satu video dimuat naik oleh JDT seolah-olah memberi bayangan bahawa pertahanan berusia 28 tahun itu bakal menyertai skuad Harimau Selatan.

Terdapat satu momen menunjukkan suis penghawa dingin telah memaparkan tulisan ‘Cool’ beserta nombor 21 dalam video pengumuman rasmi tonggak Harimau Selatan, Fernando Forestieri yang akan kembali beraksi dalam saingan bola sepak musim 2024/2025 bersama JDT.

Jika dilihat daripada sudut nombor 21 itu, ia sama seperti dipakai Cools bersama skuad Harimau Malaya.

Satu kenyataan daripada pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim di ruangan komen tersebut juga boleh menjadi ‘bayangan’ daripada persoalan yang timbul.

“JDT sudah tandatangani tiga pemain import baharu, seorang dipinjamkan dan dua lagi sampai pada bulan Jun,” ujar TMJ di ruangan komen hantaran tersebut.

Semakan kontrak Cools bersama Buriram United juga bakal tamat pada akhir bulan Jun ini.

Begitupun, segalanya terus menjadi tanda tanya dan jawapan akan dijawab oleh kelab yang dianggap sebagai ‘underdog’ pada musim ini.

Untuk rekod, Cools telah menjadi perhatian ramai selepas mempamerkan aksi cemerlang bersama skuad Harimau Malaya di pentas Piala Asia 2023 dan juga kelayakan Piala Dunia 2026.

Cools juga berjaya mencetak dua gol ketika dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia antara Malaysia dan Kyrgyzstan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN