PETALING JAYA: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengakui telah menerima dokumen daripada pihak Perlis United bagi permohonan bermain di Liga Super musim 2024/2025.
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Stuart Ramalingam menjelaskan dokumen daripada Perlis United itu akan dinilai terlebih dahulu oleh pihak First Instance Body (FIB) dan turut menafikan bahawa MFL telah menjemput pasukan berkenaan atas kuota sebagai negeri.
Tambahnya, setakat ini antara kriteria utama untuk mana-mana pasukan daripada Liga M3 yang berminat bermain di Liga Super perlu mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh.
Ia bermaksud, kelab itu bukan hanya mampu bermain untuk semusim tetapi berkemampuan dan stabil bagi mengharungi saingan Liga Super pada musim-musim akan datang.
“Untuk makluman, benar pihak kita ada menerima dokumen-dokumen daripada Perlis United tetapi kenyataan bahawa MFL menjemput pasukan itu atas kuota negeri tidak benar. Dokumen yang diterima itu akan diteliti terlebih dahulu oleh FIB.
“Selepas dinilai secara keseluruhan oleh FIB dan mendapat kelulusan daripada mereka barulah ia akan ke peringkat seterusnya (lulus bermain di Liga Super.
“Kriteria utama yang kita letakkan antaranya adalah kelab itu mempunyai kestabilan untuk bukan sahaja bersaing hanya satu musim tetapi berkemampuan bersaing pada musim-musim akan datang.
“Kriteria ini merupakan satu inisiatif kita bagi mengelak berlaku lagi pasukan tidak membayar gaji,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Selain Perlis United, beberapa pasukan lain yang turut menghantar dokumen adalah Kuala Lumpur (KL) Rovers, Harini dan Imigresen bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Kelantan FC untuk melengkapkan 14 pasukan bertanding musim ini.
Kelantan FC disingkirkan daripada Liga Super selepas gagal mendapatkan lesen kebangsaan selain berdepan tunggakan gaji pemain.
Ketika ditanya mengenai peluang Perlis United menjadi pasukan ke-14 dalam kempen Liga Super 2024/2025, Stuart berkata semuanya bergantung kepada keputusan FIB.
“Peluang bermain atau tidak bergantung kepada keputusan FIB. Buat masa ini saya tidak boleh memberi sebarang jawapan tentang peluang mereka (Perlis United),” jelasnya. – UTUSAN










