BATC: Skuad wanita tumbang 1-4 kepada Thailand

BATC: Skuad wanita tumbang 1-4 kepada Thailand

Pearly Tan-M. Thinaah yang menjadi harapan mengikat kedudukan rebah kepada gandingan Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai 22-20, 15-21, 19-21. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Skuad wanita negara tumbang 1-4 kepada Thailand, dengan pemain remaja, Wong Ling Ching menjadi penyelamat ‘air muka’ daripada terus diaibkan pasukan negara tetangga itu dalam aksi terakhir Kumpulan Y pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Pusat Konvensyen Setia City dekat sini, hari ini.

Pemain No. 31 dunia, Goh Jin Wei tunduk kepada Supanida Katethong yang menghuni ranking ke-17 dunia menerusi kekalahan straight set 13-21, 24-26 dalam aksi pembukaan.

Thailand menambah keperitan Malaysia apabila beregu No. 14 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah yang menjadi harapan mengikat kedudukan rebah kepada gandingan Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai 22-20, 15-21, 19-21.

Ketinggalan 0-2, perseorangan kedua negara, K. Letshanaa menggalas tugas berat untuk merapatkan jurang kedudukan, namun, dia yang cuba mencipta kebangkitan tewas ditangan pemain No. 18 dunia, Busanan Ongbamrungphan 17-21, 18-21.

Pada ketika kekalahan 0-3 telahpun sah menjadi milik Malaysia, beregu pecahan, Tan Zhing Yi-Teoh Mei Xing turut tersungkur di kaki pasangan adik beradik, Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard apabila mereka kalah 17-21, 18-21.

Tidak diletakkan harapan untuk melakar kemenangan, namun, pemain remaja negara, Wong Ling Ching hadir dengan semangat juang yang tinggi untuk sekurang-kurangnya memecah angka kosong.

Pemain yang berada di tangga ke-76 dunia itu berjaya melunaskan misi tersebut apabila memberikan tentangan hebat sebelum menang ke atas pemain No. 45 dunia, Pornpicha Choeikeewong 21-19, 15-21, 21-16.

Ling Ching ketika ditemui pemberita berkata, kelebihan rekod pertemuan 2-0 yang dimilikinya ke atas Pornpicha memberikan suntikan motivasi untuknya memburu mata tunggal buat skuad negara.

“Saya pernah bertemu dengannya dua kali sebelum ini dan saya menang dalam kedua-dua pertemuan itu, jadi, ia memberi sedikit kelebihan untuk saya mendapatkan keyakinan diri,” katanya.

Mengulas peluang Malaysia pada suku akhir, pemain berusia 20 tahun itu memberitahu, dia yakin rakan sepasukannya sudah memberikan yang terbaik dan berharap, pada peringkat lapan terbaik nanti, kebangkitan dapat dilakukan mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN