Politik Malaysia:Polisi atau personaliti?

Politik Malaysia: Polisi atau personaliti?

PROGRAM seperti BR1M membantu mengurangkan ketidakseimbangan pendapatan dan meningkatkan kesejahteraan semua rakyat Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

POLISI adalah satu dokumen rasmi dan fakta. Senang dianalisis dan mudah diperiksa fakta. Retorika atau auta mudah diperiksa.

Sudah menjadi tradisi bagi seorang perdana menteri baharu untuk memperkenalkan slogan atau polisi baharu pada peringkat awal pemerintahan mereka.

Umumnya, slogan itu akan memandu dasar kerajaan dan membezakan corak atau dasar pemerintahan mereka daripada pemerintahan terdahulu. Ia juga menggambarkan visi mereka dalam menangani cabaran semasa dan masa depan.

Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga tidak mengubah tradisi ini dengan memperkenalkan slogan Malaysia Madani.

Slogan yang dicetuskan oleh Anwar adalah tentang menukar Malaysia menjadi negara yang percaya pada kemanusiaan dan nilai-nilai baik seperti pentadbiran yang adil, saksama dan berkesan.

Ketika memperkenalkan konsep tersebut, Anwar berkata ini merupakan sebahagian daripada rangka kerja strategik yang menyeluruh dan dapat menangani perubahan selepas pandemik. Anwar mengambil slogan ini sebagai asas kepimpinannya untuk menyampaikan mesej bahawa personalitinya berakar pada prinsip-prinsip Islam. Bahkan, ini bukan kali pertama Anwar mempromosikan idea ini.

Beliau telah bercakap tentang masyarakat madani sejak tahun 1990-an. Nampak seolah-olah Perdana Menteri mengambil langkah baik dengan memperkenalkan prinsip panduan ini pada awal pentadbirannya namun perlu diingatkan penentuan dasar adalah ‘proses yang jauh lebih rumit’.

Jika kerajaan mematuhi prinsip Madani, mungkin kita boleh mengharapkan Malaysia yang lebih inklusif dan demokratik. Namun, rakyat masih belum dapat melihat program yang akan dilancarkan oleh pentadbiran Anwar di bawah slogan utamanya.

Perlu ada inisiatif yang konkrit dan tindakan nyata untuk mewujudkan perubahan yang dijanjikan. Rakyat perlu melihat program-program dan dasar yang akan dilaksanakan untuk mencapai Malaysia Madani.

Setakat ini slogan ini hanya setaraf slogan Malaysia Hadhari, Malaysia Baharu, Malaysia Prihatin dan Keluarga Malaysia sahaja yang hanya menguntungkan golongan tertentu serta tiada hala tuju mahupun inisiatif yang jelas dan melekat di hati rakyat untuk memakmurkan negara.

Jika kita nilai jauh bezanya bagaimana terkesannya rakyat sehingga hari ini dengan slogan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri ke-6, Datuk Seri Najib Tun Razak. Program-program seperti BR1M, PR1MA, PPA1M, 1AZAM, UTC, TN50, ETP dan sebagaimana masih lekat di hati rakyat.

Konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Najib membawa beberapa manfaat. Berikut beberapa kelebihan utama dasar ini:

1. Keharmonian sosial dan perpaduan nasional: Konsep 1Malaysia bertujuan memupuk perpaduan dan pemahaman dalam kalangan kumpulan etnik yang pelbagai di Malaysia. Dengan mempromosikan dialog, pertukaran budaya dan saling menghormati, dasar ini bertujuan untuk mencipta rasa keterikatan dan identiti kebangsaan dalam kalangan rakyat Malaysia. Ini membantu mengurangkan ketegangan ras dan etnik, mempromosikan perpaduan sosial dan harmoni. Contoh, Pelan Tindakan Perpaduan dan Integrasi Nasional, Yayasan 1Malaysia dan Kempen Muhibah.

2. Pembangunan inklusif:  1Malaysia menekankan inklusiviti, memastikan bahawa tiada warga Malaysia yang terpinggir. Dengan menyediakan peluang yang saksama dalam pendidikan, pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi, dasar ini bertujuan menangani perbezaan sosioekonomi dan mempromosikan mobiliti ke atas. Pembangunan inklusif membantu mengurangkan ketidakseimbangan pendapatan dan meningkatkan kesejahteraan semua rakyat Malaysia. Contoh: BR1M, 1AZAM, KR1M, Klinik 1Malaysia dan Penubuhan Talent Corp.

3. Pertumbuhan ekonomi dan daya saing: Di bawah bendera 1Malaysia, kerajaan melaksanakan pelbagai program ekonomi dan dasar yang memberi tumpuan kepada tarikan pelaburan, peningkatan industri dan pemupukan keusahawanan. Inisiatif-inisiatif ini, seperti Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP) bertujuan merangsang pertumbuhan ekonomi, mencipta peluang pekerjaan dan meningkatkan daya saing Malaysia di pasaran global.

4. Pembasmian kemiskinan: Salah satu matlamat utama dasar 1Malaysia adalah pengurangan kemiskinan. Melalui inisiatif seperti BR1M dan program-program kebajikan berpanduan, kerajaan berusaha meningkatkan taraf hidup isi rumah berpendapatan rendah. Ini membantu menyediakan jaringan keselamatan bagi komuniti yang rentan dan mengurangkan kadar kemiskinan di negara ini. Contoh lain seperti Skim Latihan 1Malaysia (SL1M), Perumahan mampu milik seperti PR1MA dan PPA1M.

5. Peluang pendidikan yang diperbaiki: Pendidikan diberi keutamaan utama dalam konsep 1Malaysia. Dasar ini bertujuan untuk meningkatkan kualiti pendidikan, meningkatkan aksesibiliti dan melengkapi pelajar Malaysia dengan kemahiran yang diperlukan untuk bersaing secara global. Pelaburan dalam infrastruktur pendidikan, latihan guru dan program-program biasiswa membantu menyediakan peluang kepada semua warga Malaysia, tanpa mengira latar belakang sosioekonomi. Contoh: Pemberian Komputer Riba 1Malaysia, Baucer Buku 1Malaysia dan peningkatan pemberian biasiswa.

6. Tadbir urus dan ketelusan: Konsep 1Malaysia menekankan keperluan untuk pentadbiran baik dan ketelusan dalam pentadbiran awam. Usaha dilakukan untuk meningkatkan akauntabiliti, memerangi rasuah dan meningkatkan kecekapan institusi kerajaan. Ini menghasilkan peningkatan kepercayaan awam, meningkatkan keyakinan pelabur dan memberi rasa integriti yang lebih kuat dalam kerajaan. Contoh seperti Sistem e-perolehan dan Penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Padu atau tidaknya sesuatu polisi bergantung kepada keterangkuman atau inklusiviti sesuatu polisi dan kebijakan pasukan pencatur polisi. Bukan di atas kertas yang diutamakan tetapi yang penting adalah pelaksanaan di lapangan.

Realitinya jurang di atas kertas dan di lapangan jauh bezanya dengan formula yang dirangka. Ini kerana terlalu banyak faktor yang tersisa semasa polisi dibangunkan terutama sekiranya dilaksanakan secara tergesa-gesa. Namun gagalnya sesuatu polisi akan diingati dan dimomok oleh rakyat dan pengundi.

Personaliti mudah disembunyikan, hatta juga kepada ahli keluarga. Lakonan dan realiti sesuatu yang tidak pasti kerana dengan penampilan, mudah untuk memperdaya. Masyarakat Melayu mudah terpesona dengan pemimpin yang melantunkan ayat-ayat al-Quran dan hadis serta terpedaya dengan pemakaian serban dan lebai.

Namun, rakyat hari ini cerdik dan dapat menilai sesuatu polisi dan boleh menghidu something fishy meskipun polisi dibangunkan oleh personaliti yang dikagumi selama ini.

Pelaksanaan polisi adalah cerminan personaliti seseorang perdana menteri, bukannya slogan semata-mata seperti slogan-slogan yang manis di bibir tetapi pahit yang ditelan oleh rakyat dan ada yang menguntungkan pihak tertentu.

Rakyat dapat menilai polisi manakah yang menguntungkan mereka setelah beberapa perubahan di tampuk pemerintahan negara. Bagi penulis, personaliti hanyalah satu karya lakonan yang dipertontonkan kepada rakyat untuk menarik perhatian dan fikiran rakyat percaya bahawa mereka adalah yang terbaik untuk negara.

Namun polisi merupakan satu karya asli yang tidak boleh dipesongkan atau dilakonkan kerana rakyat akan terkesan dengannya.

Polisi bukanlah sandiwara bahkan ia adalah sebuah hakikat. Baik polisinya, baiklah personaliti yang mengolahnya.

Dan bukan sahaja polisi, lebih besar lagi personaliti Najib yang lebih diingati atas sikapnya berjawatan Perdana Menteri ke-6 yang terbuka dan suka menolong.

Polisi Bossku lebih terarah dan praktikal.-UTUSAN

DATUK Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN