KELMARIN, bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, telah berlangsung Majlis Peluncuran Pangkalan Data Utama (PADU) yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pembangunan PADU yang mengandungi profil individu dan isi rumah meliputi warganegara dan pemastautin tetap di Malaysia akan menjadi satu pangkalan data yang komprehensif yang seterusnya akan menjadi pemudah cara dalam usaha kerajaan melaksanakan intervensi berasaskan bukti.
Sebagai sebuah pangkalan data yang komprehensif mencakupi maklumat yang diperoleh daripada 455 agensi sektor awam serta data yang dikemaskini rakyat, PADU mampu untuk membantu kerajaan dalam merangka dasar dan melaksana program pembangunan dengan lebih baik ke arah meningkatkan kesejahteraan rakyat.
PADU mempunyai tujuh manfaat utama:
Pertama, PADU akan menambah baik pengurusan bantuan dan subsidi secara bersasar, termasuklah pelaksanaan subsidi ke atas petrol, diesel, elektrik dan tol.
PADU akan dijadikan sebagai sumber rujukan berpusat dan bertujuan menentukan kumpulan sasar yang benar-benar layak menerima bantuan dan subsidi serta mengurangkan ralat kemasukan dan pengecualian (inclusion and exclusion error) sekali gus meminimumkan keciciran dan ketidaktepatan kumpulan sasar.
Kedua, PADU juga akan memantapkan pengurusan bencana dan krisis. Dengan wujudnya PADU, lokasi dan profil individu yang terkesan akibat bencana dapat dikenalpasti dan dianalisis dengan lebih tepat dan terperinci. Ini seterusnya membantu dalam penyaluran bantuan dengan lebih cekap.
Amalan terbaik Korea Selatan dalam menangani krisis Covid-19 adalah satu inspirasi yang boleh diambil. Penggunaan teknologi dan data yang inovatif membolehkan mereka mempercepat pengesanan, pemantauan dan pengurusan krisis.
Ketiga, PADU juga mampu menangani isu ketidaksepadanan pekerjaan dan pendidikan. Dengan menyemak, mengemaskini dan mengisi maklumat di portal PADU, maklumat seperti pendapatan, pendidikan, pekerjaan dan geografi akan menjadi input analisa kerajaan bagi mengenal pasti individu yang mengalami isu ketidaksepadanan pekerjaan meliputi ketidaksepadanan menegak (tahap pendidikan), melintang (ketidakpadanan kursus/ bidang dengan pekerjaan) dan geografi (lokasi negeri/daerah/mukim).
Maklumat ini akan digunakan dalam pembentukan dasar sumber manusia dan program-program intervensi pasaran buruh yang lebih efisien, seiring dengan kerangka Ekonomi Madani: Memperkasa rakyat melalui dasar gaji progresif dan program-program meningkatkan bakat dalam negara.
Keempat, PADU juga akan mempersiapkan negara bagi menghadapi penduduk menua yang mana Malaysia kini berada pada peringkat masyarakat lanjut usia dengan 7.4 peratus adalah penduduk menua.
PADU dapat membantu dalam membentuk dasar kependudukan yang optimum dari segi keselamatan sosial dan pencen, merancang perkhidmatan penjagaan kesihatan yang bersesuaian dengan keperluan seterusnya mencipta program atau latihan yang meningkatkan kemahiran pekerja sekali gus dapat meningkatkan penglibatan warga emas dalam pasaran buruh.
Kelima, PADU dapat menjadi input bagi mengenal pasti dan mengatasi kesenjangan jaringan perlindungan sosial masyarakat.
Berbanding dengan 16.3 juta penduduk bekerja, statistik menunjukkan lebih 40 peratus penduduk bekerja tidak dilindungi dari sebarang musibah pekerjaan. Begitu juga isu ketidakcukupan simpanan wang persaraan yang berada pada tahap serius apabila 6.3 juta ahli di bawah 55 tahun yang merupakan 48 peratus daripada keseluruhan ahli mempunyai baki simpanan kurang dari RM10,000 dalam akaun mereka setakat 30 September 2023.
Melalui PADU, sistem perlindungan sosial rakyat dapat diperkukuhkan.
Keenam, PADU juga berpotensi dalam menyokong pengurusan belanjawan yang lebih strategik menerusi pengurusan subsidi dan bantuan yang lebih bersasar. Belanjawan 2023 memperuntukkan sejumlah besar 74.8 peratus bagi bajet mengurus yang mana 22.1 peratus daripadanya diperuntukkan bagi subsidi dan bantuan sosial.
Melalui inisiatif pelaksanaan subsidi dan bantuan yang bersasar, penjimatan yang diperoleh dapat digunakan bagi pembangunan yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Ketujuh, PADU juga akan menjadi pemangkin kepada kepada kerajaan digital.
TRANSFORMASI
Melalui penggunaan data dan analitik, PADU secara langsung akan mengemudi transformasi kerajaan digital yang lebih bermaklumat, bermanfaat dan berkesan sebagai salah satu e-perkhidmatan kerajaan dengan:
-Menyelaras perkhidmatan dengan lebih teratur, holistik dan mempunyai impak yang signifikan kepada kumpulan sasar.
– Mendorong kerajaan ke arah pembangunan dan usaha kemampanan yang lebih baik bagi meningkatkan kualiti taraf hidup.
– Menangani cabaran dalam membangunkan negara ke arah yang lebih baik seperti meminimalkan penyebaran penyakit, menangani perubahan iklim dan lain-lain.
Ada beberapa komentar dibuat yang mempersoalkan tahap keselamatan PADU. Suka ditegaskan bahawa sistem PADU dijamin selamat.
Ini kerana dalam memastikan kelangsungan PADU, tiga perkara utama keterjaminan keselamatan telah diambil kira dalam iaitu dari aspek keselamatan data, sistem dan rangkaian.
Bagi memastikan kerahsiaan data terjamin, Lapisan Kawalan Akses Capaian Data (RBAC) diwujudkan. Data PADU juga dilindungi dengan penyulitan data end-to-end serta membangunkan dokumen kawalan keselamatan data sebagai panduan dan amalan semua ahli pasukan.
Sistem ini juga telah memenuhi ciri-ciri keselamatan yang digariskan di peringkat antarabangsa. Ia juga melibatkan pematuhan keselamatan Rangka Kerja Keselamatan Siber Sektor Awam (RAKKSSA), Dasar Keselamatan ICT (DKICT), garis panduan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) dan melalui proses ujian keselamatan Penilaian Postur Keselamatan (SPA).
Untuk memastikan keselamatan terjamin, pengesahan Pelbagai Faktor (MFA) bagi kawalan capaian sistem melalui pendaftaran pengguna dan log masuk menggunakan nama pengguna, kata laluan dan kod laluan sekali (OTP) yang dijana melalui emel atau khidmat pesanan ringkas (SMS).
Selain itu, pengesahan identiti individu secara elektronik (eKYC) juga diwujudkan bagi menentusahkan pengenalan dan identiti individu serta bagi kemas kini maklumat.
Manakala bagi memastikan rangkaian sistem selamat, ia dilengkapi dan mematuhi aplikasi web Firewall dan mempunyai pusat operasi keselamatan (SOC).
Malah, sekiranya berlaku sebarang perkara tidak diingini, PADU melalui Pasukan Tindak Balas Insiden Keselamatan Siber Sektor Awam (CSIRT) sentiasa bersiap siaga mengendalikan melalui prosedur sepatutnya.
Kesimpulannya, pengwujudan PADU sebagai satu pangkalan data yang komprehensif adalah satu anjakan besar dalam sistem pentadbiran negara. Ia memberi manfaat yang cukup besar manakala tahap keselamatannya pula tidak perlu diragui.-UTUSAN
DATUK Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin adalah Ketua Perangkawan Malaysia.










