Manfaatkan potensi besar Felda

Manfaatkan potensi besar Felda

WALAUPUN masih baharu, Ahmad Shabery Cheek sudah banyak melontarkan pandangan dan idea baharu dalam memajukan Felda. Lebih menarik ialah kerana pelaksanaan sambutan Hari Peneroka Felda 2024 ini tidak melibatkan penggunaan dana daripada kerajaan tetapi kutipan dana sendiri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KELMARIN, dalam satu majlis di pekarangan Menara Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) pada 1 Julai 2023 melontarkan visinya untuk menonjolkan Felda ke satu tahap yang lebih tinggi.

Berucap merasmikan prapelancaran Hari Peneroka 2024 Felda FGV Fundraising Golf Tournament, Ahmad Shabery berkata satu majlis besar diperlukan untuk menonjolkan Felda dan majlis yang beliau rancang untuk memainkan peranan ini ialah Hari Peneroka Felda 2024.

Kebiasaannya sambutan Hari Peneroka Felda berlangsung sehari pada 7 Julai. Pada tahun lepas ia membabitkan kehadiran kira-kira 10,000 peneroka Felda dari 317 Tanah Rancangan Felda dengan kira-kira 240 buah bas ke Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang, Selangor.

Bagaimanapun, untuk sambutan Hari Peneroka Felda 2024, Ahmad Shabery mahu mewujudkan satu kelainan dengan melangsungkannya selama tiga hari dua malam pada 12 hingga 14 Julai ini dengan sasaran untuk menghimpunkan seramai 500,000 peneroka dan warga Felda.

Pelbagai aktiviti menarik diatur sepanjang sambutan Hari Peneroka Felda 2024 ini berlangsung termasuklah karnival bola sepak, sukan warisan, pameran dan jualan daripada usahawan 317 Tanah Rancangan Felda serta jualan rahmah agensi yang berkaitan dengan Felda.

Kata Ahmad Shabery, kita mahu jadikan sambutan Hari Peneroka Felda sebagai satu tradisi besar yang dinanti-nantikan oleh semua pihak. Contohnya, kalau di Dubai bermulanya Gulf Food Festival, beliau mahu menjadikan Food Festival Felda FGV satu majli besar bermula tahun ini.

“Kita ada 317 Tanah Rancangan Felda, setiap Tanah Rancangan Felda boleh menyediakan makanan terbaik mereka dalam Food Festival tersebut, dan jika setiap Tanah Rancangan Felda boleh membawa seribu warga mereka makan di sana sudah ada 317 ribu pengunjung.

“Kita juga mahu mengadakan perkhemahan belia dan mahasiswa melalui Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) dan Permuafakatan Siswa/Siswi Felda (PERSADA) dengan sekurang-kurangnya 3,000 peserta bagi membolehkan mereka mengikuti pelbagai bengkel kemahiran.

“Kita akan jemput pakar-pakar dalam berbagai-bagai bidang untuk menganjurkan master classes bagi membolehkan belia dan mahasiswa Felda meningkatkan kemahiran mereka dalam pelbagai aspek, termasuk kemahiran komunikasi dan teknologi maklumat,” katanya.

Tambah beliau, Hari Peneroka Felda 2024 akan dijadikan sebagai satu platform untuk membina rangkaian hubungan yang besar dengan menemukan antara pengeluar produk atau perkhidmatan dan pengguna dari warga Felda yang besar jumlahnya di seluruh negara.

“Potensi yang ada dalam Felda adalah besar, potensinya bukan pada ladang atau pada tanahnya sahaja tetapi potensi paling besarnya ialah pada warganya, pada manusianya, kerana dalam Felda ada kira-kira 2.5 juta hingga 3 juta orang Felda-zen atau Felda-rian yang berselerak.

“2.5 juta hingga 3 juta orang warga Felda ini adalah satu jumlah besar yang mampu dimanfaatkan oleh sesiapa sahaja sekiranya mereka menjadi rakan Felda yang memperkenalkan produk atau perkhidmatan mereka untuk pasaran dalam kalangan warga Felda.

“Potensi ekonomi Felda juga besar. Ekonomi yang berlegar daripada kelapa sawit sahaja, buah tandan segar yang dikeluarkan setahun sahaja adalah kira-kira 4.5 juta tan dengan harga RM700 setan, dalam sistem ekonomi berganda di sana sudah ada kira-kira RM10 bilion.

“Oleh itu, saya menyeru kepada semua pihak untuk menjadi Rakan Felda kerana sesiapa yang menjadi Rakan Felda akan memperoleh peluang yang tidak ternilai untuk memanfaatkan ekonomi kitaran dalam Felda selain untuk menembusi pasaran luas warga Felda,” katanya.

KUTIPAN DANA
Turut berucap ialah Ketua Peneroka Kebangsaan Felda, Sulong Jamil Mohamed Sharif, yang berkata beliau hampir tidak percaya apabila Ahmad Shabery mensasarkan matlamat untuk menghimpunkan seramai 500,000 peneroka dan warga Felda pada Hari Peneroka Felda 2024.

Bagaimanapun, jelas Jamil, setelah diberi penerangan oleh Ahmad Shabery mengenai perancangan program, dengan berbagai-bagai acara menarik yang dimasukkan ke dalam sambutan, termasuk acara Food Festival Felda FGV, tidak mustahil sasaran tersebut dapat dicapai.

“Walaupun masih baharu, Ahmad Shabery sudah banyak melontarkan pandangan dan idea baharu dalam memajukan Felda. Lebih menarik ialah kerana pelaksanaan sambutan Hari Peneroka Felda 2024 ini tidak melibatkan penggunaan dana daripada kerajaan tetapi kutipan dana sendiri.

“Saya bagi pihak warga peneroka akan bersatu hati yang mana ini adalah kunci untuk kejayaan kita dalam membantu ke arah pemulihan Felda yang berterusan. Kami mahu melihat nama Felda akan terus meniti di peringkat antarabangsa seperti satu ketika dahulu,” katanya.

Salah satu kaedah kutipan dana ialah menganjurkan Kejohanan Golf Amal Felda FGV anjuran Yayasan Felda yang dijadualkan berlangsung pada 2 hingga 4 Februari di Kelab Golf Seri Selangor, Damansara, dengan pelancarannya dibuat oleh Ahmad Shabery, kelmarin.

Berdasarkan sambutan yang diberikan kelmarin, tidak syak lagi sasaran untuk menjana sumber kewangan sebanyak RM3 juta bagi menjayakan pelbagai aktiviti yang telah dirancang bagi sambutan Hari Peneroka Felda 2024 akan dapat dicapai dalam masa yang singkat.

Oleh sebab potensi besar pada Felda dan warganya, hanya melalui percakapan awal Ahmad Shabery dengan jaringannya, RM2 juta sudah mampu dikutip dengan komitmen RM1 juta dari satu penama, RM300,000 dari FGV, RM250,000 dari Maybank serta U-Mobile dan sebagainya.

Kesanggupan banyak pihak membuat penajaan dan komitmen lebih 300 pemain untuk menyertai kejohanan golf amal ini dan bilangannya dijangka akan terus meningkat menjadi petanda bahawa visi Ahmad Shabery untuk Felda difahami dan dikongsi serta mampu direalisasi.-UTUSAN

PENULIS Setiausaha Pertubuhan Pemberdayaan Ummah (Berdaya).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN