PETALING JAYA: Kelab badminton Sports Affairs sedia menawarkan tempat latihan buat mana-mana pemain kebangsaan yang sudah tidak lagi bernaung di bawah Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Jurulatih Sports Affairs, Nova Armada menjelaskan perkara ini bukanlah baru memandangkan mereka telah lama menyambut kedatangan beberapa pemain kebangsaan yang masih berhasrat untuk bergerak sebagai profesional.
ABM Jumaat telah mengumumkan pengguguran tiga pemain perseorangan lelaki antaranya Lee Shun Yang, Chia Jeng Hon dan Rex Hooi Shao Heng.
Shun Yang dikatakan bersetuju untuk kekal menjadi rakan pelatih di ABM, namun tiada halangan untuk dia meneruskan karier dengan kelab luar.
Begitupun, Nova mendedahkan pemain yang berminat untuk berlatih di Sports Affairs perlu membayar untuk perkhidmatan yang disediakan seperti jurulatih, program latihan dan penggunaan bulu tangkis.
Justeru jurulatih kelahiran Indonesia itu mencadangkan para pemain ini untuk mula mencari penaja peribadi sekiranya masih mahu meneruskan impian bergelar pemain badminton.
“Untuk berlatih di Sports Affairs bukan percuma, kita hanya menyediakan tempat latihan sahaja, tetapi kita terbuka untuk menerima sesiapa sahaja.
“Jika mereka mahu menyertai pertandingan di luar negara, mereka harus menyediakan bajet mereka sendiri. Untuk kejohanan di sekitar Asia Tenggara mungkin boleh dikatakan murah berbanding di Eropah. Ini adalah sebahagian asam garam menjadi pemain profesional,” jelas Nova kepada Utusan Malaysia.
Dalam masa yang sama, Nova ingatkan para pemain yang berminat tidak mengambil mudah program latihan mereka biarpun mereka bergerak sebagai pemain profesional.
“Disebabkan mereka yang membayar untuk program latihan, kadang-kala pemain-pemain ini hanya akan melakukan latihan pada waktu pagi, dan tiada sesi latihan pada petang seperti mana mereka melaluinya di ABM.
“Sepatutnya mereka menunjukkan komitmen yang tinggi, jika mereka mahu berjaya, mereka harus berusaha lebih keras. Sekalipun mereka mahu berlatih lebih banyak sesi, sudah pasti kami di pihak kejurulatihan sedia memberikannya,” tambah Nova. – UTUSAN










