Meskipun landskap politik negara dilanda pelbagai isu dan tidak ketentuan, MIC berjaya mengadakan perhimpunan agong ke-77, baru-baru ini. Hampir 1,500 orang hadir yang berlangsung di Dewan MAEPS, Serdang, Selangor.
Umumnya, Perdana Menteri atau Pengerusi Barisan Nasional (BN) dijemput untuk merasmikan persidangan. Namun, pada kali ini Perdana Menteri ataupun pemimpin-pemimpin parti komponen BN tidak dijemput.
Para perwakilan membangkitkan pelbagai isu dan antara yang menarik perhatian umum adalah apakah MIC menyokong kerajaan perpaduan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim?
MIC ditubuhkan pada 1946 untuk mewakili kepentingan kaum India ketika UMNO ditubuhkan bagi mewakili sebahagian besar orang Melayu pada tahun sama. Ketika itu, MIC merupakan satu-satunya parti politik tunggal yang dianggap sebagai suara kaum India kepada kerajaan zaman penjajahan British mahupun kerajaan yang ditubuhkan apabila negara mencapai kemerdekaan pada 1957.
Sejak ditubuhkan, MIC telah menempuh pelbagai cabaran dalam membela kepentingan komuniti India. Pada awalnya MIC menyokong parti Independent of Malaya (IMP) diterajui Datuk Onn Jaafar dan bertanding atas tiket IMP dalam pilihan raya yang julung kali diadakan bagi memilih wakil untuk Majlis Bandaran Kuala Lumpur pada 1952. Dalam pemilihan tersebut, 12 kerusi dipertandingkan dan hanya calon IMP diwakili MIC menang. Baki sembilan kerusi lagi dimenangi calon-calon yang mewakili pakatan UMNO dan MCA cawangan Kuala Lumpur diterajui Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Kemenangan calon-calon pakatan UMNO dan MCA tersebut telah menyedarkan kepimpinan MIC terhadap pentingnya hubungan baik dan kerjasama politik dengan UMNO dalam memastikan kemenangan bagi calon-calon MIC dalam pilihan raya. Dengan timbulnya kesedaran itu, MIC keluar dari IMP dan menyertai gabungan UMNO dan MCA yang melahirkan Parti Perikatan dengan simbolnya kapal layar pada 1954.
MIC menyertai pilihan raya umum (PRU) pertama pada 1955. Dua calon mereka telah diberi peluang untuk bertanding di kawasan majoriti pengundi Melayu. Kedua-duanya menang. Kemenangan dua calon ini menyedarkan kepimpinan MIC bahawa mereka memerlukan sokongan pengundi Melayu dalam mencapai kemenangan dalam pilihan raya.
HINDRAF
Menyedari realiti ini, kepimpinan MIC terus bersama UMNO yang menerajui gabungan Perikatan, seterusnya BN yang ditubuhkan pada 1974. Kerjasama MIC dengan UMNO menyebabkan bukan sahaja calon MIC, malah calon UMNO memenangi kebanyakan kerusi dipertandingkan. Sokongan hebat daripada pengundi Melayu dan India menyebabkan MIC menang 100 peratus dalam pilihan raya mulai PRU4 sehingga PRU11.
Namun, prestasi MIC merosot pada PRU12 kerana sebahagian besar pengundi India beralih sokongan kepada parti bukan MIC/BN kerana terpengaruh dengan propaganda politik disebarkan oleh Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf), kononnya kerajaan BN dikuasai UMNO bukan sahaja mengetepikan kaum India dalam arus pembangunan negara malah gagal membela kepentingan kaum itu. Sentimen dan persepsi negatif tersebut menyebabkan sokongan pengundi India terhadap MIC menyusut dalam pilihan raya yang diadakan seterusnya.
Dalam pada itu, kekalahan teruk calon-calon MIC sejak PRU12 menyebabkan ramai penganalisis politik mendakwa parti berkenaan tidak lagi relevan dalam politik negara kerana pengundi India telah menolak MIC/BN. Persoalannya, apakah benar andaian kononnya prestasi MIC merosot dalam PRU12 sehingga kini kerana sokongan sebahagian besar pengundi India beralih kepada gabungan Pakatan Harapan (PH)?
Sehubungan ini, analisa pola pengundian dalam PRU13 dan seterusnya menunjukkan kekalahan calon MIC bukanlah disebabkan oleh faktor penolakan pengundi India kepada MIC tetapi lebih kepada kemerosotan sokongan pengundi Melayu kepada calon-calon BN dan MIC. Lebih-lebih lagi faktor polarisasi kaum dan agama yang timbul dalam medan politik negara terutamanya menjelang PRU15. Malah calon-calon UMNO juga menghadapi dilema sama iaitu peralihan sokongan pengundi Melayu kepada parti bukan UMNO/BN.
Di sebaliknya, kaum India masih mengharapkan MIC membela mereka kerana parti itu satu-satunya yang mewakili kepentingan kaum India di negara ini sejak merdeka. Meskipun MIC merupakan suara kaum India di negara ini, kerajaan perpaduan yang ditubuhkan susulan PRU15 seolah-olah meninggalkan malah mengetepikan MIC daripada menyertai kerajaan perpaduan. Kononnya ramai ahli Parlimen berketurunan India daripada PH telah menyertai kerajaan perpaduan.
Persoalannya, apakah ahli-ahli Parlimen keturunan India daripada gabungan PH mampu menjuarai kepentingan kaum India atau pun mampu mewakili suara majoriti kaum India?
Meskipun kepimpinan MIC menyokong kerajaan perpaduan, para perwakilan persidangan MIC pada kali ini menzahirkan perasaan kecewa. Mereka mendakwa BN dan kerajaan perpaduan pandang lekeh terhadap kekuatan dan pengaruh MIC dalam kalangan kaum India. Apa pun, para perwakilan amat berpuas hati dengan kepimpinan dan kebijaksanaan Tan Sri S.A.Vigneswaran yang memudi parti dengan jayanya malah sentiasa mengutamakan kepentingan parti dan kebajikan ahli-ahli MIC. Mereka juga terharu dengan gaya kepimpinan Vigneswaran yang mempunyai wawasan tersendiri untuk menjadikan MIC sebagai parti politik yang kebolehmandirian dalam mengurus dan membantu ahli-ahli.
Dengan itu, para perwakilan persidangan sebulat suara meluluskan usul mengangkat Vigneswaran sebagai Presiden dan Datuk Seri M. Saravanan sebagai Timbalan Presiden parti tanpa bertanding pada pemilihan yang akan diadakan pada 2024.
Jadi, tidaklah keterlaluan sekiranya menyimpulkan MIC kini menjadi harapan komuniti India malah masih relevan bagi politik negara berbilang kaum.-UTUSAN
Datuk M. Periasamy ialah penganalisis sosial & politik.










