Jawatan PM: Siapa yang layak?

Jawatan PM: Siapa yang layak?

ANWAR Ibrahim (baris depan, kiri) dilihat sebagai tokoh yang menyerlah di pentas antarabangsa dan mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pemimpin dunia lain. – PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sejak akhir-akhir ini timbul beberapa isu berhubung jawatan Perdana Menteri. Di negara ini, Perdana Menteri itu adalah satu jawatan yang amat hebat. Mungkin atas sebab itulah ia menjadi rebutan segelintir ahli politik.

Selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman baru-baru ini, timbul pula spekulasi konon pemenangnya, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga lebih dikenali sebagai Dr. Sam layak diangkat sebagai calon Perdana Menteri Perikatan Nasional (PN).

Kemudian tokoh veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang pula menyatakan bukan Melayu pun layak untuk menjadi Perdana Menteri.

Memuatkan artikel berkaitan…

Susulan itu, ramailah tokoh politik dan pemerhati bebas yang memberi pandangan berdasarkan perlembagaan dan tradisi.

Apa pun, isu Perdana Menteri ini memang hebat diperkatakan. Tokoh politik seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dari sejak awal lagi bukan sahaja nampak ambitious, sememangnya mempunyai aura untuk memegang jawatan nombor satu negara itu.

Ada pula tokoh yang mungkin tidak pernah mengimpikan jawatan itu tetapi atas qada dan qadar telah didorongi menjadi Perdana Menteri kerana situasi dan keadaan politik semasa.

Apabila Dr. Sam disebut oleh orang ramai sebagai tokoh yang layak untuk menjadi Perdana Menteri, apakah maksudnya?

Ia bermakna kemenangan besar beliau dalam PRK itu menunjukkan kecemerlangan beliau, selain karakternya yang tidak ekstrem.

Ahmad Samsuri dipetik oleh media sebagai berkata, beliau tidak pernah memendam cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri.

Namun, tambahnya, beliau sedia memberi pertimbangan sekiranya diminta suatu hari nanti.

Katanya, walaupun bukan matlamatnya menyertai politik untuk menjawat jawatan yang begitu tinggi, beliau sedia menimbangnya sekiranya diberikan amanah itu oleh parti dan rakyat.

UKUR BAJU DI BADAN SENDIRI
Bukan juga tujuan saya untuk menilai siapa yang boleh dan siapa pula yang tidak layak.

Dr. Sam bagaimanapun adalah tokoh yang tidak kontroversial seperti tokoh partinya yang lain. Setakat ini beliau juga nampak bersih.

Tetapi apakah itu sahaja kriteria yang diperlukan untuk memegang jawatan Perdana Menteri? Apakah cukup dengan nampak bersih dan tidak berkontroversi?

Jika itulah menjadi kayu ukurannya, secara terang-terangan ahli politik yang celupar akan gugur kelayakannya.

Seorang Perdana Menteri perlu pandai menjaga mulut dan pada masa sama pandai dan petah bercakap, ada idea atau kecenderungan untuk berfikir, tidak mudah melatah, ligat dan pastinya harus menguasai bahasa Inggeris selain bahasa Melayu bagi membolehkannya memperjuangkan isu-isu bukan sahaja dalam negara tetapi juga di luar negara.

Justeru, setakat hendak jadi Perdana Menteri sahaja tidak mencukupi. Kena dilihat mampu melaksanakan tugas sebagai seorang Perdana Menteri dan walaupun tidak disebut dalam perlembagaan, secara tradisi dan untuk kestabilan, tokoh berkenaan hendaklah juga terdiri daripada ahli politik Melayu.

Satu lagi kriteria penting mengikut amalan kita, bagi mereka yang bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri hendaklah terlebih dahulu menjadi ahli mana-mana parti politik.

Ini kerana parti itu hendaklah menang paling besar dalam pilihan raya bagi membolehkan pemimpinnya dicalonkan.

Namun, tidak salah bagi sesiapa pun untuk mempunyai cita-cita tetapi mereka perlu terlebih dahulu ukur baju di badan sendiri.

Setakat ini Anwar dilihat mampu memenuhi kriteria yang disebutkan itu.

Selain ingin membuktikan dirinya dapat menjuarai isu-isu kepentingan rakyat dalam negara selepas begitu lama mengidamkan jawatan Perdana Menteri, beliau juga kelihatan sebagai tokoh yang menyerlah di pentas antarabangsa dan mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pemimpin dunia yang lain.-UTUSAN

Penulis pernah berkhidmat di Utusan Malaysia dan penulis khas di Berita Harian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini