Isu warganegara: Kecaman ke atas Saifuddin tidak berasas

Isu warganegara: Kecaman ke atas Saifuddin tidak berasas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kabinet pada 18 Februari lalu bersetuju meminda Perlembagaan Persekutuan menggantikan perkataan ‘bapanya’ dalam Bahagian I dan Bahagian II Jadual Kedua dengan perkataan ‘sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya’. Pindaan ini bertujuan untuk memberikan hak kepada wanita Malaysia dengan suami warga asing untuk mewariskan kewarganegaraan kepada anak-anak yang dilahirkan di luar negara sekali gus merealisasikan komitmen negara terhadap kesaksamaan jantina dan memenuhi hak terhadap kanak-kanak.

Pada 10 Jun, Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan kementerian itu mengenal pasti lapan perkara untuk dimasukkan sebagai cadangan dalam pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan pemberian kewarganegaraan ini. Dua jawatankuasa khas diwujudkan bagi menjalankan kajian terperinci mengenainya, satu di peringkat KDN yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha (KSU) KDN dan satu lagi di peringkat Kabinet yang dipengerusikan oleh beliau, bagi memastikan satu cadangan yang komprehensif dapat dihasilkan.

Cadangan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan ini berdasarkan perkembangan semasa bagi memastikan ia relevan untuk masa ini dan akan datang berbanding 66 tahun dahulu. Cadangan ini juga telah melalui proses libat urus bersama pelbagai pihak berkepentingan termasuk masyarakat sivil, ahli Parlimen, ahli akademik dan parti politik. Di samping itu, kajian perbandingan dengan negara lain dan persetujuan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan juga telah dibuat.

Malangnya, walaupun proses libat urus dijalankan, Zaid Malek, Pengarah Lawyers for Liberty (LFL), mengeluarkan kenyataan media pada 24 Jun, 11 Julai, 4 Oktober dan 2 November yang mendakwa cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan ini adalah sesat, bodoh, merbahaya, tidak adil dan kejam tanpa memberikan hujahan dan perincian mengapa cadangan pindaan ini boleh didakwa sebegitu.

Sebaliknya, beliau secara ringkas merujuk kepada dua cadangan pindaan yang dilihat sebagai bermasalah, iaitu:
1) Pemansuhan peruntukan Seksyen 1(e) Bahagian II Jadual Kedua yang dikatakan melindungi seseorang daripada menjadi tidak bernegara (stateless).
2) Pindaan peruntukan Seksyen 19b Bahagian II Jadual Kedua yang dikatakan melucutkan hak kanak-kanak baru lahir yang dijumpai ditinggalkan untuk mendapat kewarganegaraan.
Mengejutkan bila dakwaan liar begini boleh disokong oleh Presiden Majlis Peguam, Karen Cheah, yang menyebut kononnya pindaan ini adalah ‘10 langkah ke belakang’ yang akan menjadikan lebih ramai orang tidak bernegara sedangkan faktanya adalah bertentangan.

Untuk makluman, peruntukan Seksyen 1(e) Bahagian II Jadual Kedua berbunyi:
1. Tertakluk kepada peruntukan Bahagian III Perlembagaan ini, orang yang berikut yang lahir pada atau selepas Hari Malaysia ialah warganegara melalui kuat kuasa undang-undang, iaitu:
(e) tiap-tiap orang yang lahir di Persekutuan dan pada masa dia lahir tidak menjadi warganegara mana-mana negara selain menurut kuasa perenggan ini.
Peruntukan Seksyen 19b Bahagian II Jadual Kedua pula adalah berbunyi:
Bagi maksud Bahagian I atau II Jadual ini, mana-mana kanak-kanak baru lahir yang dijumpai ditinggalkan tanpa perlindungan di mana-mana tempat hendaklah dianggap, sehingga dibuktikan sebaliknya, telah lahir di tempat itu dan ibunya bermastautin secara tetap di tempat itu.

Peruntukan Seksyen 1(e) dan Seksyen 19b Bahagian II Jadual Kedua bukan dimansuhkan tetapi hanya akan diletakkan di bawah kategori Kewarganegaraan Melalui Pendaftaran berbanding di bawah kategori Kewarganegaraan Melalui Kuat Kuasa Undang-Undang (KKU) sebelum ini.

Mengikut amalannya, walaupun peruntukan Seksyen 1(e) dan Seksyen 19b Bahagian II Jadual Kedua merupakan peruntukan mengenai KKU, namun elemen penyiasatan tetap dibuat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menyiasat latar belakang kes kanak-kanak berkenaan. Ini bagi memastikan kerajaan tidak sewenang-wenangnya memberikan taraf kewarganegaraan KKU kepada kanak-kanak itu.

PEMERDAGANGAN BAYI
Stesen televisyen Al Jazeera pada 24 November 2016 menyiarkan mengenai siasatan wartawannya selama empat bulan yang menunjukkan sindiket pemerdagangan bayi berkembang biak di Malaysia dengan bayi dijual seperti komoditi dengan harga antara US$1,500 (RM6,600) dan US$2,500 (RM11,000) seorang membabitkan doktor dan pegawai kerajaan yang rasuah.

Lebih mutakhir, sebuah akhbar tempatan pada 7 Jun lalu mendedahkan kewujudan sindiket menawarkan ‘pakej’ menjual bayi tidak sah taraf atau bayi pendatang haram kepada warga tempatan lengkap dengan Sijil Kelahiran dan MyKid sah dikeluarkan JPN pada harga semurah RM3,000 melibatkan pembabitan beberapa pihak antaranya pembantu atau jururawat pusat perubatan swasta, doktor, ‘orang tengah’ dan segelintir kakitangan JPN di Lembah Klang.

Bagi mencegah sindiket pemerdagangan bayi dari terus berleluasa, wajar peruntukan Seksyen 1(e) dan Seksyen 19b Bahagian II Jadual Kedua dipindahkan daripada KKU kepada Pendaftaran. Pemindahan ini bagaimanapun tidaklah bermakna hak kanak-kanak ini untuk mendapat kewarganegaraan akan dilucutkan kerana masih boleh mendapat kewarganegaraan di bawah kaedah Pendaftaran.

Elemen permohonan perlu untuk memastikan hanya permohonan yang layak dipertimbangkan. Ia penting kerana pelucutan kewarganegaraan di bawah KKU setelah diberi dengan cara fraud, representasi palsu atau penyembunyian apa-apa fakta material atau dengan silap tidak boleh dibuat kerana di bawah Perkara 26(1)(a) dan (b) Perlembagaan ini hanya terpakai untuk mereka yang menjadi warganegara melalui pendaftaran atau melalui penaturalisasian sahaja.

Pindaan ini juga penting bagi memelihara institusi kekeluargaan dan memartabatkan institusi perkahwinan kerana ramai kanak-kanak sebegini adalah dari golongan tidak sah taraf. Malah, perbandingan dengan negara Singapura dan United Kingdom (UK) juga mendapati peruntukan mengenai ‘stateless’ hanya diperuntukkan dalam peruntukan tambahan dan bukannya dalam perundangan kewarganegaraan mengenai KKU negara tersebut.

Semua pindaan ini terbukti tidak akan sesekali menafikan hak rakyat yang layak mendapat taraf warganegaraan.

Malah, KDN di bawah Saifuddin sebaliknya terbukti paling komited menyelesaikan permohonan kewarganegaraan kerana setakat September lalu sahaja KDN sudah menyelesaikan 9,539 permohonan sebegini.-UTUSAN

MUHAMMAD Akmal Imran adalah graduan ijazah undang-undang dari Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN