Selongkar tong sampah cari gigi - Utusan Malaysia

Selongkar tong sampah cari gigi

Rabiah Al-Adawiyah Rahmat, pakar forensik pergigian tunggal di Malaysia dan Asia Tenggara mempunyai kepakaran dalam forensik DNA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK pernah terlintas di fikiran Dr. Rabiah Al-Adawiyah Rahmat, 36, untuk terlibat dalam tugasan besar seperti identifikasi mangsa nahas pesawat MH17 yang ditembak di timur Ukraine.

Tambahan pula ketika itu dia belum lagi bertaraf pakar forensik gigi dan masih hijau dalam bidang berkenaan.

Walaupun penglibatannya cuma sekelumit tetapi berjaya menyuntik semangat untuk terus meneroka bidang forensik pergigian.

Pensyarah dan pakar forensik pergigian di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) itu berkata, dia ditugaskan mencari rekod gigi mangsa untuk disalurkan kepada pasukan forensik yang beroperasi di Amsterdam.

“Dalam situasi genting itu, saya berusaha mendapatkan sebanyak dan selaju mungkin maklumat,” katanya ketika ditemui Seri baru-baru ini.

Menceritakan penglibatan dalam kerjaya berkenaan, Rabiah mengakui tertarik untuk mendalami ilmu forensik ketika di awal perkhidmatannya sebagai doktor gigi.

Keinginan tinggi untuk meneroka bidang baharu mendorongnya mendekati pakar forensik pergigian pertama Malaysia, Dr. KNN Phrabhakaran untuk mendapatkan nasihat serta pandangan.

“Di awal kerjaya, saya sudah tetapkan rancangan untuk menyambung pengajian ke peringkat tertinggi dan dalam tempoh mencari pengkhususan yang sesuai, saya terbaca mengenai forensik pergigian.

“Dr. Phrabhakaran kemudian mengajak saya menyertai pasukannya di PPUM pada 2014 dan di situlah bermulanya episod penglibatan saya dalam dunia forensik gigi,” katanya.

Pertama kali ke bilik mayat bagi tugasan pengecaman bersama penyelianya, suri hati Shah Faiz Shawaluddin ini tidak sesekali gentar atau menyesal dengan keputusan yang dibuat.

Sebaliknya detik tersebut menguatkan lagi motivasinya yang bidang forensik pergigian adalah jiwanya, kerana menemui titik kepuasan dan keseronokan.

Sepanjang 10 tahun bergelumang dalam dunia forensik pergigian, hampir 150 kes pernah dikendalikan Dr. Rabiah Al-Adawiyah.

Kes-kes itu bukan sahaja berlaku dalam negara, malah di Australia.

Antara pengalaman yang sukar ialah apabila perlu menguruskan pengecaman mayat pembunuh kanak-kanak.

Katanya, individu itu didapati cuba melarikan diri dengan terjun ke Sungai Klang selepas dikesan melakukan jenayah berkenaan oleh orang awam.

“Kes ini berlaku pada 2014 dan ketika dijumpai, mayat lelaki itu sudah kembung.

“Bayangkan saya membuat proses pengecaman terhadapnya, sedangkan sudah tahu dia adalah pembunuh kanak-kanak perempuan,” katanya.

Anak jati Seri Kembangan, Selangor ini juga pernah menyelongkar tong sampah yang dipenuhi ulat bagi mendapatkan serpihan gigi mangsa untuk melengkapkan proses identifikasi.

Situasi itu berlaku di Australia apabila dia ditugaskan membuat pengecaman identiti mayat reput yang ditemukan dalam tong sampah.

“Selepas bedah siasat, didapati gigi mangsa tidak cukup dan berkemungkinan luruh ketika dalam tong sampah.

“Polis kemudian membawa barang kes itu ke bilik mayat dan kita berusaha mencari gigi mangsa dalam timbunan sampah busuk serta penuh ulat,” kongsinya.

Rabiah berkata, setiap kes itu memberikan pengalaman berbeza, namun dia lega kerana tidak berdepan sebarang situasi ‘pelik-pelik’.

Pakar ketujuh negara

Rabiah mengambil keputusan menyambung pengajian dalam forensik pergigian di University of Adelaide, Australia pada 2015.

Dia sekali lagi mencabar kemampuan diri dengan memilih bidang forensik asid deoksiribonukleik (DNA) pula sebagai pengkhususan bagi ijazah doktor falsafah (PhD) yang diambil di institusi sama.

Ibu kepada cahaya mata perempuan berusia enam bulan ini diiktiraf sebagai pakar forensik pergigian ketujuh di Malaysia daripada keseluruhan 10 yang ada ketika ini.

Daripada jumlah itu, hanya empat merupakan golongan wanita.

Lebih istimewa, dia juga merupakan satu-satunya pakar forensik pergigian di Malaysia dan Asia Tenggara yang mempunyai kepakaran dalam forensik DNA.

Bukan sekadar identifikasi mayat

Forensik pergigian dilakukan bagi mengecam mayat yang tidak dapat dikenal pasti identiti.

Pendekatan itu merupakan antara tiga kaedah selain DNA dan cap jari yang diguna pakai pihak berkuasa termasuk Polis Antarabangsa (Interpol).

Katanya, pasukan forensik akan melakukan bedah siasat pada bahagian mulut dan maksilofasial (muka) untuk mengumpul sebanyak mungkin maklumat.

Di sisi suami, Shah Faiz Shawaluddin ketika majlis konvokesyen ijazah doktor falsafah (PhD) di University of Adelaide.

“Dalam masa sama kita cuba mendapatkan rekod pergigian mangsa dan data itu kemudian dibandingkan dengan penemuan bedah siasat bagi menentukan identitinya.

“Setiap individu memiliki struktur gigi berbeza dan rekod (gigi) lengkap akan membolehkan proses pengecaman diselesaikan dengan mudah serta cepat.

“Jika maklumat itu tidak mencukupi, sekurang-kurangnya kita dapat membantu pasukan keselamatan mendapatkan gambaran tentang identiti mayat seperti jantinanya, bangsa dan taraf sosioekonomi,” katanya.

Selain mayat, forensik gigi turut digunakan untuk kes penderaan melibatkan gigitan di samping bagi menganggarkan usia kanak-kanak atau remaja tanpa identiti.

Bagi penganggaran usia, hasil analisis yang dibuat biasanya hampir tepat dengan umur sebenar individu berkenaan.

Keadilan untuk mangsa, keluarga

Merawat pesakit hidup ketika bergelar doktor gigi dan memeriksa mayat sebagai pakar forensik, jelasnya, kedua-dua kerjaya itu memiliki cabaran tersendiri.

Tugasan doktor gigi menuntut kesabaran tinggi bagi memenuhi pelbagai ragam pesakit yang mahukan keselesaan dan kecantikan oral.

Manakala, forensik pula bertanggungjawab memberi petunjuk dan jawapan kepada waris agar setiap persoalan mengenai bencana atau nahas dapat dirungkaikan.

“Apabila terlibat dalam dunia forensik, saya tidak kisah sama ada kes dikendalikan mayat atau orang hidup kerana paling mustahak saya mahu keluarga dapat jawapan yang dicari.

“Peranan kami secara tidak langsung dapat memberikan keadilan kepada si mati dan keluarga sekali gus membantu sistem perundangan dalam menyelesaikan kes-kes tertentu,” katanya.

Sehubungan itu ujarnya, pasukan forensik perlu bijak mengawal emosi agar rasa sedih terhadap mangsa tragedi misalnya tidak terbawa-bawa hingga mempengaruhi urusan analisis kesimpulan.

Gigi lebih keras daripada tulang

Walaupun mangsa rentung, tetapi struktur giginya masih lagi kuat dan terpelihara terutama di bahagian akar.

Sebab itulah gigi dijadikan sebagai bukti bagi urusan pengecaman identiti.

Enamel lapisan luar gigi mengandungi 97 peratus mineral sekali gus menjadikannya struktur paling keras dalam badan berbanding tulang.

Malah gigi mempunyai kadar ketahanan tinggi terhadap suhu dan perubahan cuaca.

“Dalam pemeriksaan pengecaman, pasukan forensik turut melihat tampalan pada gigi mayat,” katanya.

Negara tiada pangkalan data gigi

Malaysia belum memiliki pangkalan data pergigian yang menyeluruh dan standard seperti di negara-negara lain.

Bagaimanapun Rabiah yakin hasrat tersebut dapat dicapai dalam tempoh antara lima ke 10 tahun lagi.

“Jika berlaku apa-apa bencana atau keperluan, maka pasukan forensik gigi boleh terus mengakses maklumat dalam pangkalan data sekali gus dapat memudahkan dan mempercepatkan proses identifikasi.

“Sebab itu penting untuk seluruh rakyat melakukan pemeriksaan gigi berkala, bukan sekadar untuk memastikan oral sihat atau mengesan risiko penyakit. Sebaliknya rekod turut disimpan untuk rujukan masa depan,” katanya.

Jangan takut

Wanita tidak seharusnya membataskan bakat dan kelebihan dimiliki hanya kerana kata-kata negatif masyarakat.

Demikian saranan beliau bagi memastikan kaum hawa dapat meneruskan impian masing-masing.

Katanya, keputusan mendalami ilmu forensik pergigian sedekad lalu dibuat tanpa terlalu memikirkan yang bidang itu didominasi lelaki.

Matlamatnya bukan untuk bersaing, sebaliknya mahu berganding bahu dengan lelaki dalam menyumbang kepakaran demi manfaat masyarakat.

“Saya harap wanita terutama generasi muda tidak takut untuk menyertai pengkhususan yang bunyinya menakutkan seperti forensik pergigian atau pembedahan.

“Stereotaip wanita tidak setanding lelaki sudah lapuk kerana ramai kaum hawa dilantik sebagai pembuat keputusan di Malaysia misalnya gabenor, peguam negara dan menteri selain bergelar jurutera petroleum, juruterbang serta angkasawan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN