Sabar, beri sedikit masa lagi pada Anwar

Sabar, beri sedikit masa lagi pada Anwar

KETIKA membentangkan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) baru-baru ini, Anwar Ibrahim menzahirkan cita-cita, harapan serta komitmen kerajaan untuk memulihkan imej negara di peringkat antarabangsa sekali gus mengangkat darjat menjadi sebuah negara bermaruah dan antirasuah. – FB Anwar Ibrahim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEREALI­SASIKAN hasrat untuk membentuk sebuah bangsa bermaruah memerlukan suatu tempoh masa panjang apatah lagi dalam keadaan negara berhadapan pelbagai cabaran sosial, ekonomi dan politik baik di peringkat domestik mahupun global. Ironinya, kehebatan kota Rom misalnya sering diungkapkan dalam pepatah, kota Rom tidak dibina dalam sehari. Ini bermaksud sesuatu perubahan besar seperti reformasi institusi dijanjikan oleh kerajaan sudah tentu memerlukan masa lebih lama untuk dilaksanakan serta dinilai impaknya.

Hakikatnya, dalam konteks ini semua bermula dengan impian, sasaran dan penetapan matlamat yang perlu disulami dengan aspek kecekapan pelaksanaan mengambil kira segala cabaran termasuk kekangan masa, kemampuan kewangan, sokongan rakyat dan pemegang taruh serta iltizam jitu untuk mencapainya.

Ketika membentangkan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan cita-cita, harapan serta komitmen kerajaan untuk memulihkan imej negara di peringkat antarabangsa sekali gus mengangkat darjat menjadi sebuah negara bermaruah dan antirasuah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Saya cukup teruja dengan kenyataan negara bermaruah dan antirasuah kerana sejak kebelakangan ini, imej negara agak tercalar dengan isu rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan cukup serius termasuk membabitkan nama-nama besar di arena politik tanah air.

Kedudukan terbaru Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia yang terus merosot untuk tempoh tiga tahun hingga 2022 misalnya, memperlihatkan pandangan dan persepsi masyarakat antarabangsa tentang situasi dan masalah rasuah di negara kita. Justeru, sasaran kerajaan untuk menggapai kedudukan ke-25 teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah sedunia dalam tempoh 10 tahun wajar disambut baik oleh semua pihak kerana ia bakal menjadi antara indikator signifikan untuk menjadi sebuah negara bermaruah dan antirasuah.

Kerajaan juga dilihat serius dalam soal ini apabila bersetuju untuk memperkenalkan Akta Tatakelola Sektor Awam dan Pelan Integriti sebagai panduan tatakelola bebas rasuah kepada semua entiti baik dalam sektor awam mahupun swasta. Langkah ini dilihat penting kerana kita perlu ada akta dan garis panduan jelas supaya dapat menangani masalah rasuah di peringkat akar umbi.

Selain itu, antara inisiatif lain telah dimulakan ialah pembentukan dua pasukan petugas khas bagi mempercepatkan usaha pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, sekali gus memastikan tadbir urus lebih demokratik dan mantap di samping meningkatkan pentadbiran undang-undang. Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, ia membabitkan penubuhan Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif dan Pasukan Petugas Khas Teknikal.

Rakyat perlu sedar, kerajaan semakin serius untuk mengotakan komitmen bagi melaksanakan reformasi institusi yang telah dijanjikan sekian lama sejak Anwar mengambil alih tampuk pemerintahan negara dengan mengetuai kerajaan perpaduan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Dalam hal ini, kita perlu berpijak di bumi nyata kerana tempoh masa sekitar 10 bulan berlalu sememangnya tidak boleh dijadikan kayu ukur untuk menilai prestasi sebenar kerajaan kerana usaha untuk melaksanakan reformasi institusi perlu bermula dari bawah selain berhadapan pelbagai situasi sosiopolitik tidak menentu termasuk masalah kegawatan ekonomi global.

Apa pun, kini kita dapat lihat dengan jelas satu demi satu inisiatif yang mula diperkenal dan dilaksanakan menjurus ke arah mengotakan janji asal iaitu melakukan reformasi institusi bagi memperbaiki aspek tadbir urus dan tata kelola pentadbiran negara di semua peringkat lapisan.

MALU, TAKUT
Ironinya, reformasi institusi, struktur serta sistem yang dihasratkan oleh kerajaan memerlukan suatu tempoh masa bersesuaian untuk dilaksanakan dan dinilai hasilnya secara nyata dan jelas. Hal ini kerana bukan mudah untuk mengubah sistem dan struktur sedia ada terutama membabitkan soal sikap dan tingkah laku manusia seperti dalam aspek rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Hakikatnya, tugas untuk betulkan yang biasa dan biasakan yang betul dalam soal tadbir urus semakin mencabar kerana masalah rasuah dilihat sudah menjadi suatu yang lazim dalam kehidupan masyarakat baik di sektor awam mahupun swasta. Kita perlu akui rasa malu mahupun takut semakin hilang sebaliknya penjenayah kolar putih ini terus rakus membolot harta awam sehingga merugikan negara dan menjejaskan kesejahteraan rakyat.

Jangan lupa bukan mudah untuk mencetuskan kesedaran serta mengubah sikap dan tingkah laku orang lain. Buktinya, walaupun tangkapan demi tangkapan dibuat oleh pihak berkuasa selain program kesedaran dan pencegahan secara berterusan, namun bilangan penjenayah rasuah masih terus meningkat dan membimbangkan.

Jadi, kita perlu bersikap lebih adil dalam menilai inisiatif sedang dilaksanakan kerajaan dan perlu sabar menunggu hasilnya. Sewajarnya kita memberi ruang dan peluang kepada Anwar dan pasukannya untuk melaksanakan reformasi institusi yang dijanjikan tanpa sebarang gangguan. Tidak salah untuk kita memberi ruang kepada kerajaan ini untuk membuktikan kemampuan mereka supaya boleh menilai prestasi dan pencapaian mereka dengan lebih objektif dan adil pada penghujung tempoh berakhirnya mandat diberikan.

Sesungguhnya negara dan rakyat kita berada di persimpangan dan dicengkam dengan pelbagai masalah tadbir urus serta tata kelola yang serius. Ini menunjukkan pelaksanaan reformasi institusi bukan lagi satu pilihan, justeru janganlah terlalu cepat melatah dan menjatuhkan hukuman berdasarkan prestasi 10 bulan sebaliknya biarkan pentadbiran ini mencukupkan tempoh lima tahun sebelum kita membuat kesimpulan. Tuntasnya, negara madani tidak boleh dibina dalam sehari.-UTUSAN

PENULIS ialah pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×