NIKMAT kemerdekaan bukan hanya wajar diraikan saban tahun tetapi menjadi titik tolak kepada pembinaan dan pengukuhan negara berdaulat. Kemerdekaan tidak boleh dilihat semata-mata peralihan kuasa daripada penjajah kepada kepemimpinan watan, sebaliknya suatu ruang dan peluang untuk membangunkan negara mengikut acuan sendiri.
Sepanjang tempoh kemerdekaan, kita telah meletakkan asas kukuh ke arah pembinaan negara bangsa ditunjangi sistem pendidikan, ekonomi dan politik yang mengambil kira aspek sejarah dan perubahan sezaman.
Dalam konteks sistem pendidikan misalnya, kita menggabung jalin pendekatan kuota dan meritokrasi bagi memastikan ekuiti atau kesaksamaan berlaku dalam masyarakat. Pendidikan yang menjadi alat pemersatu masyarakat wajar didukung dengan langkah inklusif bagi menjamin keadilan sosial.
Pembinaan dan pengukuhan sesebuah negara dipacu oleh penguasaan ilmu dan penciptaan tamadun yang tinggi. Dalam hal ini, kita tidak boleh membiarkan sebilangan anak-anak muda terhalang kepada akses pendidikan termasuk pendidikan tinggi hanya disebabkan ketidakmampuan atau halangan kewangan. Jika ini berlaku, pendidikan gagal memberi keadilan kepada masyarakat.
Kini soal pendidikan tidak hanya terkait soal akses dan kualiti. Kita perlu merakyatkan ilmu dengan usaha pemindahan ilmu kepada masyarakat. Ini akan dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat dengan inovasi sosial dan penemuan ilmu baharu. Segala ilmu yang dikumpul di universiti mesti dipindahkan ke masyarakat agar ilmu itu benar-benar dapat dimanfaatkan.
Universiti khususnya mesti menggerakkan usaha ini dengan menjadikan kampung-kampung sebagai makmal hidup mereka. Hal ini pernah diutarakan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sewaktu merasmikan Program Mesra Rakyat dan Pelepasan Benih Ketam Nipah anjuran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Sedili Kecil, Kota Tinggi, baru-baru ini.
Dari sudut politik pula, kita dapat mengurus kepelbagaian melalui kewujudan parti-parti politik sejak kemerdekaan lagi.
Politik sederhana berteraskan kepada persefahaman dan kerjasama politik dapat memaut hubungan etnik dengan berkesan.
Naratif politik kerjasama banyak dipengaruhi oleh faktor elit politik, etnisiti dan perkongsian kuasa antara kaum. Dari segi sejarah, konsep politik kerjasama sebenarnya mula diaplikasi sebelum pembentukan Perikatan dan Barisan Nasional (BN) lagi, iaitu melalui penubuhan Jawatankuasa Hubungan Komuniti (CLC) pada 1949.
WARAS
CLC ditubuhkan oleh British sebagai satu komitmen untuk menggalakkan persefahaman dan kerjasama dalam kalangan elit politik bagi mencapai konsensus nasional dan pembangunan bangsa. Penubuhan CLC sangat kritikal pada ketika itu apabila Tanah Melayu berhadapan ancaman ketegangan kaum dan komunis khususnya apabila Persekutuan Tanah Melayu diperkenalkan pada 1948.
Meskipun CLC adalah sebuah organisasi tidak rasmi, namun banyak keputusan yang dicapainya diambil oleh kerajaan untuk mewujudkan persefahaman dan kerjasama antara kaum di Tanah Melayu. Malah, CLC dianggap sebagai pencetus kepada kemunculan konsep consociational democracy yang seterusnya mencorakkan landskap politik di Malaysia. Pendek kata, ini adalah kearifan tempatan yang penting dalam menyatukan masyarakat berbilang kaum.
Kewujudan kerajaan perpaduan yang membawa gagasan Malaysia Madani oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan kerjasama politik pasca pilihan raya yang julung kali berlaku. Meskipun kerjasama politik ini bersifat longgar, ia suatu kearifan tempatan yang bermatlamatkan kestabilan politik demi pengukuhan negara.
Selain itu, amalan berpolitik mestilah bersifat politik membina negara. Amalan berpolitik tidak wajar meruntuhkan sistem bernegara yang telah terbina sebaliknya memperkukuh kekuatan Malaysia. Sekuat mana pun kita berpolitik, ia mesti meletakkan kepentingan negara paling tinggi.
Pada masa sama, amalan berpolitik kita mesti berasaskan kepada ilmu dan nilai. Ia mesti jauh sekali berpandukan kepada sentimen dan persepsi yang pada akhirnya merugikan masyarakat dan negara. Justeru, pendidikan politik dalam kalangan anak-anak muda yang meletakkan politik bina negara sebagai matlamat utama mesti diusahakan oleh semua pihak sama ada berbentuk formal, tidak formal dam bukan formal.
Proses demokrasi melalui pilihan raya amat subur di negara ini. Sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kita meneruskan pemilihan untuk pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri selain Pilihan Raya Kecil (PRK) di Parlimen Simpang Pulai, Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram dan Pelangai tidak lama lagi.
Setiap kali pilihan raya, kita akan diuji dengan isu-isu menyentuh soal agama dan kaum. Meskipun kita mendepani era globalisasi yang menyaksikan dunia tanpa sempadan, politik identiti menjadi cabaran utama kita dalam berpolitik. Jika politik identiti ini tidak diuruskan dengan baik, ia boleh mengganggu pemikiran masyarakat untuk melihat politik dari sudut yang rasional dan waras.
Cara dan amalan kita mengurus soal pendidikan dan politik seperti disentuh dalam penulisan ini sewajarnya diangkat menjadi kearifan tempatan yang penting dalam membangunkan masyarakat sekali gus melestarikan kemerdekaan. Meskipun dipandang remeh oleh sebilangan pihak, ia adalah suatu kekuatan kita dalam mengisi dan melestarikan kemerdekaan. Ini seiring dengan gagasan Malaysia Madani yang menekankan soal kemampanan kerana kemerdekaan yang kita miliki selama ini wajib dipertahankan.
Pada kesempatan Hari Kebangsaan ini, marilah sama-sama kita memperkukuhkan perpaduan dan mengurangkan polarisasi dalam kalangan masyarakat ke arah memaknai erti kemerdekaan sebenar.-UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Universiti Malaysia Terengganu (UMT).











