PERGERAKAN pengakap wujud sejak sekian lama di negara ini, iaitu hampir setengah abad sebelum kita mencapai kemerdekaan pada 1957. Menelusuri sejarah panjang pergerakan pengakap tanah air, ia bermula dengan penubuhan sebuah kumpulan percubaan pengakap di Pulau Pinang pada 1908.
Sejak itu, pergerakan pengakap berkembang pesat ke serata negara dan memainkan peranan dalam memberi latihan kepada golongan muda remaja.
Pada 1 September 1957, Federation of Malaya Boy Scout Association telah dikenali sebagai Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) dan menjadi ahli secara rasmi Pertubuhan Pergerakan Pengakap Dunia (WOSM). Seterusnya, ia diperbadankan di bawah Akta Parlimen No. 784 Akta Persekutuan Pengakap-Pengakap Malaysia (Pemerbadanan) Tahun 1968.
Kini, PPM berdiri teguh sebagai organisasi pendidikan tidak formal terbesar di negara ini dengan hampir 300,000 ahli berdaftar. PPM terus melakar pelbagai pencapaian membanggakan baik di peringkat domestik mahupun antarabangsa.
Biro Pengakap Sedunia yang memantau pergerakan pengakap di lebih 216 negara dan wilayah di serata dunia telah berpusat di Kuala Lumpur bermula 2014 selepas berpindah dari London, United Kingdom (UK) ke Ottawa, Kanada dan Geneva, Switzerland.
Dalam fungsi dan peranannya, PPM menggariskan hasrat untuk membentuk warga pengakap menjadi rakyat yang baik melalui perilaku dan sifat-sifat baik seperti menurut perintah, dipercayai, taat setia, prihatin terhadap orang lain, toleransi serta berguna kepada masyarakat, bangsa dan negara.
PPM juga akan melatih dan memberi khidmat sokongan kepada semua peringkat warga pengakap termasuk sewaktu proses perancangan, pelaksanaan dan menyelaras semua latihan. Khidmat sokongan sentiasa diberikan dalam semua bidang demi kelangsungan dan kemajuan PPM dengan menyalurkan informasi atau program terkini kepada warga pengakap supaya dapat mengikuti perkembangan semasa.
PPM di bawah kepimpinan Pemangku Ketua Pengakap Negara, Profesor Datuk Dr. Mohd. Zin Bidin telah menggariskan 11 Fokus Utama Hala Tuju Pengakap Negara iaitu pertama, pendigitalan dalam pengakap. Fokus-fokus seterusnya adalah pengurusan aset yang bijak, penjenamaan pengakap, pengurusan sumber pengetahuan serta pemerkasaan pembangunan lestari dan mampan.
PPM juga memberi fokus terhadap usaha pemerkasaan sains, teknologi, kejuruteraan, kesenian dan matematik (STEAM); pelaksanaan kerangka pembangunan dunia; kepelbagaian lencana; pemerkasaan inovasi; pembangunan kerohanian dan terakhir, kepengakapan berasaskan komuniti.
Tahun ini, pelbagai peristiwa dan program bersejarah dilaksanakan oleh PPM. Pada 2 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diisytiharkan sebagai Presiden Agung PPM.
PPM juga menjalinkan kerjasama dengan beberapa pihak pada tahun ini antaranya memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CenPRIS). MoU yang termeterai itu adalah untuk menjalinkan kerjasama secara lebih profesional dan ilmiah bagi membantu PPM meningkatkan lagi prestasi pengurusan dan pentadbiran pengakap yang menyentuh aspek-aspek berkaitan polisi, penulisan, penerbitan serta penyelidikan. Ini merupakan satu langkah yang diambil oleh PPM untuk memajukan dunia kepengakapan di negara ini.
Dalam pada itu, PPM juga memeterai MoU dengan Zoo Negara yang mencerminkan komitmen kedua-dua pihak untuk meningkatkan kesedaran mengenai pemuliharaan dan kebajikan haiwan kepada ahli-ahli pengakap. MoU ini menekankan usaha membangunkan program pendidikan mengenai pemuliharaan alam sekitar, pendidikan dan kebajikan haiwan untuk pengakap.
Fokus seterusnya adalah menjalinkan kolaborasi untuk meningkatkan kesedaran dan mempromosikan perlindungan hidupan liar melalui usaha komunikasi yang diselaraskan.
Program-program peringkat antarabangsa turut dianjurkan antaranya Forum Kerjasama Asia-Pasifik pada 25 hingga 28 Mei lalu. PPM juga berjaya menganjurkan Sidang Kemuncak Mobilisasi Belia Asia-Pasifik pada 15 hingga 18 Jun lalu. Ia merupakan persidangan pertama seumpamanya melibatkan ahli-ahli dari WOSM, Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia (WAGGGS), Young Men’s Christian Association (YMCA), Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) dan The Duke of Edinburgh’s International Award.
Pada 1 Ogos lalu, PPM menghantar hampir 500 ahli menyertai Jambori Pengakap Dunia Ke-25 di Korea Selatan.
Momentum kecemerlangan ini pastinya akan diteruskan dengan penganjuran pelbagai lagi program di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Di samping itu, kepimpinan tertinggi PPM juga akan melaksanakan beberapa insiatif berimpak tinggi antaranya Sistem Maklumat Bersepadu Pengakap (SMBP) untuk memperkemaskan sistem keahlian dan Alat Penilaian Sokongan Global (GSAT) bagi memperkasa tadbir urus.
PPM turut ke hadapan dalam melopori usaha memelihara alam sekitar. Pengakap Malaysia akan menjalankan program-program seperti kempen kesedaran penanaman pokok bakau, pemeliharaan hidupan laut ikan dan sebagainya.
JENAMA
Pada tahun ini juga, PPM akan melaksanakan langkah penyegaran jenama dalam usaha memastikan pergerakan pengakap terus berkembang maju, pragmatik dan kekal relevan. Penyegaran jenama ini merangkumi perubahan elemen-elemen seperti reka bentuk lencana, pakaian, program, latihan, tadbir urus dan sebagainya. Usaha penyegaran jenama akan mewujudkan sebuah imej yang segar, baharu dan terkini serta seiring dengan visi dan misi semasa WOSM.
Sebagai kesimpulan, bersempena dengan sambutan ulang tahunnya yang ke-115 hari ini, marilah kita bersama-sama meraikan pergerakan pengakap di negara ini yang telah sekian lama menjadi sebuah institusi latihan amat bermanfaat kepada golongan muda. Ini termasuk dalam memupuk nilai kewarganegaraan dan semangat patriotik dalam diri mereka di samping membolehkan ahlinya memperoleh kemahiran asas dalam kehidupan.
Dengan penerapan nilai-nilai kepengakapan kepada golongan ini, dapat dilihat semangat ‘sekali berpengakap, terus berpengakap’ terus subur dalam kalangan ahli-ahli pengakap sehingga hari ini.-UTUSAN
PENULIS ialah Penolong Setiausaha Eksekutif Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM).










