BEKAS mak nyah yang berkahwin rata-ratanya ingin kembali kepada fitrah namun ketika bergelar suami kembali diuji dengan naluri songsang sehinggakan tidak dapat menyelamatkan rumah tangga yang dibina.
Kisah benar melalui perkahwinan selama lima tahun oleh bekas mak nyah bersama seorang wanita berperwatakan pengkid yang dikenali sejak kecil, kecundang gara-gara terjerumus ke tabiat lama dan kembali ke pangkuan kekasih gelap.
Pengakuan Hendra bukan nama sebenar, 40, kepada Utusan Malaysia, tiga tahun pertama perkahwinan semuanya dilalui dengan baik seperti pasangan suami isteri lain dan saling melengkapi antara satu sama lain.
Namun keinginan nafsu songsang Hendra, kembali apabila tidak capai kepuasan setiap kali ‘bersama’ isterinya, Noni (bukan nama sebenar).
“Semuanya berlaku selepas isteri sibuk bekerja dan sering tiada di rumah. Saya mula rasa keinginan seksual yang melampau. Kebiasaan dan tabiat yang dulu, kembali semula. Saya mahu lelaki melayan nafsu saya.
“Saya jadi begitu sebab isteri tidak melayan saya seperti awal-awal dulu jadi saya mula berani bawa pulang ‘teman’ warga asing atau skandal sejenis yang saya kenal dulu untuk melayani saya tanpa pengetahuan isteri,” kongsinya.
Beliau yang sudah tiga tahun berstatus duda, bercerai apabila bekas isterinya menghidu maksiat dilakukannya itu.
Hendra, memberitahu, naluri lembut dan berperwatakan perempuan dalam dirinya disedari sejak dirinya berusia sembilan tahun, di mana dia tidak seperti budak lelaki normal lain yang suka beraktiviti lasak.
Hendra pasif, malah tidak gemar melakukan aktiviti lasak, sebaliknya lebih selesa berkawan dengan rakan perempuan.
Akuinya, sepanjang lima tahun berkahwin, dalam dua tahun banyak rahsia disembunyikan dan berlaku penipuan malah sering menyalahkan isteri walaupun dia sebenarnya mengakui isterinya itu, banyak berkorban untuk menjadi isteri mithali.
“Dua tahun sebelum bercerai, kami kerap bergaduh kerana dia mulai mencurigai saya. Walaupun saya tahu saya yang bersalah dan mengkhianatinya, tetapi saya tidak mengaku, sebaliknya cuba mempertahankan diri dengan menyalahkan isteri. Saya sengaja mengungkit dosa dan kesalahannya.
“Saya mahu isteri tinggalkan kegiatan lama sedangkan saya sendiri bermaksiat di rumah, bila isteri tiada saya melayan ‘jantan’.
“Walhal isteri saya yang dahulunya pengkid sudah insaf,” katanya.
Noni yang dulunya bercinta sama jenis, berubah menjadi wanita sejati selepas bergelar isteri.
Namun Hendra, tewas dek godaan nafsu.
TIDAK PERSENDA PERKAHWINAN
Hendra mendirikan rumahtangga pada usia 32 tahun. Dia mengakui belum puas menikmati zaman bujang. Namun katanya, apabila ikatan perkahwinan dimetrikan, dia bukanlah main-main atau sengaja mengaburi mata keluarga dan orang sekeliling.
Sebaliknya, ketika itu dia serius untuk berubah tetapi tidak sangka ketagihan seks sejenis, dan ketiadakpuasan bersama isteri membuatkannya kembali melayani jantan.
“Saya tidak menyesal dengan apa yang berlaku walaupun ujian yang diterima sangat berat. Saya selalu berdoa untuk kembali kepada fitrah namun biarlah masa yang tentukan,” akhiri Hendra yang kini tinggal serumah dengan ‘teman lelaki’ barunya.
KAHWIN BUKAN JALAN PENYELESAIAN
Bekas mak nyah, Mohd. Khariri Mohamad Ramli atau lebih dikenali sebagai Cikgu Ery, 46, berkata perkahwinan bukanlah satu penyelesaian untuk hilangkan segala naluri dan keinginan songsang.
Katanya, ada yang kekal berselingkuh dan ada yang insaf.
“Ada isteri yang tahu tetapi bertindak tutup mata kerana sayang. Bagi pasangan yang bijak, mereka memilih untuk bercerai,” katanya.
Mengelakkan kepincangan dalam berumah tangga selepas berkahwin beliau menyarankan pasangan transgender, telus antara satu sama lain.
“Biasanya perkahwinan bekas mak nyah tidak kekal adalah kerana menyembunyikan atau merahsiakan tabiat lama yang kembali semula, tetapi dalam masa sama cuba menjadi suami bertanggungjawab.
“Jadi, suami perlu sentiasa berterus-terang dengan pasangan dan isteri pula tahu aktiviti pasangan lebih-lebih lagi dengan skandal atau teman suami yang dahulu.
“Bagi saya, suami juga haruslah beritahu isteri siapa bekas pasangan dahulu dan isteri pula perlu terima kerana ini ujian dan menerima kelemahan suami maka barulah perkahwinan akan kekal jika saling jujur dan telus,” nasihat Ery yang kembali kepada fitrah sebagai lelaki sejak 12 tahun lalu.
Ketagihan lampau sukar kembali kepada fitrah
Kaunselor Berdaftar dan Pakar Motivasi, Hushim Salleh, berkata, faktor kepuasan seksual menyebabkan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) kembali kepada asal meskipun sudah mendirikan rumahtangga.
“Saya banyak kendalikan kes lesbian dan pengkid. Bagi pengkid, mereka lebih mudah berubah bila berkahwin dan mendapat suami yang mencapai standard diingini.
“Tetapi masalahnya apabila suami yang dahulunya mak nyah sukar untuk berasa puas atau tidak puas dengan isteri kerana pengalaman lampau melakukan seks sejenis atau layanan daripada lelaki itu lebih mencapai klimaks.
“Sebab itu ada perkahwinan bekas mak nyah bertahan tidak lama, pasti akan kembali kepada tabiat lama kerana layanan seks daripada isteri tidak sampai kemuncak,” jelas beliau.
Tambah Hushim, pengalaman menjadi mak nyah atau pengkid yang terjerumus pada awal remaja membuatkan golongan ini sukar untuk melupakan kegiatan seks yang ekstrem.
Apabila tiada kepuasan antara pasangan dan tidak dibincangkan hal itu, ia menyebabkan si suami beralih ‘selera’ untuk mengadakan hubungan seks dengan sejenis, lebih-lebih lagi mudah untuk dapatkan perkhidmatan mereka terutama di aplikasi media sosial.
“Masyarakat di Malaysia banyak yang tidak mahu berterus-terang apabila berdepan dengan bab seksual. Jadi, mulalah pasangan menjauhkan diri, tidak tidur sekatil, mencari lain, curang dan sebagainya. Lebih teruk lagi melanggan tanpa pengetahuan isteri.
“Apabila berdepan perkara ini, pasangan perlu dapatkan kaunseling sekiranya suami isteri tidak mahu berterus-terang atau malu antara satu sama lain apabila menganggap soal seks adalah isu yang sensitif,” katanya.
Ujar Hushim, tidak dinafikan ada sesetengah bekas mak nyah berkahwin semata-mata untuk cover line atau mengaburi mata keluarga dan masyarakat.
“Rimas ditanya bila nak kahwin jadi punca mereka buat keputusan berkahwin. Kahwin sebab permintaan ibu bapa atau tidak mahu orang tua bising.
“Situasi ini kita panggil split personality, boleh berubah karakter sama ada menjadi lelaki atau perwatakan wanita.
“Ada klien saya, bekas mak nyah kini sudah mempunyai anak dan cucu berkahwin dengan wanita tulen. Masih perwatakan lembut meskipun kembali ke pangkal jalan. Tetapi ada juga yang berkahwin, tidak kekal lama kerana faktor seksual,” tuturnya.
BERPUASA JIKA KETAGIH SEKS
Hushim berkata, nasihat beliau untuk individu yang ketagih seks adalah dengan berpuasa.
“Saya biasanya akan nasihatkan klien untuk berpuasa dan memang berjaya untuk hentikan ketagihan seks. Tapi perlu berpuasa hari-hari.
“Ada yang berpuasa dua bulan dan tinggal satu hari tetapi satu hari itulah dia terlanjur. Tetapi jika dia berpuasa dan keinginan seks masih tinggi itu bergantung kepada keimanan individu.
“Saya belajar teori barat tetapi semua tidak berkesan untuk individu ketagihan seks antaranya disuruh beriadah, melakukan pelbagai aktiviti namun puasa salah satu cara terbaik untuk mengekang nafsu,” katanya.










