Syura dan istikharah manifesto - Utusan Malaysia

Syura dan istikharah manifesto

MANIFESTO bukan hanya dituntut rakyat, bahkan Allah juga akan menyoalnya di akhirat kelak. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hakikat iman atau munafik parti bertanding bunyinya agak kasar, namun ia dipandu-tunjuk oleh Nabi kita sebagai amaran ‘tahap merah’ agar umat baginda tidak mudah menabur janji yang kemudiannya dimungkiri.

Ia sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud: Tidak (sempurna) iman orang yang tidak (menunaikan) Amanah, juga tidak (sempurna kehidupan) beragama orang yang tidak menunaikan janji (Musnad Ahmad, 11935).

Manifesto, akujanji parti bertanding bukan sahaja akan dituntut rakyat selepas pilihan raya, bahkan Allah juga akan menyoalnya di akhirat kelak.

Nabi SAW menegaskan prinsip ini: Setiap kamu adalah penjaga (sesuatu amanah) dan akan disoal (dipertanggungjawabkan) atas amanah tersebut. Pemimpin adalah penjaga amanah dan akan disoal tentang (tindakannya) terhadap rakyat bawahannya. (Sahih al-Bukhari, 2232).

Janji manifesto yang sengaja dimungkiri boleh membawa duka panas tidak terperi di akhirat kelak.

Ini ditegaskan dalam sabda Nabi SAW yang bermaksud: Tidak ada seorang hamba pun yang diamanahkan urusan rakyatnya, lalu dia mati dalam keadaan menipu rakyatnya melainkan Allah akan mengharamkannya masuk syurga (bahkan pasti ke neraka). (Sahih Muslim, 203)

JANJI BERAT

Oleh kerana janji manifesto sangat berat tanggungjawabnya di dunia, lebih-lebih lagi di akhirat, pihak yang bertanding tidak boleh sambil-lewa dalam menentukan manifesto mereka.

Ia tidak boleh separuh masak sebaliknya berkualiti tinggi dengan analisa data yang cukup serta unjuran jangkaan masa hadapan yang logik, mampu capai dan realistik.

Sebagai manusia kita boleh mengkaji dan merancang apa janji terbaik untuk menarik sokongan rakyat, namun penentu akhir segalanya terhenti pada Allah selaku Tuhan Pengurus tadbir alam.

Oleh itu, cara terbaik bagi menentukan keberkesanan janji manifesto kita boleh seiring dengan kehendak Allah, kita perlu mohon bimbingan dari-Nya.

Dalam mencari keputusan terbaik Allah mengarahkan kita agar menggunakan kaedah syura dan istikharah.

Hasil dari syura bukan keputusan biasa.

Ia pilihan yang melibatkan pandangan pakar berbagai bidang yang saling melengkapi pemerhatian sesuatu isu dan situasi. Ini sebabnya Allah mengarahkan kita agar mempraktikkan syura dalam mencari keputusan terbaik. (rujuk ali- ‘Imran: 159 & al-Syura: 38).

Biasanya dalam penentuan manifesto, langkah syura sudah berjalan pada peringkat tertinggi parti.

Pun begitu, ketepatannya perlu disokong-tambah pula dengan sudut rohani melibatkan istikharah.

PILIHAN TERBAIK

Hal ini kerana semua yang wujud atau tercipta di alam ini berlaku dengan kehendak-Nya.

Pilihan Allah perlu kita sama-sama cari untuk menjamin kejayaan sebenar sebuah perjuangan.

Ia sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Dan Tuhanmu menciptakan apa yang dirancangkan berlakunya, dan Dialah juga yang memilih (sesiapa sahaja dari makhluk-Nya untuk sesuatu tugas atau keutamaan dan kemuliaan); tidaklah layak dan tidaklah berhak bagi sesiapapun memilih (selain dari pilihan Allah). Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah keadaan-Nya dari apa yang mereka sekutukan dengan-Nya. (al-Qasas: 68)

Istikharah bermaksud meminta keputusan terbaik dari Allah terhadap sesuatu pilihan yang timbul. Ia disarankan oleh Nabi berdasarkan sebuah riwayat: Jabir bin Abdullah r.a menyebut Rasulullah SAW selalu mengajar kami agar memohon pilihan terbaik bagi semua perkara (istikharah) sepertimana baginda mengajarkan kami surah daripada al-Quran. Baginda bersabda: “Jika seorang daripada kalian gusar tentang satu perkara maka rukuklah dua rakaat (solat sunat) selain dari yang fardu. Kemudian berdoalah (dengan doa ini)…(Sahih Muslim, 1096)

Elok benar jika selepas manisfesto sesebuah parti sudah disusun dengan rapi, pihak majlis tertinggi atau majlis syura bertenang seketika melakukan solat istikharah beberapa waktu sebelum mengumumkannya kepada para pengundi.

SOLAT ISTIKHARAH

Langkah ini penting sebagai usaha agar manifesto yang dijanjikan mendapat bimbingan Allah dengan solat istikharah.

Banyak hikmah di sebalik saranan istikharah antaranya, memupuk sifat hamba pada manusia untuk tunduk kepada sebarang keputusan yang dibimbing Allah.

Ia juga mendidik manusia untuk bergantung harap hanya pada Allah setelah segala usaha dan aspek saintifik diambil kira.

Selain itu, untuk tambah mengukuhkan pilihan semua pihak dalam menentukan siapa yang akan mentadbir urus kerajaan, para pengundi juga disaran melakukan istikharah walaupun kebanyakannya sudah jitu dan teguh dengan ‘warna pilihannya’.

Benar! Orang yang sudah jelas warnanya sukar dilunturkan pilihan hatinya.

Pun begitu, mana tahu warna parti pilihan anda boleh berubah rupa atau sifat selepas pilihan raya dimenangi.

Tambahan pula sekarang ini sesetengah parti tidak mampu berdiri sendiri untuk membentuk kerajaan. Perkahwinan sementara dengan parti lain kadangkala diperlukan demi membentuk perpaduan nasional.

Jika pasangan ‘kahwin sementara’ parti sokongan kita itu baik dasar perjuangannya serta bersih rekod pemimpinnya, kita boleh bersyukur dan menarik nafas lega.

Sebaliknya jika pasangan kahwin politik parti kita itu dasarnya bak minyak yang mahu dicampur dengan air, atau pemimpinnya penuh kurap dan korup, maka keyakinan perjuangan kita juga boleh goyah.

Dalam kebuntuan ini, biarlah Allah yang tentukan pilihan terbaik untuk kita. Ramai juga teman penulis berkata: “Sekarang ini kita bukan memilih parti terbaik untuk memerintah negara, sebaliknya kita pilih parti yang paling kurang mudaratnya untuk agama, bangsa dan negara.”

Akhirnya, marilah kita basahi lidah kita semua dengan doa istikharah ringkas ini semoga Allah bimbing kita dalam membuat manifesto terbaik atau memilih parti yang bertanding. Ia seperti hadis Nabi SAW yang bermaksud: Ya Allah! Jadikan segala urusanku penuh kebaikan dan bantulah aku dalam membuat pilihan terbaik (Sunan al-Tirmidzi, 3438).

Penulis adalah Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar Pusat Bahasa,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN