SAKIT leher, bahu, pinggang dan lutut banyak berpunca daripada gaya hidup dan kerjaya masa kini.
Jika tidak dirawat secepat mungkin, sakit akan berlarutan dan menjadi lebih teruk.
Situasi lebih teruk sekiranya individu mendapat rawatan daripada pihak tidak bertauliah atau menggunakan ubat tidak berdaftar.
Sekurang-kurangnya 20 peratus orang dewasa mengadu mereka menderita sakit belakang dalam masa setahun.
Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Physiogo, Arif Yusuf, ramai yang tidak menyedari masalah sakit ini memerlukan rawatan betul seperti rawatan fisioterapi.
Rawatan fisioterapi membantu pesakit mendapat rawatan tepat.
“Sakit belakang, sakit bahu, sakit lutut, kecederaan sukan dan pelbagai lagi sakit sendi atau tulang memerlukan rawatan atau senaman regangan otot.
“Fisioterapi melibatkan teknik regangan atau senaman yang betul dapat membantu pulih daripada kecederaan atau sakit fizikal yang kronik.
“Rawatan ini dapat membantu pesakit strok untuk kembalikan semula keupayaan bergerak, kekuatan dan kestabilan diri mereka.
“Ia dapat meningkatkan keseimbangan dan koordinasi, mengurangkan kekejangan otot dan membantu dalam memulihkan semula pertuturan percakapan pesakit.
“Rawatan ini selamat dan berkesan kerana sebelum memberi rawatan, ahli fisioterapi akan melakukan pemeriksaan terlebih dahulu untuk mengenalpasti punca atau sebab masalah yang sedang dihadapi pesakit,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Physiogo merupakan pusat rawatan fisioterapi yang memberi solusi bagi masalah otot, saraf, tulang dan sendi, beroperasi sejak 2017 serta telah menjalankan puluhan ribu sesi rawatan terutama kepada pesakit yang berada sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
Di Malaysia, pengamal rawatan ini diwajibkan memiliki sekurang-kurangnya diploma dalam bidang fisioterapi. Ia merupakan satu kaedah rawatan yang berasaskan kajian sains dalam kesihatan.
SAKIT TIDAK BERULANG
Rawatan sesuai akan diberikan berpandukan hasil pemeriksaan terhadap pesakit. Rawatan yang diberikan bukan untuk hilangkan sakit semata-mata tetapi merangkumi keseluruhan aspek kesihatan setiap individu.
“Antara kaedah rawatan adalah manual therapy, electro therapy dan exercise therapy yang mana bertujuan untuk mengatasi sakit, meningkatkan kekuatan anggota, menangani masalah sendi dan memastikan fizikal badan mempunyai fungsi pada tahap yang maksimum.
“Rawatan ini digabungkan bagi memastikan ia berkesan dalam jangka masa panjang selain mengelakkan masalah daripada berulang.
“Tujuan utama rawatan adalah untuk membawa pesakit kembali kepada kehidupan asal mereka ke tahap yang optimum,” katanya.










