Demokrasi dan kebebasan bersuara

Demokrasi dan kebebasan bersuara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA minggu lalu, saya minum petang bersama tokoh-tokoh media negara. Kami berbual panjang mengenai banyak perkara khususnya kebebasan bersuara yang turut merangkumi freedom of press.

Ini kerana dalam sebuah negara demokrasi, kebebasan bersuara adalah salah satu ciri penting kerana ia dianggap sebagai sebahagian daripada hak asasi manusia.

Justeru, sebagai sebuah negara yang berpegang kepada demokrasi, kebebasan bersuara dinyatakan dengan jelas dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Fasal ini menyatakan bahawa kebebasan bercakap, berhimpun dan menubuh persatuan merupakan kebebasan asasi yang diberikan kepada warganegara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Biarpun begitu, tidak ada kebebasan yang mutlak. Ia perlu bersandarkan Fasal (2), (3) dan (4) Perkara 10 melibatkan soal keselamatan nasional, ketenteraman awam dan perpaduan rakyat.

Sebagai contoh, kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan, raja-raja Melayu, keistimewaan bumiputera dan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

Beberapa undang-undang juga digubal sejak sebelum merdeka lagi bagi memastikan kebebasan ini tidak disalahgunakan.

Dalam konteks kebebasan bersuara di Malaysia, ia berada di bawah lingkungan kawalan Akta Hasutan 1948, Akta Fitnah 1957, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Polis 1967, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta beberapa akta lain termasuk Kanun Keseksaan.

Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan akan mengkaji kerelevanan undang-undang sedia ada selaras perkembangan semasa susulan peningkatan kes provokasi membabitkan agama, bangsa dan institusi diraja (3R).

Soalnya, perlukah undang-undang baharu berkaitan 3R diperkenalkan? Apakah undang-undang baharu ini akan menjamin kebebasan untuk terus bersuara dan tidak ada manipulasi oleh pemerintah?

Undang-undang baharu ini dibimbangi akan mengikat kebebasan bersuara khususnya pihak media bagi memberi laporan yang terbaik kerana mereka adalah mata dan telinga rakyat untuk kerajaan mentadbir dengan lebih baik.

Pun begitu, harus diakui beberapa akta seperti Akta Media dan Cetak 1984 serta beberapa seksyen dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 perlu dilihat kembali.

Ketika merasmikan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022 di Melaka, saya menegaskan profesion kewartawanan harus kekal bebas dan berfungsi tanpa gangguan dan campur tangan pihak lain bagi menjamin kebebasan bersuara di negara ini. Kerajaan pada ketika itu tidak pernah menghalang media daripada menyiarkan sebarang laporan berita yang adakala dijadikan panduan pihak berwajib untuk mengambil tindakan susulan seperti bertindak menyalurkan bantuan untuk kesejahteraan Keluarga Malaysia.

 

GOLONGAN wartawan melaksanakan fungsi media sebagai ‘estet keempat’ bersama-sama pihak eksekutif, perundangan dan kehakiman yang memahami isu sensitif demi memastikan keamanan negara.

 

SENSITIF
Hasilnya, Malaysia naik enam anak tangga kepada kedudukan 113 daripada 180 negara dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia 2022 yang dikeluarkan oleh Reporters Without Borders. Ia merupakan kedudukan tertinggi di Asia Tenggara mendahului negara-negara serantau lain seperti Thailand, Indonesia dan Singapura.

Bagi saya, golongan wartawan melaksanakan fungsi media sebagai ‘estet keempat’ bersama-sama pihak eksekutif, perundangan dan kehakiman yang saling berganding untuk membangunkan negara. Saya percaya pengamal media memiliki self-censorship dalam isu-isu sensitif demi memastikan keamanan negara.

Kita harus menerima hakikat bahawa media tidak boleh lagi dikongkong kerana hampir semua mempunyai akses kepada media sosial di mana maklumat mengalir dengan amat pantas.

Pada masa sama, kerajaan juga harus bersedia berhadapan ledakan digital terutama melalui media sosial yang menyebabkan wujudnya pelbagai golongan seperti pempengaruh (influencer) dan laskar siber (cybertrooper). Sebagai contoh, sebelum 2018, ada pihak menggunakan laskar siber untuk menyerang kerajaan. Namun, kerajaan pada ketika itu tidak mengambil sebarang tindakan menyekat pengguna media sosial.

Hari ini, kita sering mendengar akaun-akaun media sosial termasuk milik pemimpin tertentu disekat dek kerana tidak sealiran dengan pemerintah. Tindakan ini mengongkong hak dan kebebasan untuk bersuara dan tidak wajar sama sekali. Sekiranya wujud unsur fitnah atau tohmahan sehingga mengancam ketenteraman awam, heret individu terbabit ke muka pengadilan melalui undang-undang sedia ada.

Menurut Kementerian Komunikasi Digital, pandemik Covid-19 membawa amalan baharu secara dalam talian dalam kehidupan dan aktiviti masyakarat apabila Malaysia merekodkan 28 juta pengguna media sosial atau 86 peratus daripada penduduk negara ini. Statistik itu juga menunjukkan rakyat Malaysia antara yang paling aktif menggunakan media sosial dan bilangan pengguna meningkat sebanyak dua juta atau tujuh peratus dalam tempoh setahun dari 2020.

Dunia digital menyebabkan maklumat mengalir dengan amat pantas. Kita tidak mampu lagi untuk menyekat. Tindakan penguatkuasaan perlu diambil, namun paling utama ialah kesedaran rakyat sendiri untuk menapis maklumat-maklumat yang diterima.

Kerajaan perlu mempergiatkan lagi program untuk meningkatkan kesedaran tentang perlunya tapisan kendiri terhadap setiap maklumat yang berlegar di setiap platform media.

Dalam masa sama, komunikasi daripada setiap agensi perlu jelas. Komunikasi adalah satu sayap penting, tidak seperti dahulu hanya unit kecil dalam sebuah organisasi.

Mengekang kebebasan bersuara bukan satu solusi yang tepat. Sebagai sebuah negara demokrasi, kerajaan harus bersifat terbuka dan berlapang dada kerana peredaran dunia pada masa ini memerlukan media yang lebih bebas tanpa ada sekatan dan kawalan oleh pihak-pihak tertentu.

Media yang bebas adalah hak asasi manusia terpenting terutama kepada pembangunan negara yang lestari dan mampan. Dalam dunia hari ini, kita perlu meraikan kebebasan bersuara, namun dalam masa sama harus diingat tidak ada kebebasan yang mutlak.-UTUSAN

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob ialah Perdana Menteri Kesembilan dan kini Ahli Parlimen Bera.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×