Skoliosis merupakan kelainan pada tulang belakang paling lazim berlaku dan merupakan keadaan perubatan yang mana tulang belakang kelihatan seperti berbentuk ‘S’ atau ‘C’ dan boleh berlaku di mana-mana bahagian tulang belakang, termasuk bahagian atas (torasik), bawah (lumbar), tengah (torakolumbar) atau juga lengkung berganda (double curve) di bahagian atas dan bawah.
Keadaan kesihatan ini boleh berlaku kepada semua peringkat umur.
Walaupun ia sering terjadi seawal usia kanak-kanak atau remaja, ia juga boleh menjadi lebih ketara apabila meningkat dewasa.
Jika tidak dirawat, skoliosis boleh menyebabkan ketidakselesaan, kesakitan, serta kemungkinan komplikasi jangka panjang.
Perunding dan Pakar Bedah Tulang Belakang di Pusat Perubatan Sunway (SMC), Bandar Sunway, Dr. Saw Lim Beng berkata, Skoliosis Kongenital dan Skoliosis Infantil boleh dikesan seawal beberapa tahun pertama selepas kelahiran.
“Manakala Skoliosis Idiopatik pada remaja adalah sejenis skoliosis yang paling biasa dalam kalangan pesakit belasan tahun.
“Bagi Skoliosis Degeneratif, ia biasanya didiagnosis pada mereka yang berada pada pertengahan usia sekitar 40 hingga 50 tahun,” katanya.
Kesan kecacatan tulang belakang
Penting untuk mengetahui bila perlu mendapatkan rawatan kerana ia adalah kunci kepada intervensi dan pencegahan.
Oleh itu, pemahaman terhadap keadaan kesihatan ini adalah sangat diperlukan kerana ia boleh membantu seseorang itu mendapatkan rundingan tepat pada masanya.
Selain itu, ia turut bertujuan memberikan sokongan emosi kepada penghidap, pada masa sama menghapuskan tanggapan mengenai skoliosis.
Perkara penting yang perlu diambil perhatian ialah skoliosis biasanya dikaitkan dengan kecacatan putaran tulang belakang yang menyebabkan tulang belakang berpusing dan melengkung ke satu sisi.
Oleh itu, menurut Dr. Saw, pakar tulang belakang akan menggunakan ujian klinikal ringkas yang dikenali sebagai ujian lenturan Adam Forward untuk mengesan skoliosis dengan mudah.
“Apa yang pesakit perlu lakukan ialah membongkok ke hadapan dan doktor akan berdiri di belakang pesakit untuk membandingkan paras bahagian kiri dan kanan belakang dada dan pinggangnya.
“Jika terdapat bonggol pada satu bahagian di sebelah belakang, itu menunjukkan pesakit tersebut mempunyai skoliosis,” katanya.
Simptom lain termasuk ketidakseimbangan di bahagian bahu yang mana satu bahagian lebih tinggi daripada yang lain serta kecondongan di bahagian pelvis.
“Cara terbaik mengesahkan adanya skoliosis adalah dengan melakukan pemeriksaan sinar-X menyeluruh pada tulang belakang,” tambahnya.
Beliau turut mengingatkan ibu bapa agar menyedari keadaan ini pada anak-anak dan membawa mereka untuk penilaian awal, terutamanya bagi mereka yang mempunyai sejarah keluarga menghidapi skoliosis.
Bagi golongan dewasa, terdapat dua keadaan yang memungkinkan seseorang mengalami skoliosis iaitu Skoliosis Idiopatik yang terjadi semasa remaja.
Ia merupakan satu keadaan yang mana lengkungan pada tulang belakang menjadi semakin teruk seiring pertambahan usia.
Pada akhirnya menjadi lebih serius apabila semakin tua, kebiasaannya apabila pesakit mencapai pertengahan umur.
“Selain itu, kumpulan kedua golongan dewasa pula menghidapi Skoliosis Degeneratif, yang juga dikenali sebagai De Novo Skoliosis.
“Kumpulan ini biasanya mempunyai tulang belakang yang normal tetapi lama-kelamaan menjadi skoliosis akibat kemerosotan pada tulang belakang mereka,” katanya.
Selesa dengan bahagian belakang
“Kebanyakan pesakit skoliosis tidak mengadu sakit manakala ada yang mungkin mengalami ketidakselesaan di bahagian belakang badan apabila mereka duduk atau berdiri dengan lama. Namun, kesakitan seperti ini biasanya boleh dirawat dengan pengambilan ubat dan melakukan fisioterapi,” kongsinya lagi.
Rawatan untuk kanak-kanak pula secara amnya bergantung pada kematangan pertumbuhan rangka badan mereka, tahap keseriusan skoliosis yang mereka hadapi dan risiko tulang belakang mereka menjadi bertambah melengkung.
“Lengkung kecil pada tulang belakang kanak-kanak biasanya dirawat secara konservatif dengan memasang pendakap dan melakukan fisioterapi.
“Bagi mereka yang mempunyai lengkung yang lebih besar dan ketidakseimbangan badan yang menunjukkan tanda-tanda kemudaratan, rawatan melalui pembedahan mungkin pilihan yang lebih baik,” katanya.
Lindungi tulang belakang
Fungsi asas tulang belakang adalah untuk memberikan sokongan kepada bahagian atas badan dan memberikan mobiliti.
Justeru individu tidak sepatutnya membebankan tulang belakang secara berlebihan sehingga boleh menyebabkan ligamen serta struktur cakera dalam tulang belakang haus dan lusuh (wear and tear) sehingga mengakibatkan keadaan pesakit semakin merosot.










