Elak melampaui batas dalam kempen politik - Utusan Malaysia

Elak melampaui batas dalam kempen politik

SETIAP muslim perlu berkempen secara profesional dan tidak semberono membuat tuduhan kepada pihak lawan sepanjang musim pilihan raya kecil di enam negeri 12 Ogos ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kewujudan manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi adalah untuk menunaikan amanah sebagai hamba Allah. Sebagai hamba Allah, kita mempunyai tanggungjawab bukan sahaja kepada Pencipta, namun perlu menunaikan tanggungjawab sesama manusia.

Tanggungjawab kepada Pencipta dizahirkan dalam bentuk ibadah khusus seperti solat, puasa, zakat dan haji. Manakala tanggungjawab sesama manusia adalah dikira sebagai ibadah umum jika dilakukan dengan ikhlas kerana Allah seperti berbuat baik kepada ibu bapa dan tolong-menolong.

Ini bermakna, kewujudan manusia di atas muka bumi memerlukan sistem kehidupan yang teratur dan efisien; antaranya sistem politik, sistem ekonomi, sistem sosial, sistem pertahanan sistem pendidikan dan sistem kesihatan.

Kestabilan negara sangat bergantung dengan sistem politik sesbuah negara. Di dalam Islam, sistem pemerintahan politik disebut sebagai siasah syar’iyyah yang berkaitan dengan pentadbiran negara.

Skop siasah syar’iyyah adalah bertunjangkan kepentingan rakyat sama ada Muslim atau bukan Muslim di sesebuah negara.

Sistem politik tidak terikat dengan nas-nas tertentu tetapi lebih banyak bergantung dengan ijtihad semasa yang boleh diambil bersesuaian dengan zaman dan negara.

Ibnu Aqil mendefinisi siasah syar’iyyah sebagai ‘satu tindakan oleh pemimpin yang boleh menyelamatkan orang ramai dan menghindarkan mereka daripada kehancuran.’

Ada beberapa golongan masyarakat dalam membicarakan politik Islam.

Golongan pertama mengambil sikap melampau-lampau dalam politik sehingga menjadi ekstrem dan menyebabkan kegusaran dan kegelisahan masyarakat.

Ia muncul setiap kali pilihan raya sama ada pilihan raya umum atau pilihan raya negeri.

Golongan ini sama ada penyokong kepada parti politik tertentu atau pun tidak menyokong mana-mana parti.

Golongan melampau ini menyebarkan fitnah kepada parti lawan, memanggil dengan gelaran buruk dan membuka semua aib pihak lawan tanpa sedikit pun perasaan malu.

Nabi SAW bersabda: Musnahlah golongan yang melampau. Imam Nawawi mentafsirkan ‘melampau’ dalam hadis ini sebagai mereka yang melepasi had dalam perkataan dan perbuatan mereka.

Pelampau dalam politik bukan sahaja boleh dilihat dalam media peribadi sosial, malah boleh melarat hingga menjadi berita nasional.
Makin menyedihkan apabila masing-masing akhirnya mengambil tindakan di mahkamah akibat fitnah atau pun sekadar ingin membuktikan kebenaran pendirian masing-masing.

PERBALAHAN BERLARUTAN

Perbalahan isu politik yang berlarutan ke mahkamah patut dielakkan jika masing-masing berpegang pada etika dalam kempen politik.

Parti politik perlu mengawal penyokong dan ahli masing-masing atau setidak-tidaknya memberikan amaran atau garis panduan.

Golongan pelampau politik tidak segan silu menggunakan kata-kata kesat malah menghamburkan fitnah yang tidak berasas dan budaya ini diwarisi sejak zaman-berzaman.

Setiap Muslim perlulah berkempen profesional dan tidak semberono membuat tuduhan kepada pihak lawan.

Penyokong dan pendokong kumpulan politik haruslah sentiasa berpegang dengan hadis Nabi: Tidaklah seseorang melempar tuduhan kepada orang lain dengan kefasikan, dan tidak pula menuduh dengan kekufuran melainkan (tuduhan itu) akan kembali kepadanya. Jika saudaranya tidak seperti itu. (Riwayat Bukhari).

Fitrah manusia, apabila dilempar tohmahan dan tuduhan palsu, pasti akan mempertahankan diri untuk menjaga maruahnya.

Keadaan akan bertambah buruk, apabila pihak lawan juga menggunakan taktik kotor yang sama untuk mempertahankan diri.

Setiap kumpulan terdesak untuk mendapatkan sokongan pengundi hingga sanggup mengetepikan isu halal dan haram.

Kesannya, fitnah akan bertebaran tanpa kawalan dan menyusahkan pelbagai pihak termasuklah pihak polis dan mahkamah yang perlu menguruskan aduan dan laporan yang dibuat setiap kali pilihan raya.

Keadaan bertambah buruk apabila ada golongan yang mengambil kesempatan yang dikenali sebagai cybertroopers.

Mereka adalah golongan yang dibayar oleh kumpulan politik untuk menyebarkan propaganda melalui medium dalam talian terutamanya media sosial.

Kebanyakan cybertroopers tidak menghiraukan dosa pahala dan undang-undang sedia ada dan sanggup jadi batu api kepada semua pihak semata-mata mengejar bayaran.

Mereka melakukan dosa yang berterusan apabila fitnah dibuat disebarluaskan dan menyebabkan pergaduhan.

Mereka tidak menghiraukan kesan dan akibat perbuatan dan kezaliman mereka. Nabi SAW bersabda dengan jelas yang bermaksud: Tidak masuk syurga nammam (batu api). (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Atas sebab kacau-bilau dan fitnah yang melampau parti politik ditambah pula apabila diapi-apikan oleh cybertroopers, maka wujud golongan kedua yang mengambil sikap memulaukan semua perkara berkaitan politik dan pilihan raya.

Sikap enggan masuk campur dan ambil tahu ini sebenarnya merugikan negara.

Negara akan ditadbir oleh mereka yang tidak profesional kerana ramai rakyat yang muak dan menjauhkan diri dari isu pentadbiran negara.

RAKYAT PERLU BIJAK

Rakyat perlulah bijak dan matang mengambil tahu siasah syar’iyyah negara.

Sikap tidak ambil tahu hanya membuka ruang besar kepada pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mendominasi politik negara.

Negara harus ditadbir oleh mereka yang takutkan Tuhan, beretika, bijak dan profesional.

Parti politik dan penyokong harus bersikap matang dan profesional dalam setiap tindakan dan kempen.

Penyokong dan rakyat biasa harus diajar hanya mengambil berita daripada sumber yang sahih dan tepat.

Dalam masa sama mengabaikan rantaian fitnah tidak berasas yang sangat mudah didapati melalui medium seperti WhatsApp, Telegram, Facebook, Tik Tok atau Twitter.

Pastikan mengikuti akaun yang sahih dan tulen.

Manusia yang bijak ialah mereka yang menapis dan memilih apa yang didengar, baca dan lihat.

Ini bersesuaian dengan konsep tabayyun dalam Islam bersesuaian dengan firman Allah yang bermaksud: Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu orang fasik membawa berita, maka hendaklah kamu menyelidiki terlebih dahulu. (al-Hujurat: 6)

————-

Penulis adalah Anggota Majlis Agama Islam Selangor dan JK Perundingan Syarak Wilayah Persekutuan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN