Bukan mudah agih bantuan ratusan juta ringgit - Shahira - Utusan Malaysia

Bukan mudah agih bantuan ratusan juta ringgit – Shahira

Shahira Ahmed Bazari menyifatkan berjaya lahirkan pemimpin dalam komuniti, sebagai satu kejayaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tawaran memegang jawatan sebagai Pemegang Amanah dan Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, dianggap sebagai anugerah terindah Allah yang melorongkan dirinya untuk sentiasa berbuat kebaikan.

Ia menjadikan Datuk Shahira Ahmed Bazari banyak bersyukur lantaran setiap hari, bila pergi bekerja, tujuannya adalah untuk berbuat kebaikan.

“Jadi, saya pasang niat saya setiap hari, untuk mendapat pahala dengan membantu mereka yang memerlukan.

“Masa kerja dalam dunia korporat 19 tahun lalu, saya selalu berfikir adakah saya akan menyesal sebab bekerja terlalu kuat? Saya risau bila fikir pasal anak, tapi masih terus bekerja. Saya percaya Allah ada perancangan untuk kita,” katanya.

Beliau yang menyertai Khazanah Nasional sejak 2006, diamanahkan melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan memastikan peningkatan impak sosial korporat yang dijalankan.

Ketika itu, katanya mereka baru mula berbincang sama ada perlu menubuhkan sebuah Yayasan atau melaksanakan CSR sahaja.

“Sebelum itu, saya di bahagian perniagaan dan komersil. Jadi, banyak yang saya kena belajar, sebab sektor ini agak berbeza.

“Cara pemberian dana, pengurusan impak, kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) berbeza. Yayasan Hasanah ini memberi geran kepada NGO dan Enterprise sosial. Kami juga bekerjasama dengan organisasi yang membuat program di komuniti,” katanya.

Akuinya, ia bukanlah tugas mudah. Sebaliknya amanah diberikan Khazanah Nasional itu lebih berat.

Selaku Pemegang Amanah, Shahira perlu memastikan dana disediakan diagih-agihkan dengan bertanggungjawab dan berintegriti.

“Saya perlu pastikan dana diperuntukan itu, betul-betul dimanfaatkan, bukan syok sendiri. Sebenarnya bukan tugas mudah untuk mengagihkan RM540 juta dalam setahun.

“Begitupun, pekerjaan inilah yang memperkasakan saya. Masa pandemik, bilangan kakitangan yayasan kecil saja dengan kira-kira 20 orang kakitangan.

“Kami menguruskan beratus juta dana untuk diagihkan. Namun impak dari bantuan diberikan menjadi superpower atau pemangkin semangat untuk kami terus bekerja bersungguh-sungguh,” katanya.

Sepanjang pandemik, mereka berhubung dan berbincang secara atas talian saja namun agihan sebanyak RM540 juta berjaya dilaksanakan dalam tempoh setahun.

Jumlah itu juga antara tertinggi pernah diperoleh bagi memenuhi keperluan masyarakat sepanjang pandemik.

Ditubuhkan pada 2015, yayasan berkenaan sudah membantu lebih 2.4 juta individu daripada pelbagai golongan masyarakat termasuk pelarian dan mereka yang tiada kerakyatan.

Kerjasama juga dijalankan dengan lebih 500 pertubuhan sosial selain menyediakan lebih 600 program dan projek di seluruh negara.

BERI PELUANG BERUBAH

Shahira berkata, ramai yang melemparkan dakwaan kononnya sikap malas dan enggan berubah menyebabkan golongan berpendapatan rendah terus dibelenggu kemiskinan.

Sebaliknya katanya, peluang perlu diberikan untuk mereka meningkatkan taraf ekonomi dan sosial masing-masing.

“Kita kena bersyukur dengan situasi kita. Kalau kita bandingkan nasib kita dengan mereka, nasib kita lebih baik sebab ada peluang untuk maju.

“Sebaliknya mereka tiada peluang. Bila bagi peluang, mereka boleh menjadi lebih baik daripada kita. Jadi, macam mana kita kata mereka ini malas dan tidak mahu berubah? Rata-ratanya isu tiada peluang. Tiada yang menolak untuk maju, “ katanya.

Misalnya menerusi program selama lima tahun yang dijalankan bersama penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang, membuktikan mereka mampu berubah apabila di beri peluang.

Program itu berjaya mengasah bakat pemimpin wanita dalam kalangan penduduk. Jika sebelum ini mereka malu hendak bercakap tapi kini mereka mampu mengendalikan pusat komuniti di situ.

“Bila buat sesuatu program, kita bukan sekadar masuk ke suatu kawasan, beri bantun dan biarkan saja. Sebaliknya kita bersama dengan komuniti itu sekurang-kurangnya tiga tahun sehingga lima tahun.

“Bila kita berjaya lahirkan pemimpin dalam komuniti, itu satu kejayaan. Menerusi pemimpin ini, mereka boleh mengatasi masalah atau isu di situ seperti masalah sampah, keselamatan padang permainan dan sebagainya. Mereka sudah diperkasakan,” katanya.

Tegasnya, sebaiknya bantuan juga tidak terlalu bersyarat, supaya penerima bantuan boleh melakukan yang terbaik untuk melaksanakan visi disasarkan.

CABARAN PENUHI KPI

Mengukur kejayaan meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat, cabaran besar perlu dihadapi Shahira dalam memenuhi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ditetapkan.

Walaupun berjaya meningkatkan pendapatan seseorang individu sehingga 200 peratus sekalipun, ia tidak bermakna sekiranya mereka masih dibelenggu isu seperti keganasan rumahtangga, anak-anak tidak makan makanan yang sihat malah masih ada yang tidak ke sekolah.

“Persoalan yang sering timbul, adakah saya betul-betul berjaya memperkasakan seorang wanita? Jadi, ukuran kejayaan ini sangat rumit kerana ia kadangkala memakan masa lama.

“Cabaran sepatutnya mengumpulkan semua pemegang taruh supaya saling faham memahami bagi menjayakan setiap program,” katanya.

Sepanjang pengalaman, katanya tahun 2021 paling mencabar kerana ramai menghadapi kegetiran akibat pandemik Covid-19. Ramai kanak-kanak yang menjadi anak yatim kerana kehilangan ibu bapa malah ada yang kehilangan kerja.

“Masa pandemik kita mengajar usahawan makro berniaga secara atas talian. Kalau dulu dia buka gerai depan rumah dia, dapat sekitar RM100 hingga RM200 sehari tapi bila berniaga secara mereka boleh dapat lebih.

“Bila diberi peluang, mereka menunjukkan potensi berlipat ganda. Pendapatan mereka turut meningkat daripada RM500 hingga RM600 sebulan, malah boleh dapat RM10k sebulan,” katanya.

Mesra dengan anak

Ibu kepada tiga anak perempuan berusia 15 sehingga 19 tahun ini mengakui berdepan cabaran membesarkan anak-anak lantaran cara mereka membesar, berbeza dengan cara anak-anak sedekad lalu dibesarkan.

Katanya, kita tidak boleh guna 100 peratus cara lama, contohnya melarang anak bermain telefon tetapi pada masa sama, ibu bapa sendiri bermasalah ketagihan telefon.

Begitupun katanya, pastikan anak-anak mendapat didikan agama, pada masa ibu bapa perlu dengar alasan anak bila melakukan sesuatu.

Tambah beliau lagi, sebagai wanita bekerja, pelbagai perasaan bercampur-baur bila teringatkan anak-anak. Kadang-kadang timbul rasa bersalah dan kadangkala pula marah.

Beliau mengakui, sebenarnya perasaan marah dengan diri sendiri kerana terlalu sibuk sehingga tidak sempat mengajar anak perkara tertentu dan menjadi contoh pula dekat anak.

“Jadi, kalau saya nak marah, tanya dulu diri sebab apa dan pada masa sama nak melindungi hubungan dengan anak-anak.

“Saya jenis berterus- terang. Anak-anak tahu. Kami rapat tapi pada masa sama mereka lagi takut dengan saya berbanding bapa mereka.

“Bapa dia sering mengingatkan untuk belajar bersungguh-sungguh.

“Bapa mereka lebih banyak masa dengan anak-anak kerana bertugas sebagai doktor di klinik, mengikut waktu pejabat,” katanya.

Shahira berkata, beliau juga bersyukur kerana mendapat sokongan ibu bapa dan mentua yang membantu menjaga anak-anak ketika mereka masih bayi sehingga usia tujuh tahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN