KELMARIN telah berlangsung penamaan calon bagi pilihan raya negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Berdasarkan pencalonan, persaingan kali ini sengit kerana sebahagian besar daripada 245 kerusi yang dipertandingkan melibatkan pertandingan dua penjuru (satu lawan satu), iaitu 181 kerusi, manakala 51 kerusi tiga penjuru, 13 kerusi empat penjuru dan satu kerusi lima penjuru.
Di Kedah, daripada 36 kerusi yang dipertandingkan, 28 kerusi melibatkan pertandingan dua penjuru, manakala enam kerusi tiga penjuru, satu kerusi empat penjuru dan satu kerusi lima penjuru.
Berita baik untuk Barisan Nasional (BN)-Pakatan Harapan (PH) ialah tiada satu daripada pertandingan lebih dua penjuru ini melibatkan mana-mana pemimpin parti komponen yang tidak berpuas hati kerana parti mereka tidak mendapat kerusi tersebut. Semua kerusi dirundingkan dengan baik dan setelah keputusan muktamad dibuat, semua pihak menerimanya dengan berlapang dada dan tidak membuat apa-apa protes.
Perkara sebaliknya berlaku dalam Perikatan Nasional (PN) apabila penamaan calon menunjukkan setiap parti komponennya memberontak dan berkelahi antara satu sama lain.
Di Pulau Pinang, Presiden Parti Gerakan, Dr. Dominic Lau Hoe Chai merampas kerusi Bayan Lepas yang asalnya diperuntukkan kepada Setiausaha Pas Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim dan ini menyebabkan penyokong Pas memboikot Dominic di hari penamaan calon.
Di Kedah, perkara lebih teruk lagi berlaku antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang tidur sebantal tetapi rupanya mimpi lain-lain. Paling tidak, ada tiga kerusi yang menunjukkan Pas dan Bersatu sedang retak dan menghadapi masalah besar sesama penyokong mereka.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Pas sudah berkorban kerusi Langkawi kepada Bersatu walaupun atas kertas parti Islam itu lebih ramai ahli di sana berbanding ahli Bersatu.
Sepatutnya Yang Dipertua Pas Langkawi, Zubir Ahmad, yang menjadi calon PN di situ tetapi sudahnya Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah yang merupakan calon import Bersatu dipilih.
Disebabkan sudah disailang dalam PRU15, dan kerusi Langkawi dimiliki Bersatu, pemimpin Pas di sana bertekad mahukan kedua-dua kerusi Ayer Hangat dan Kuah sebagai tanda kesetiakawan.
Calon-calon yang dinamakan oleh Pas Langkawi untuk mewakili mereka ialah Zubir di kerusi Ayer Hangat dan Timbalan Yang Dipertua, Mazlan Ahmad, yang pernah bertanding di kerusi sama dalam PRU14 di kerusi Kuah.
Tetapi Bersatu berkeras mahukan pemimpinnya dijadikan calon di kedua-dua kerusi itu. Di kerusi Ayer Hangat calonnya ialah Shamsilah Siru, calon import dari Alor Setar, manakala di kerusi Kuah calonnya ialah Amar Pared Mahamud yang baru menyertai Bersatu dari UMNO.
Sebab itulah Pas menaja seorang pemimpin Pemuda, Safwan Hanif Shafie sebagai calon Bebas melawan calon-calon PN dan BN di kerusi Ayer Hangat selain menaja Mazlan sebagai calon Bebas juga melawan di kerusi Kuah.
Masalah dalam PN Kedah bukan setakat melibatkan pergaduhan antara Pas dan Bersatu tetapi sesama pemimpin Bersatu sendiri pun turut bergaduh. Antaranya ialah di kerusi Kota Siputeh di mana calon Bersatu, Ashraf Mustaqim Badrul Munir, bukan sahaja berdepan dengan calon BN tetapi juga calon Bebas yang ditaja oleh Bersatu Bahagian Jerlun.
Calon Bebas ini bukan sebarang orang kerana dia adalah Ketua Bersatu Bahagian Jerlun, Abdul Ramli. Punca pergaduhan ialah kerana Ashraf dikatakan calon payung terjun yang diimport dari luar, iaitu Kuala Lumpur.
Insiden begini menunjukkan dua perkara mengenai PN.
Pertama, ini adalah bukti Bersatu, Pas dan Gerakan tidak ikhlas dalam berkawan tetapi hanya mahu mencapai kepentingan kuasa untuk puak sendiri sahaja. Bila berselisih faham mereka tiada mekanisme untuk menyelesaikan pertikaian dan mula sabotaj sesama sendiri bagi menunjukkan rasa tidak puas hati.
Kedua, ini menunjukkan dalam PN yang menjadi abang besar ialah Bersatu dan Gerakan bukan Pas walaupun dalam PRU15 parti Islam itu menunjukkan prestasi paling bagus dengan menang paling banyak kerusi selain mempunyai ahli paling ramai.
Datuk Seri Mohamad Sanusi Mohd. Noor lemah sebagai Pengarah Pilihan Raya Pas dan Pengarah Pilihan Raya PN. Beliau gagal menyelesaikan isu perebutan kerusi, gagal meyakinkan pimpinan tertinggi PN menghormati keputusan Pas dan gagal meredakan kemarahan penyokong.
Jika dalam isu kecil begini pun PN sudah bertelagah besar dan tidak mampu menyelesaikan masalah maka apatah lagi dalam isu memerintah negeri dan negara. Kedah sendiri di bawah PN sudah kecoh selama ini dan boleh huru-hara negara jika mereka memerintah.
Berbeza dalam BN-PH yang tidak bergolak. Ini bukti kerjasama parti komponen dalam BN-PH adalah permuafakatan ikhlas. BN-PH juga ada mekanisme untuk menyelesaikan pertikaian yang keputusannya dihormati bersama.
Semua pemimpin dalam parti komponen BN-PH terikat dengan janji persefahaman yang dibentuk di peringkat Pusat untuk membentuk Kerajaan Perpaduan yang teguh berdasarkan prinsip-prinsip yang dipersetujui bersama bukan untuk kepentingan diri atau parti.
Inilah kelemahan PN dan kekuatan BN-PH. Kelebihan lain BN-PH ialah pada tawaran manifestonya yang akan diumumkan yang semuanya boleh dilaksanakan dengan baik kerana BN-PH mempunyai kuasa sebagai Kerajaan Pusat.
Saya optimis majoriti rakyat Kedah akan kalih Kedah bagi sama dengan Pusat kali ini.-UTUSAN
PENULIS ialah bekas dan calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Selambau, bekas EXCO Kerajaan Negeri Kedah dan bekas Timbalan Setiausaha Agung PKR.










