BEBERAPA hari lalu dibangkitkan oleh beberapa pihak mengenai pelantikan semula Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tempoh setahun lagi berkuatkuasa mulai 12 Mei. Antara yang mengkritik pelantikan semula ini adalah bekas ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) SPRM, Dr. Edmund Terence Gomez, yang mendakwa ia telah ‘merosakkan’ kredibiliti Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Asas yang digunakan untuk mempertikaikan pelantikan semula ini adalah Azam dikatakan terlibat dengan dakwaan salah laku menyebabkan reputasi beliau dipersoalkan ekoran pendedahan seorang aktivis anti rasuah bernama Lalitha Kunaratnam mengenai pemilikan sejumlah saham dalam Gets Global Berhad dan Excel Force MSC Berhad atas nama beliau pada tahun 2015 dan 2016.
Hakikatnya, perkara ini telah lama selesai dan tidak wajar dibangkitkan lagi. Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang, telah menjelaskan pada 5 Januari 2022 bahawa LPPR telah mengadakan satu mesyuarat khas pada 24 November 2021 bagi mendapatkan penjelasan Azam berhubung perkara tersebut dan memutuskan bahawa Azam tidak mempunyai sebarang kepentingan ‘pecuniary’ atau ‘benefisial’ bagi pembelian mahupun pemilikan saham-saham berkenaan kerana akaun saham beliau ketika itu digunakan oleh adiknya, Nasir Baki untuk membeli saham-saham berkaitan dan kesemua saham-saham tersebut telah dipindahkan semula kepada Nasir.
Nama Azam juga telah dibersihkan oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang menyatakan pada 18 Januari 2022 bahawa ia telah menyelesaikan siasatannya terhadap isu pegangan saham Azam dan tidak dapat memutuskan berlaku pelanggaran undang-undang di bawah Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) yang menggariskan bahawa akaun dagangan perlu dibuka atas nama pemilik benefisial atau penama yang diberi kuasa.
Lebih meyakinkan lagi, Azam sendiri juga telah memfailkan saman fitnah ke atas Lalitha di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12 Januari 2022 bagi membersihkan nama beliau, di mana kes ini mulanya dijadualkan untuk dibicarakan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir pada 8 hingga 11 Januari 2024 tetapi kemudiannya ditangguhkan ke 9 hingga 12 Julai 2024.
Perlu diingat, tatacara lantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM termaktub dalam Seksyen 5 Akta SPRM 2009 (Akta 694).
Seksyen 5(2) menyebut: “Jika Ketua Pesuruhjaya dilantik daripada kalangan anggota perkhidmatan awam, tempoh pelantikan Ketua Pesuruhjaya tidak boleh melewati tarikh persaraan wajibnya daripada perkhidmatan awam, tetapi jika dia mencapai umur persaraan wajib itu dia boleh dilantik semula sebagai Ketua Pesuruhjaya oleh Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Perdana Menteri, secara kontrak selama apa-apa tempoh dan atas apa-apa terma dan syarat sebagaimana yang dinyatakan dalam surat cara pelantikannya.”
Adalah tidak wajar untuk sesiapa sahaja untuk mempersoalkan sesuatu lantikan yang telah dibuat setelah ia diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Pelantikan semula Azam ini perlu dilihat dalam konteks lantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM sejak PH mula mengambil-alih tampuk pemerintahan pada Mei 2018.
Setelah Tan Sri Dzulkifli Ahmad meletakkan jawatan, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad, mengumumkan lantikan bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM yang telah bersara wajib pada 3 Oktober 2016 (dan digantikan oleh Azam), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 17 Mei 2018. Hujah Dr. Mahathir ialah, “Mohd Shukri mempunyai pengalaman, beliau duduk dalam SPRM dan mempunyai banyak maklumat.”
Setelah Shukri memohon dipendekkan tempoh kontrak perkhidmatan beliau, Dr. Mahathir melantik pula seorang orang luar yang bukan daripada kalangan anggota perkhidmatan awam, Latheefa Beebi Koya, sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM berkuat kuasa 1 Jun 2029. Lantikan Latheefa ini mendapat tentangan banyak pihak kerana kaitan politik beliau sebelum itu.
Setelah Latheefa memohon dipendekkan tempoh kontrak perkhidmatan, Tan Sri Muhyiddin Yassin melantik Azam sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mei 2020 dan lantikan ini diteruskan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Anwar.
Samalah juga halnya bila Azam dilantik semula sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, pastilah ia didasarkan kepada pengalaman luas beliau dalam SPRM. Tambahan pula, dengan terlalu banyak siasatan ke atas kes-kes rasuah berskala besar yang sedang dikendalikan oleh SPRM sejajar dengan fokus Anwar untuk membanteras rasuah dalam negara, jika individu lain dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM sudah semestinya ini akan menjejaskan kemajuan siasatan.
Lantikan semula Azam ini pastinya jauh lebih baik berbanding memanggil semula individu yang telah lama bersara seperti Mohd Shukri atau melantik orang luar yang akan menimbulkan pertikaian.
Tambahan pula, seperti yang dijelaskan oleh Anwar sendiri, Azam telah menjalankan tugas beliau dengan memuaskan, mengambil tindakan tanpa memilih puak atau parti, termasuk menggeledah pejabat-pejabat menteri untuk menyiasat rasuah dalam kalangan pegawai-pegawai kerajaan. Khidmat beliau dengan Muhyiddin dan Ismail Sabri memberikan imej berkecuali (neutrality) pada beliau.
Lantikan semula Azam perlu dilihat dalam konteks komitmen Anwar untuk memastikan kelangsungan pentadbiran kerajaan. Ini boleh dilihat melalui tindakan beliau melantik semula Tan Sri Mohd Zuki Ali sebagai Ketua Setiausaha Negara bagi tempoh dua tahun bermula 11 Ogos 2022, Tan Sri Razarudin Husain @ Abd Rasid sebagai Timbalan Ketua Polis Negara disambung bagi tempoh dua tahun bermula 16 Mac dan Tan Sri Idrus Harun sebagai Peguam Negara bagi tempoh enam bulan bermula 6 Mac 2023. Pastinya ada tugasan yang belum selesai untuk mereka.
Semoga pertimbangan rasional tidak dikaburi oleh sentimen atau perbalahan peribadi.
Kepada orang Islam khususnya, ingatlah firman Allah di dalam al-Quran mengenai balasan bagi mereka yang suka membuat fitnah, maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebahkan tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).” (Surah al-Nur: 19)-UTUSAN
DR. Hussain Yusri Zawawi adalah Pensyarah Kanan di Fakulti Undang-undang & Hubungan Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA)











