KITA semua berhasrat untuk melakukan perubahan sama ada dalam konteks diri berindividu mahupun secara lebih luas. Semua ingin berubah menjadi insan yang lebih baik. Ada pula ingin mengubah suasana kehidupan, dengannya mereka inginkan menata rias rumah dengan konsep berbeza supaya lebih menarik atau mungkin juga mahu memulakan kehidupan baharu di tempat berbeza. Tidak kurang juga yang mempunyai aspirasi untuk merubah kehidupan rakyat serta hala tuju negara.
Namun, bukan mudah untuk merealisasikan semua perubahan yang kita inginkan kerana ia memerlukan semangat kental, usaha keras serta pengorbanan besar. Apa lagi jika perkara yang ingin kita ubah itu melibatkan masalah birokrasi serta faktor-faktor di luar kawalan kita. Kadangkala kita menemui jalan buntu kerana cadangan yang kita kemukakan diperlekehkan begitu sahaja oleh mereka yang mempunyai autoriti.
Justeru, ada yang mengambil keputusan menawarkan diri agar dipilih untuk berada pada kedudukan di mana mereka boleh melaksanakan perubahan itu. Hakikatnya, mengkritik lebih mudah daripada melakukan sesuatu. Apabila sudah diberi peluang, ramai pula yang gagal menunaikan amanah dan tanggungjawab mereka atas pelbagai alasan.
Hal-hal sebegini berlaku di mana-mana sahaja, baik dalam kesatuan mahasiswa mahupun parti politik. Ada yang terus hilang suaranya apabila sudah mendapat kuasa, ada pula yang tiada arah tuju dan seolah-olah keliru tentang apa yang harus mereka perjuangkan. Akibatnya, masalah sama masih tidak dapat diselesaikan walaupun itulah yang mereka perjuangkan sebelum berkuasa.
Ramai pula menjadikan kedudukan yang ada hanya sebagai batu loncatan supaya boleh berada di kedudukan lebih tinggi pada masa hadapan. Maka mereka lebih fokus untuk mempromosikan diri masing-masing sahaja supaya lebih dikenali dan tampak hebat di mata khalayak. Mereka sibuk menumpang isu-isu besar yang mendapat perhatian ramai, manakala hal sepatutnya mereka perjuangkan, sudah mereka lupakan.
Di mana-mana pun, akan ada kelompok individu sebegini. Kuatnya suara mereka memberi kata dua bagaikan halilintar membelah bumi. Mereka turun ke jalanan mengadakan demonstrasi sambil memanggil orang awam supaya menyokong apa yang diperjuangkan. Sedangkan isu yang dibangkitkan itu bukannya dapat diselesaikan dengan demonstrasi dan kekerasan.

PANAS
Adakah mereka merasakan kekuatan suara mereka itu sudah cukup untuk menyelesaikan segala masalah negara? Masakan hanya itu cara mereka untuk menyelesaikan masalah? Lalu bagai embun di hujung rumput, setelah isu tersebut tidak lagi panas, hilang jugalah suara mereka.
Masalah harga barang yang naik terlalu tinggi, sebagai contohnya, bukanlah berita baharu. Setiap kali pilihan raya, itulah isu yang dilaungkan oleh pihak pembangkang. Sedangkan, harga barang masih naik walaupun setelah parti-parti yang dahulunya memainkan isu ini membentuk kerajaan baharu.
Justeru, dapatkah harga barang diturunkan hanya kerana ada yang turun berdemontrasi? Bukan menuding jari kepada sesiapa, tetapi inilah sikap yang sama-sama perlu kita perbaiki agar tidak menjadi ibarat tin kosong.
Dalam memperjuangkan hak dan kebajikan mereka yang kita wakili, adalah baik jika kita menggunakan saluran yang betul dan bertindak dengan cara terhormat. Suara yang kuat bukan bermakna kita lebih hebat. Orang yang cerdik bertindak menggunakan akal, bersikap diplomasi dan bijak berunding.
Jangan pula kita bertindak seperti anak kecil yang belum dapat berfikir dengan matang dan cuma menuntut apa yang mereka mahukan.
Kita sepatutnya bukan sekadar menuntut satu perubahan dibuat dalam satu jangka waktu yang diberi tetapi mampu memberi cadangan bernas dan pandangan bagaimana caranya untuk menyelesaikan masalah tersebut. Itu menggambarkan sikap bermaruah dan bertamadun yang sepatutnya ada pada diri kita. Tanah air kita pun bebas daripada cengkaman British melalui rundingan dan bukannya melalui kekerasan seperti dikehendaki sesetengah pihak.
Tanggungjawab yang kita terima, mesti dilunaskan dengan jujur dan amanah. Lebih-lebih lagi jika pertubuhan itu bergerak atas sumbangan dana awam khususnya duit zakat untuk menguruskan aktiviti mereka. Maka amat penting bagi kita untuk memastikan agar dana itu tidak disalahgunakan. Janganlah sampai dana itu digunakan untuk sesuatu di luar skop sebenar pertubuhan kita. Apatah lagi jika pertubuhan itu membawa nama Islam kerana ia boleh membentuk satu perspektif buruk terhadap agama seolah-olah Islam tidak menitikberatkan perihal ketelusan.
Ada juga pemimpin yang seolah-olah keliru akan hala tuju perjuangan mereka sendiri. Sebagai contohnya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan untuk menjaga kebajikan anak-anak yatim sepatutnya fokus tentang hal tersebut dan bukannya menggunakan dana yang ada untuk hal kebajikan lain seperti menolong golongan gelandangan. Jika kita begitu sibuk melakukan tugas orang lain, siapa pula akan menyelesaikan tugas kita? Akhirnya, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.
Begitu juga dengan kesatuan mahasiswa. Tanggungjawab mereka menjaga kebajikan mahasiswa. Maka dana dan aset yang disediakan harus digunakan untuk tujuan tersebut. Mereka sepatutnya menjadi jambatan antara mahasiswa dan pengurusan universiti. Jika ada hal berbangkit, merekalah yang sepatutnya berunding dengan universiti bagi pihak mahasiswa, bukannya dengan memprotes. Jika ini gagal mereka laksanakan, maka gagallah mereka sebagai pemimpin pelajar dan tak perlulah sibuk membantu golongan luar tatkala tanggungjawab sendiri belum selesai.
Hidup kita biarlah bermaruah. Suara yang lantang belum tentu berisi dan bermanfaat. Berhemahlah ketika berunding dan jangan bersikap angkuh. Bahasa yang kita gunakan ialah cerminan keperibadian kita. Semoga kita berubah ke arah kebaikan.-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar ijazah sarjana muda sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).









