MUKADIMAH
MELIHAT latar belakang DATUK DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI, 47, yang baru dilantik sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan juga Setiausaha Agung UMNO menunjukkan parti itu tidak ketandusan pemimpin pelapis untuk diketengahkan sejajar dengan proses rejuvenasi yang sedang berjalan.
Cicit kepada salah seorang ulama tersohor Kelantan, Tok Selehor, beliau yang memegang ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Perbankan dan Kewangan Islam daripada Universiti Loughborough, United Kingdom pernah menjadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Kepada wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL, NIZAM YATIM dan ASLINDA NASIR, Asyraf Wajdi berkongsi misinya untuk memastikan UMNO dan Mara iaitu ‘bayi’ yang dilahirkan daripada Perhimpunan Agung parti itu terus relevan dan jasa-jasanya dapat dirasai orang Melayu dan bumiputera keseluruhannya.
Ikuti wawancara berlangsung di ibu pejabat UMNO di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur baru-baru ini yang turut disertai jurufoto, FARIZ RUSADIO.
LANTIKAN POLITIK
UTUSAN: Adakah Datuk menghadapi sebarang dilema sebagai ahli politik yang dilantik menjadi Pengerusi Mara?
ASYRAF WAJDI: Tidak. Saya jelas benda ini. Pertama sekali, saya tidak apologetik kerana bila orang kata ini adalah lantikan politik, memang lantikan politik. Kalau kita tengok sejarah pun, Pengerusi Mara ini memang daripada dulu pun ialah orang politik.
Saya sebagai Pengerusi Mara dan pada masa sama sebagai Setiausaha Agung UMNO, dihantar oleh Timbalan Perdana Menteri (yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) selepas dipersetujui oleh Perdana Menteri, untuk menjaga Mara yang merupakan ‘bayi’ UMNO.
Pertama sekali bila saya masuk Mara ini, saya merujuk kepada dua dokumen penting. Pertama, Akta Mara 1966 dan kedua dokumen sejarah berkenaan dengan penubuhannya yang bermula daripada Perhimpunan Agung UMNO tahun 1960-an yang mencadangkan mesti ada satu institusi diwujudkan yang boleh membantu orang Melayu dari segi menaik taraf sosioekonomi mereka.
Daripada situlah tercetusnya untuk menganjurkan Kongres Ekonomi Bumiputera yang antara orang yang sentimental ataupun pengasas kepada idea tersebut termasuklah Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan Tengku Razaleigh Hamzah.
Saya membaca teks ucapan Tun Razak secara terperinci berkenaan dengan idea bagaimana resolusi kongres itu mencadangkan supaya diwujudkan satu institusi yang boleh membantu meningkatkan tahap sosioekonomi orang Melayu dan kunci utamanya ialah ilmu dan pendidikan.
Tidak selamanya orang Melayu ini harus bergantung kepada ikan yang diberikan tetapi bagaimana kita nak mengajar mereka untuk menangkap ikan dan menyediakan ekosistem yang membolehkan dia bersaing dalam pentas yang dia boleh hidup.
Memang saya berada di sini untuk memastikan Mara terus diperkasakan kerana kalau apa-apa berlaku kepadanya, itu juga adalah petanda kegagalan UMNO dan ‘bayi’ yang selama ini dilahirkan dan hari ini sudah sampai ke tahap yang begini matang.
Jadi apatah lagi sebagai orang politik kita melihat dengan kaca mata yang lebih besar, kita dapat membantu untuk mempercepatkan sesuatu agenda, kita dapat hubungkan dengan pelbagai kementerian dan agensi-agensi lain.
Adakah wujud sebarang konflik?
Saya tak nampak ada konflik, sebab kita pun tak pernah bersifat diskriminatif. Bila kata saya ini datang untuk menjaga ‘bayi’ UMNO, tak bermaksud saya nak mengumnokan semua orang. UMNO ini daripada dulu pun, kita membantu tanpa mengira parti.
Bahkan menariknya, baru-baru ini saya pergi ke Gerik, memberikan pembiayaan RM200,000 untuk seorang usahawan Program Pembangunan Usahawan Elektrik Mara (Propower) dan rupa-rupanya yang saya bagi itu adalah orang kuat Perikatan Nasional (PN) yang kalahkan saya waktu bertanding kerusi Parlimen Gerik.
Dia ialah usahawan berpotensi dan kita sudah pun melakukan proses penilaian, tanpa melihat warna parti pun. Bagi saya kalau dia berjaya, itu adalah kejayaan UMNO melahirkan lebih ramai usahawan.
KEJAYAAN
Adakah Mara telah berjaya?
Kalau kita tengok dalam konteks pendidikan, institusi pendidikan Mara ini adalah yang terbesar. Daripada sekolah menengah iaitu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang sekarang ada 55 buah, sehinggalah kepada universiti iaitu Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM). Dulu kita ada Universiti Teknologi Mara (UiTM), tetapi diserahkan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi kerana ia dijadikan universiti awam.
Kita ada 280 institusi yang terlibat dalam Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Ini termasuk GiatMara di semua Parlimen. Kita ada Institut Kemahiran Mara (IKM) dan Kolej Poly-Tech Mara (KPTM). Institusi yang terlibat dengan TVET ini bukan bersifat konvensional dan tradisional, hanya ajar orang buat kek dan pendawaian elektrik, tetapi Mara juga sentiasa dinamik dari segi kandungan silibus supaya menepati kepada kehendak zaman.
Contohnya, ramai orang tak tahu bahawa Mara melatih ramai anak-anak bumiputera kita dalam industri menyelenggara dan membaik pulih (MRO) kapal terbang. Kita juga baru sahaja tandatangan perjanjian persefahaman (MoU) dengan badan kawal selia antarabangsa, Institution of Railway Signal Engineers (IRSE), United Kingdom yang mengiktiraf kita punya TVET dalam penawaran sijil kompetensi isyarat rel dan telekomunikasi.
Saya pergi ke Beranang, Selangor, di Mara Japan Industrial Institute (MJII), yang menariknya dia melatih pelajar dalam teknologi Revolusi Industri Keempat (IR 4.0) dalam internet kebendaan (IoT), robotik dan reka bentuk teknologi yang terkini, bahkan mereka sudah berupaya untuk menginovasi produk-produk baharu. Sebab Mara kita mempersiapkan bukan sahaja tenaga pakar untuk melatih tetapi kita ada infrastruktur dan juga peralatan yang terkini yang kita sanggup melabur untuk mengajar pelatih-pelatih kita.
MERAKYATKAN MARA
Bagaimanakah hendak membuatkan rakyat merasai kehadiran Mara?
Sebab itu, bila saya menyampaikan amanat yang pertama kepada warga Mara saya punya tema dan tanda pagar adalah merakyatkan Mara. Ini bukan bermakna Mara sekarang ini terpisah daripada masyarakat. Sebenarnya, Mara ini terlalu banyak sumbangannya kepada masyarakat, tetapi ramai lagi yang tidak merasai kehadirannya.
Ramai yang tak tahu sebenarnya kalau masuk institusi Mara dalam tempoh empat tahun akan dapat diploma dan ijazah sarjana muda berbanding dengan mereka yang pergi ke matrikulasi dan sambung ijazah sarjana muda yang hanya dapat satu kelulusan dalam tempoh enam tahun.
Benda-benda macam ini kita kena war-warkan. Kita kena berkomunikasi dengan masyarakat, kita kena memastikan lebih ramai lagi rakyat merasai bahawa mereka nak terlibat dengan Mara ini, dalam pelbagai aspek. Bukan itu sahaja, saya juga mempunyai cita-cita satu hari nanti, Mara menjadi institusi di mana orang-orang Melayu/bumiputera yang berjaya mahu menyumbang kembali kepada tabung di bawahnya kerana mereka tahu setiap sen yang disumbangkan itu akan dapat membina ataupun melahirkan lebih ramai lagi anak-anak muda yang berjaya dalam pendidikan dan keusahawanan.
UMNO perlu kembali kepada tradisi membela rakyat
BAHAGI MASA
Sebagai Pengerusi Mara memang sibuk, macam mana Datuk membahagi masa pula untuk UMNO?
Saya nampak peranan saya di Mara dan UMNO ini, ada persamaannya dalam satu aspek, kerana bila saya turun ke negeri-negeri saya ambil peluang bukan sahaja melakukan lawatan kerja rasmi ke MRSM ataupun Mara, tetapi juga saya ambil kesempatan untuk menguruskan perkara-perkara yang bersangkutan dengan parti.
Peringkat awal ini, adalah untuk menyelesaikan isu-isu yang berkaitan dengan pemilihan yang baru selesai, termasuk dalam konteks penstrukturan bahagian-bahagian. Jadi, sambil menyelam minum airlah.
Cuma di peringkat ibu pejabat UMNO, Presiden sudah pun memberikan garis-garis asas apa yang dihasratnya untuk saya terjemahkan di dalam bentuk gerak kerja, antara lain ialah soal pendigitalan dan yang ini kita berikan penumpuan.
Yang kedua, dari segi gerak kerja kita untuk mempersiapkan jentera pilihan raya untuk berhadapan dengan pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya umum (PRU), yang ini yang saya maksudkan kita kena selesaikan dahulu penstrukturan asas itu.
Ketiga, struktur-struktur yang sekarang ini, UMNO buat satu pembaharuan dari segi gerak kerja. Setiap ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) diberikan tanggungjawab mengetuai satu majlis ataupun sekretariat yang terkait dengan soal rakyat.
Maknanya, walaupun kita sebahagian daripada kerajaan hari ini, tetapi UMNO ini sebagai tradisinya adalah tradisi membela rakyat. UMNO tidak boleh terpisah daripada isu-isu rakyat, isu rakyat ini termasuk soal kos sara hidup dan isu ekonomi yang melanda mereka.
Kita juga ada sekretariat yang memfokuskan soal jalinan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Sudah lama, UMNO ini terpisah dengan NGO-NGO kesatuan sekerja.
INDUSTRI HALAL
Adakah tumpuan lain selain isu rakyat?
Selama ini yang mempelopori idea halal, industri halal dan perbankan serta kewangan Islam, itu semua daripada Perhimpunan Agung UMNO pada waktu kita jadi kerajaan. Hari ini industri halal, 82 peratus dikuasai oleh bukan Islam.
Itu agenda Melayu yang perlu dipelopori oleh UMNO. Bukanlah bermakna yang 82 peratus orang bukan Islam ini, kita nak nyahkan, tak boleh. Tapi kita nak pastikan bumiputera akan ada lonjakan dari segi keupayaan mereka untuk terlibat dalam pelbagai sektor industri halal.
Sebab itu ada sekretariat khas, Sekretariat Industri Halal dan Keusahawanan yang ini diketuai oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz kerana kementeriannya ada kaitan juga dengan industri halal, sebab di bawahnya ada Halal Development Corporation (HDC). Sebagai Setiausaha Agung UMNO saya perlu menyelaraskan supaya semua sekretariat ini berperanan, itu yang paling penting.
REJUVENASI
Dari segi menambah baik UMNO, macam mana pula?
Antara fokus yang diberikan oleh Presiden kepada saya adalah dari segi kaderisasi dan rejuvenasi parti. Itu salah satu sebab mungkin dia memberikan amanah buat kali pertama kepada bekas Ketua Pergerakan Pemuda untuk menjadi Setiausaha Agung dan saya penjawat jawatan itu yang termuda kut (agaknya) dari segi sejarah.
Sebenarnya, pada zaman Datuk Seri Zahid kalau kita tengok, proses peremajaan parti itu betul-betul berlaku. PRN Melaka contohnya, berapa ramai calon muda yang diketengahkan? Empat calon Pemuda UMNO menang dan keempat-empat jadi Exco.
Waktu PRU15, kali pertama berapa ramai calon dalam kalangan Pemuda, Puteri dan orang muda? Ramai, tetapi nasib sahaja tidak menyebelahi kerana waktu itu ada sentimen arus (menolak). Hari ini proses rejuvenasi dan proses kaderisasi ini perlu berterusan. Saya sudah mula menyelaraskan Pemuda dan Puteri sebagai sayap muda dalam UMNO kerana kita tak boleh lagi bekerja secara silo, tapi bekerja sebagai satu pasukan yang besar.
DAP
Macam mana Datuk nak meredakan atau menjelaskan kepada orang Melayu mengenai soal ‘berkawan’ dengan DAP?
Pertama sekali, kita harus memahami realiti yang ada iaitu berpuluh-puluh tahun, orang Melayu ini diindoktrinasi terutama pada zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad dulu, bahawa kita tak boleh berkawan langsung dengan DAP kerana parti itu anti-Islam dan anti-Melayu. Benda ini sudah sebati dengan orang Melayu dan UMNO sampai ke bawah.
Pas lebih mudah kerana dengan satu fatwa sahaja, mereka boleh berpelukan dengan DAP, tetapi UMNO ini fatwa Majlis Ulama parti pun belum tentu boleh menyelesaikan isu itu.
Tak payah cakap DAP, dengan Pas, yang berpuluh tahun kita berantakan, itu lagi teruk. Cuba kita tengok bila kita mulakan usaha untuk merapatkan hubungan dengan Pas, kita mula dengan program di akar umbi, lebih daripada 600 program penyatuan ummah dibuat selama 13 bulan.
Jadi kita harus mula turun ke bawah, untuk menjelaskan kepada akar umbi. Sebab itu kita tubuhkan Sekretariat Kerajaan Perpaduan dan kita akan buat program bersama sepertimana kita buat dengan Pas dulu di negeri, Parlimen, DUN, bahagian dan kawasan.
Jadi, proses ini kita jangkakan akan ambil masa sekurang-kurangnya dua tiga tahun akan datang. Sebab dengan Muafakat Nasional sehingga termeterai piagam pun 14 bulan, jadi takkan kita nak harap dalam tempoh empat bulan ini hubungan itu akan jadi mesra sampai ke bawah.-UTUSAN










