ISLAMOFOBIA adalah istilah kontroversi yang merujuk kepada prasangka dan diskriminasi pada Islam dan umatnya. Ia juga merujuk kepada persepsi bahawa Islam mempunyai nilai yang tidak sama dengan budaya lain, lebih rendah daripada nilai Barat dan mempunyai ideologi politik ganas.
Manifestasi Islamofobia dizahirkan dalam pelbagai bentuk sama ada melalui media, penulisan karya ilmiah, politik dan perundangan. Ia turut diterjemahkan dalam bentuk diskriminasi seperti masalah mendapatkan keperluan asas, peluang pekerjaan, tempat tinggal, penjagaan kesihatan dan pendidikan.
Malah, Islamofobia juga ditonjolkan dalam bentuk protes dan lebih teruk lagi melalui keganasan atau jenayah. Ini boleh dilihat melalui laporan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dari Disember 2020 hingga Januari 2022 yang menunjukkan berlakunya diskriminasi terhadap orang Islam di seluruh dunia sebanyak 21 peratus, serangan lisan dan fizikal (11%), ucapan kebencian (9%), menyebarkan kebencian dalam talian (7%), gangguan pemakaian hijab (4%), serangan masjid (12%), berkaitan polisi (17%) dan kempen ekstremis berhaluan kanan (19%).
Walaupun isu Islamofobia kebiasaannya berlaku di negara minoriti Muslim seperti Perancis, India, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada, Jerman, Israel, Sri Lanka, New Zealand dan Australia, namun tempiasnya turut dirasai negara-negara lain termasuk Malaysia. Ini kerana kebanjiran saluran media hasil kemajuan teknologi komunikasi di seluruh dunia menyumbang kepada penularan Islamofobia ke merata dunia.
Malaysia sebagai negara Islam komited dan berusaha menangani isu ini supaya tidak terus merebak menjadi barah yang boleh menjejaskan keharmonian dan kerukunan masyarakat. Pelbagai usaha giat dilaksanakan seperti meningkatkan kerjasama dengan pihak berkuasa dunia, pertubuhan bukan kerajaan, pertubuhan antarabangsa selain menjalankan penyelidikan dan menggerakkan usaha dakwah yang lebih aktif dengan tujuan menjelaskan salah faham terhadap Islam.
Tidak sekadar itu, kerajaan juga wajar memberikan penekanan supaya rakyat mendukung falsafah Rukun Negara yang menjadi dasar dan tonggak perpaduan serta keharmonian masyarakat berbilang kaum. Penghayatan terhadap Rukun Negara ini perlu sentiasa dipupuk terutama oleh generasi muda, namun kini ia semakin kurang diberi perhatian malah seolah-olah diketepikan yang dibimbangi akan dilupakan begitu sahaja.
Lima prinsip Rukun Negara ini memberi maksud yang sangat signifikan dalam memupuk kesetiaan kepada agama dan negara di samping menghormati pemimpin dan undang-undang. Selain itu, prinsip-prinsipnya juga menyemarakkan rasa hormat-menghormati dan menanam semangat perpaduan yang utuh dalam masyarakat majmuk.
Prinsip Kepercayaan Kepada Tuhan bermaksud bangsa dan negara ini telah diwujudkan atas kepercayaan yang kukuh kepada Tuhan yang maha berkuasa yang telah menciptakan seluruh alam semesta. Prinsip Kesetiaan Kepada Raja dan Negara bermaksud setiap warganegara hendaklah menumpukan sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas kepada Yang di-Pertuan Agong. Keluhuran Perlembagaan pula menekankan perlunya rakyat menerima, mematuhi dan mempertahankan keluhuran atau kemuliaan Perlembagaan Persekutuan iaitu sumber perundangan tertinggi yang telah digubal berasaskan kesepakatan semua kaum dan pihak di negara ini.
Prinsip Kedaulatan Undang-Undang pula menjelaskan setiap negara memerlukan undang-undang untuk mengawal dan mewujudkan satu masyarakat yang aman, stabil dan makmur. Kewujudan undang-undang akan menjamin kehidupan anggota masyarakat dapat bergerak dengan licin dan teratur tanpa sebarang kekacauan dengan semua anggota masyarakat akan merasa selamat.
Kesopanan dan Kesusilaan pula menekankan sikap bersopan santun dan bersusila yang patut diamalkan bagi membentuk individu dan masyarakat berdisiplin serta bermoral tinggi dan harmoni.
Jika Rukun Negara ini dijiwai sepenuhnya, sudah pasti dapat membentuk generasi yang punya nilai murni dan bersatu hati demi memelihara keharmonian. Masyarakat majmuk yang harmoni akan mencari titik persamaan dan meraikan perbezaan serta menolak segala prejudis yang hanya membawa kerosakan kepada masyarakat dan negara.
Kepentingan muafakat dan perpaduan dalam kalangan rakyat seperti digariskan dalam Rukun Negara adalah bertepatan dengan gagasan Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau mahu konsep Malaysia Madani dijadikan sebagai jalan ke hadapan untuk Malaysia serta masyarakatnya yang terdiri pelbagai kaum dan budaya berusaha ke arah perpaduan dengan bertunjangkan sikap saling menghormati, meraikan kepelbagaian dan merealisasikan nilai-nilai positif melalui dialog peradaban.
Usaha mengukuhkan toleransi dan saling menghormati sesama masyarakat berbilang bangsa dan agama ini selari dengan saranan Islam seperti ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW semasa perang Khaibar. Ketika itu, para sahabat menemukan beberapa naskhah kitab Taurat. Rasulullah SAW lalu menyuruh kitab-kitab tersebut dikembalikan kepada orang-orang Yahudi. Kisah ini menunjukkan kepekaan Nabi Muhammad SAW terhadap sensitiviti agama lain terutama berkaitan dengan sesuatu yang disucikan penganut agama tersebut. Baginda tidak meminta agar kitab tersebut dibakar atau dibuang tetapi menyuruh mengembalikannya kepada pengikutnya demi menghormati kepercayaan mereka. Kisah ini menyeru kaum Muslimin agar menghormati agama lain dengan tidak menghina sembahan atau merosakkan rumah ibadat mereka atau memperlekehkan sesuatu yang dianggap suci oleh mereka.
Justeru, mengukuhkan perpaduan dan toleransi adalah kunci utama menolak Islamofobia. Usaha perlu digembleng setiap anggota masyarakat dengan dukungan para pemimpin bagi memastikan muafakat dan perpaduan dalam kalangan rakyat terus kukuh bagi tujuan mencapai matlamat itu.-UTUSAN
DR. Suhailiza Md. Hamdani ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Kepimpinan & Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).









