Menabung bersungguh-sungguh untuk hari tua

Menabung bersungguh-sungguh untuk hari tua

SISTEM caruman pekerja seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diperkenalkan dengan tujuan awal untuk membantu para pencarum memperoleh kehidupan yang lebih terjamin apabila usia mereka meningkat.–GAMBAR HIASAN/UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERKAT kemajuan perubatan dan kemudahan penjagaan kesihatan yang lebih sempurna, warga dunia kini hidup lebih panjang usianya berbanding dengan generasi terdahulu. Kebanyakan orang sekarang menjangkau pencapaian usia 60 tahun dan ke atas.

Menjelang 2030, dalam setiap enam orang warga dunia, salah seorangnya merupakan warga emas berusia 60 tahun dan ke atas. Pada masa itu, jumlah penduduk dunia berusia 60 tahun dan ke atas akan mencecah 1.4 bilion berbanding 1 bilion pada 2020. Angka itu akan terus memecut menjadi 2.1 bilion pada 2050.

Mengikut Banci Penduduk Malaysia Tahun 2020, jumlah warganegara Malaysia yang menjangkau 65 tahun dan ke atas mencatatkan rekod 6.8 peratus daripada jumlah 33.2 juta penduduk negara. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mentakrifkan apabila bilangan penduduk berusia 65 tahun ke atas di sesebuah negara mencapai tujuh peratus daripada keseluruhan penduduknya, maka ia akan dikenal pasti sebagai negara memasuki era masyarakat berusia tua.

Sesungguhnya, Malaysia berada di landasan ke arah pembentukan masyarakat penduduk lanjut usia. Bilangan warga emas kita akan terus meningkat dengan cepat dalam jangka masa terdekat.

Apabila penduduk berusia tinggi sesebuah negara semakin bertambah, maka jumlah kos perubatan penjagaan kesihatan warga tua akan terus meningkat. Ini akan membebankan belanjawan kesihatan sektor awam kerana lebih banyak klinik dan hospital awam perlu dibangunkan. Begitu juga bilangan tenaga doktor, jururawat dan pegawai perubatan perlu dilipatgandakan.

Bagi warga tua yang bergantung kepada perkhidmatan perubatan swasta, dijangkakan sebahagian besar daripada tabungan hari muda mereka akan dibelanjakan untuk rawatan perubatan dan penjagaan kesihatan pada usia tua.

Di Malaysia, usia bersara rasmi ditetapkan pada 60 tahun. Jika pesara itu seorang bekas penjawat awam, maka dia terpaksa bergantung kepada wang pencen kerajaan untuk hari tuanya. Bagi pesara dari sektor swasta pula, tabungan pokok dan dividen caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjadi tempat bergantung untuk meneruskan hidup usia tua mereka.

Justeru, pengekalan baki simpanan yang secukupnya dalam akaun KWSP demi hari tua adalah sangat penting agar kehidupan masa depan warga emas sentiasa terjamin. Pengeluaran khas sejumlah RM145 bilion oleh 8.1 juta orang pencarum KWSP daripada Akaun 1 sepanjang pandemik Covid-19 sesungguhnya membawa kesan jangka panjang yang negatif, iaitu mengakibatkan pengurangan jumlah simpanan persaraan yang ketara dalam kalangan ahli KWSP terbabit.

Kementerian Kewangan baru-baru ini mendedahkan, kini 6.7 juta ahli KWSP (51.5%) berusia 55 tahun dan ke bawah, baki simpanan Akaun 1 mereka hanya tinggal RM10,000 atau kurang daripada jumlah itu.
Pada dasarnya, sistem caruman pekerja seperti KWSP diperkenalkan dengan tujuan awal untuk membantu para pencarum memperoleh kehidupan yang lebih terjamin apabila usia mereka meningkat. Apabila pencarum sudah tiada pendapatan daripada bekerja nanti, maka caruman dan dividen simpanan menjadi tempat bergantung mereka untuk meneruskan hidup.

Skim caruman pekerja yang dipraktikkan di kebanyakan negara sebenarnya memainkan peranan sebagai satu jaringan keselamatan sosial buat rakyat sesebuah negara apabila mereka berusia tinggi di hari kemudian.

Di Singapura misalnya, caruman pekerja mereka mencapai dua matlamat utama, iaitu membantu setiap keluarga di republik itu memiliki sebuah flat HDB (Lembaga Perumahan dan Pembangunan) yang diusahakan oleh pihak kerajaan dan ditawarkan pada harga lebih rendah daripada harga pasaran. Di samping itu, skim caruman pekerja juga sentiasa memastikan setiap pencarum memiliki baki simpanan secukupnya untuk menghadapi kehidupan usia tua nanti.

Generasi muda di Singapura mungkin tidak mempunyai baki simpanan pekerja yang banyak pada awal tempoh pencaruman, namun mereka yang memenuhi syarat tetap diberi peluang dan dibantu oleh HDB melalui pinjaman perumahan dan subsidi pemilikan rumah untuk membeli sebuah rumah pangsa kerajaan. Hutang perumahan yang tertunggak kemudian akan dijelaskan secara beransur-ansur menggunakan dana daripada caruman-caruman seterusnya dalam akaun simpanan pekerja si pencarum.

Singapura merupakan salah sebuah negara yang mempunyai kadar pemilikan harta rumah yang tertinggi di dunia. Kini, kira-kira 80 peratus warga Singapura memiliki harta rumah sendiri.

Beralih semula kepada keadaan di Malaysia. Pada hakikatnya, sepanjang kewujudan KWSP, badan itu berjaya menjana pulangan dividen kira-kira enam peratus setiap tahun buat pencarum.

Kadar pulangan 2022 yang baru sahaja diumumkan hanya setinggi 5.35 peratus untuk akaun simpanan konvensional, dan sedikit berkurangan daripada kadar pulangan tahun sebelumnya. Namun, di bawah iklim pelaburan sedunia yang kurang kondusif, kadar pulangan tersebut boleh dianggap sudah cukup merangsangkan.

Pada pendapat saya, para pencarum seharusnya bertindak rasional dan terus melabur dalam KWSP untuk mencipta satu kadar pulangan dividen setinggi mungkin buat mereka.

Sesungguhnya, ramai rakyat Malaysia khususnya di kawasan bandar juga menghadapi cabaran memiliki sebuah rumah sendiri untuk melangsungkan hidup masing-masing.

Adalah sangat diharapkan agar akaun simpanan KWSP diperluaskan fungsinya pada masa depan untuk membantu para pencarum memiliki sebuah rumah pertama, yakni pencarum tidak perlu lagi meminjam daripada bank tetapi KWSP membiayai kos pembeliannya, dan bayaran balik bulanan terus ditolak daripada baki simpanan pekerja masing-masing.

Kelanjutan usia warga Malaysia tentu akan membawa impak yang sangat besar kepada perkembangan negara dari aspek politik, ekonomi dan sosial pada masa depan. Oleh itu. warga Malaysia perlu sediakan payung sebelum hujan dengan membuat tabungan dan pelaburan yang lebih terancang seawal mungkin.-UTUSAN

PENULIS ialah lepasan program Sarjana Pengajian Media dari Jabatan Media & Komunikasi, Universiti Malaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN