PAKATAN ketenteraan strategik AUKUS dimeterai antara United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS) dan Australia minggu lalu menyaksikan perjanjian pembinaan dan perkongsian kepakaran sensitif kapal selam berkuasa nuklear. Ancaman China menjadi faktor utama percaturan Barat dalam usaha bersepadu untuk mengejar masa dalam mengekang kemaraan Beijing di rantau Indo-Pasifik.
Benteng pertahanan dan kesepaduan Barat sebelum ini kurang efisien dan tidak terdaya dalam menyeimbangi skop pengaruh Beijing disebabkan impak isu lain dan fokus tidak tersasar dalam menumpukan perhatian penuh kepada Indo-Pasifik dan kemaraan China. Aspek perang terhadap terorisme, kemelut krisis kewangan dan ekonomi dunia 2009, tindakan Moscow di Ukraine, impak krisis di Timur Tengah serta usaha terhadap ancaman bukan tradisional lain termasuk perubahan iklim dan sumber baharu, mengalih tumpuan Barat untuk berdepan China.
Agenda Presiden Joe Biden dalam rangka mengembalikan kegemilangan sektor pembuatan dan agenda ekonomi lain dalam Inflation Reduction Act turut menyaksikan reaksi Eropah yang kurang senang dengan layanan tidak adil diterima dalam pulangan ekonomi dan pelaburan yang dilihat hanya menguntungkan Washington.
Perang di Ukraine mengubah rubrik percaturan kegusaran Eropah serta risiko terhadap kestabilan ekonomi dan sumber kritikal. Ancaman berganda di Indo-Pasifik hasil daripada perluasan kuasa dan pengaruh Beijing turut memaksa Eropah untuk memperkukuh hubungan dan pakatan keselamatan dengan Washington dengan mekanisme sedia ada termasuk Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Kesepakatan Barat yang lebih komprehensif dicerminkan dalam penghasilan pakatan AUKUS yang dilihat Barat sebagai satu keperluan mendesak dalam agenda mengekang momentum agresif dimiliki Beijing di rantau Asia Tenggara dan Indo-Pasifik amnya. Benteng Barat diketuai Washington sedar tentang kelewatan dalam persaingan kuasa dan pengaruh di rantau ini, dan ini diburukkan dengan keengganan ASEAN dan beberapa negara serantau lain untuk mengubah pendirian berkecuali mereka dalam menghadapi konflik persaingan Beijing-Washington.
AUKUS menjadi perintis baharu kepada percaturan ini, di samping melipatgandakan kerjasama pertahanan di antara Canberra dan Washington yang akan menyaksikan peningkatan bilangan dan kekerapan keberadaan aset ketenteraan AS khususnya US Marines di utara Australia berpangkalan di Darwin. Dengan berorientasikan Beijing, strategi sekatan ini hanya akan berjaya sekiranya melibatkan kesungguhan dan kesediaan beberapa negara strategik di rantau ini sebagai penghubung kepada aset sedia ada di Down Under. Sokongan pangkalan di Singapura dan perubahan polisi di bawah Presiden Marcos Jr. yang menyaksikan kembalinya keberadaan ketenteraan AS di Subic Bay serta pangkalan lain di Filipina menjadi faktor kritikal dalam memastikan rantaian sokongan dan bekalan ketenteraan kekal terjamin dan efektif.
BENTENG TERAKHIR
Australia dan New Zealand dilihat sebagai benteng terakhir Barat di rantau ini untuk memecah pegangan kuasa Beijing. Justeru, kedua-dua negara tersebut tidak akan dibenarkan tumbang kepada kesan domino kuasa Beijing, dan AUKUS menjadi simbol kepada ketersediaan Barat untuk kembali ke metodologi Perang Dingin.
AUKUS juga disasarkan sebagai mesej kritikal kepada China dan kepimpinan elit Parti Komunis China diketuai Presiden Xi Jinping bahawa AS sentiasa mempunyai kelebihan barisan sekutu dan rakan penting dalam kubu Barat. Sekutu lama termasuk Jepun, Filipina, Korea Selatan memerlukan keefisienan dan kesepakatan Barat yang lebih sistematik dan holistik dalam menangani ancaman Beijing, dan harapan mereka tercapai dengan persetujuan AUKUS yang akan membekalkan kapasiti cegah rintang paling berkesan dalam konteks mengekang hasrat Beijing di Laut China Selatan dan agenda di Taiwan.
Bagi Canberra, AUKUS menjadi sandaran terpenting yang dapat menjamin kelangsungannya untuk sekurang-kurangnya tiga dekad akan datang. Canberra yang tidak memiliki kapasiti pertahanan mencukupi untuk menghalang kepelbagaian alat serta kaedah Beijing sedar tentang keperluan untuk mencipta rangka cegah rintang dan pertahanan yang paling efektif, langsung, dan berdaya tahan.
Kos keseluruhan RM1.10 trilion sehingga 2055 dilihat bukan sahaja sebagai satu pelaburan pertahanan yang menjamin keselamatan jangka panjang Australia, malah turut memberikan spin off effects dari segi pulangan ekonomi, pemindahan kepakaran dan teknologi serta peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.
Keghairahan Canberra dalam memilih kapal selam berkuasa nuklear ini adalah hasil daripada keefisienan dan kapasiti komprehensif yang menjadikan kelebihan ini jauh lebih berkuasa tinggi dan berkeupayaan tinggi daripada jenis kapal selam konvensional lain. Kapal selam yang menggunakan kuasa enjin diesel memerlukan sumber minyak untuk beroperasi, dan ini memaksa kapal selam tersebut kembali ke permukaan air untuk bekalan minyak, seterusnya memudahkan pemantauan dan pengesanan oleh musuh.
Sebaliknya, kapal selam berkuasa nuklear tidak memerlukan sumber tenaga lain. Ini membolehkan kapal selam tersebut untuk terus berada di bawah permukaan air bagi tempoh masa yang lama sehingga bertahun lamanya tanpa perlu untuk timbul di permukaan. Canberra tidak memiliki keupayaan untuk membina kapal selam nuklear sendiri, dan ia akan memperoleh Virginia class attack submarines hasil daripada AUKUS.
Setakat ini, hanya enam kuasa dunia memiliki kapasiti kapal selam berkuasa nuklear iaitu AS, UK, Russia, Perancis, China dan India. Kemasukan Australia dalam rangkaian elit ini sesungguhnya menggusarkan China, walaupun ternyata Beijing memiliki jauh lebih tinggi jumlah kapal selam nuklearnya iaitu sebanyak 12 manakala India hanya satu.
Walaupun segelintir negara ASEAN menzahirkan kegusaran mengenai implikasi negatif AUKUS terhadap kestabilan keselamatan serantau, banyak pelaku lain turut menerima impak positif. AUKUS kian dilihat dalam hanya dua dimensi, iaitu sebagai penyelamat atau penggugat kepada kepentingan dan keselamatan pelaku tertentu.-UTUSAN
PENULIS ialah Penolong Pendaftar di Universiti Malaya.










