Tanpa kejujuran, masyarakat madani hanya retorik

Tanpa kejujuran, masyarakat madani hanya retorik

NEGARA memerlukan masyarakat yang jujur untuk mendukung keenam-enam tonggak yang digariskan untuk mencapai konsep Membangun Malaysia Madani. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIFAT kejujuran dalam konteks kehidupan manusia ditakrifkan sebagai individu yang memiliki sifat-sifat seperti ikhlas, tulus dan lurus hati. Ironinya, bukan mudah untuk bersikap jujur dalam kehidupan seharian kerana ia adalah satu pilihan. Namun, jika kita berhasrat untuk merealisasikan gagasan besar membentuk masyarakat madani maka kejujuran perlu diangkat sebagai tunjang yang boleh mendukung impian tersebut.

Untuk menjadi masyarakat madani, kita memerlukan warganegara yang boleh berlaku jujur kepada diri, keluarga, orang lain dan negara secara keseluruhannya. Ironinya, pada hari ini masalah defisit kejujuran menghantui masyarakat apabila masalah rumah tangga, keluarga, rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan terus meningkat secara mendadak dan cukup membimbangkan.

Justeru, kita memerlukan masyarakat yang jujur untuk mendukung keenam-enam tonggak yang digariskan untuk mencapai konsep Membangun Malaysia Madani, iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan. Hanya nilai kejujuran mampu menterjemahkan tonggak ini menjadi realiti dalam membentuk masyarakat madani.

Memuatkan artikel berkaitan…

Misalnya, kita memerlukan penjawat awam yang jujur dan amanah melaksanakan tugas kerana mereka adalah tonggak pentadbiran kerajaan serta pelaksana dasar diperkenalkan. Maka tidak boleh ada lagi unsur rasuah dan penyelewengan dalam perkhidmatan awam, sebaliknya tata kelola dan tadbir urus perlu diperkasakan melalui sifat kejujuran dan prinsip integriti yang tinggi.

Kita juga memerlukan pemimpin dan ahli politik yang jujur, yakni sedar dan tahu tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat. Ini penting kerana sebagai pembuat dasar, kelompok ini tidak boleh dibelenggu dengan masalah defisit kejujuran yang akan menjejaskan kestabilan negara sekali gus merobek keyakinan rakyat dan akhirnya menggagalkan usaha pembentukan masyarakat madani.

Selain itu, kita juga memerlukan warganegara yang boleh membudayakan dan mengamalkan sifat kejujuran dalam semua aspek kehidupan baik dalam soal peribadi, kerjaya mahupun perhubungan antara kaum. Ini penting kerana mana mungkin kita boleh membentuk masyarakat madani jika masyarakat sendiri tidak bersedia dan tidak mampu berlaku jujur.

Misalnya, kita mahu suami dan isteri berlaku jujur kepada pasangan masing-masing selain anak-anak juga berlaku jujur dengan ibu bapa. Hakikatnya, ketika ini seolah-olah sudah menjadi satu kelaziman dalam keluarga dengan senario di mana suami tipu isteri, isteri tipu suami dan anak-anak juga mula menipu ibu bapa akibat pengaruh luar yang tidak sihat. Ini menunjukkan tiada siapa rasa takut atau malu untuk menipu orang lain lebih-lebih lagi ahli keluarga sendiri.

LAMPU ISYARAT
Kita juga mahu rakyat jujur mematuhi peraturan serta undang-undang, bukan kerana takut tindakan daripada pihak berkuasa. Misalnya, ketika di jalan raya, kita langgar lampu isyarat dengan alasan mahu segera ke sesuatu tempat dan hanya memperlahankan kenderaan jika ada anggota polis yang bertugas atau ketika melalui kawasan dipasang kamera pengawasan automatik. Jika tidak, kita akan memecut selaju mungkin dengan melanggar segala arahan had laju ditetapkan. Dalam hal ini di mana nilai kejujuran dan kita menipu siapa sebenarnya?

Selain itu, sebagai pekerja, kita mahu rakyat bekerja dengan jujur dan amanah. Hakikatnya, masih ramai culas dan suka mengular dengan tidak menunaikan tanggungjawab dan melakukan kerja yang diamanahkan. Sikap dan tingkah laku seperti sering datang lewat ke pejabat, ponteng kerja, keluar minum terlalu lama, sering keluar pejabat atas urusan peribadi, salah guna kemudahan cuti sakit dan menggunakan kemudahan pejabat untuk diri dan keluarga sendiri adalah antara senario lazim yang berlaku dalam kalangan pekerja. Sikap seperti ini perlu diperbaiki dan dihentikan segera.

Sebagai peniaga misalnya, berniaga dan carilah rezeki yang halal dengan jujur. Jangan sesekali menipu dan cuba mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan sekali gus menganiaya pengguna.
Negara juga memerlukan rakyat yang jujur memperkasa perpaduan kaum dengan menerapkan sikap saling hormat menghormati perbezaan yang ada dan sama sekali tidak menyentuh isu-isu sensitif apatah lagi membuat provokasi. Letaklah titik noktah kepada segala persengketaan yang ada sebaliknya berpaut kepada enam tonggak kerangka dasar masyarakat madani sebagai cara hidup harmoni.

Hakikatnya, kejujuran tidak boleh dijual beli. Harga sesebuah kejujuran itu tiada galang gantinya. Masyarakat perlu sedar bahawa berlaku jujur itu satu pilihan dan kita perlu membuat pilihan yang tepat dan betul supaya tidak hilang identiti jati diri. Ingat, masyarakat madani yang kita impikan itu hanya akan terbentuk jika sifat kejujuran menjadi tonggak pegangan dan amalan setiap seorang daripada kita.

Antara tips untuk membudayakan sikap jujur ialah kita perlu ada keberanian dan kekuatan untuk berterus terang dalam setiap urusan. Ini bermaksud kita jangan biasakan sikap berbohong dan menyembunyikan perkara sebenar dari pengetahuan orang lain. Berkata benarlah walaupun ia pahit untuk didengar.

Sikap jujur juga boleh dipupuk jika kita sentiasa berpegang teguh kepada ajaran agama dan peraturan serta undang-undang yang ada. Ironinya semua agama menganjurkan penganutnya jujur dan ikhlas dalam semua aktiviti kehidupan, malah pematuhan terhadap undang-undang pula akan sentiasa melindungi diri dan tidak akan memberi sebarang kesan negatif kepada orang lain akibat tindak tanduk kita.
Tuntasnya, jadikan sifat kejujuran sebagai tunjang pembentukan masyarakat madani dengan berlaku jujur baik kepada diri sendiri, keluarga, orang sekeliling dan negara.-UTUSAN

PENULIS ialah pentadbir universiti & penganalisis isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×