‘Nyanyi lagu Melayu asli kena sabar, sopan’ - Utusan Malaysia

‘Nyanyi lagu Melayu asli kena sabar, sopan’

Kontinjen USIM bersama Megat Sany selepas dinobatkan sebagai juara keseluruhan Festkum di Pusat Kebudayaan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM, Serdang baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAGU Melayu asli sinonim dengan kesukaran teknik nyanyian apatah lagi lenggoknya, berbeza berbanding lagu kontemporari.

Namun, genre muzik itu menjadi pilihan penuntut tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Komunikasi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Amirul Zahid Amadnoh, 23, bagi mempertahankan seni warisan tradisi.

Kesungguhan pemuda dari Johor itu menyanyikan lagu Melayu asli turut membolehkannya dinobatkan sebagai johan bagi kategori berkenaan dalam Festival Kebudayaan Universiti-universiti Malaysia (Festkum) 2022 di Universiti Putra Malaysia (UPM), baru-baru ini.

Amirul Zahid berkata, nyanyian lagu asli disifatkan mencabar kerana menuntut kesabaran dan sopan-santun pelantunnya.

Katanya, lenggok dan cengkoknya juga sangat berbeza di samping memerlukan kawalan pernafasan yang baik.

“Saya mula menyanyi sejak sekolah menengah lagi dengan menyertai pasukan nasyid tetapi minat terhadap lagu asli hanya bercambah apabila di universiti dan sempat dibimbing rakan senior seketika.

“Tetapi selepas itu saya tiada guru dan sekadar mendengar sahaja lagu-lagunya. Saya tidak sangka penyertaan sulung dalam pertandingan nyanyian lagu asli membuahkan hasil hingga berjaya muncul johan dalam acara di Festkum,” katanya.

Menurut Amirul Zahid, dalam pertandingan itu dia mempertaruhkan lagu bertajuk Seri Banang yang berkisar tentang cinta tidak kesampaian.

Katanya, tempoh lebih tiga minggu diperuntukkan bagi menjalani latihan termasuk berguru dengan pakar iaitu Abdul Rahman Kamarudin atau lebih mesra disapa Bak Man dan Azizul Haqim.

“Menyanyi lagu Melayu asli tidak mudah dan seminggu sebelum Festkum, saya berdepan masalah kesihatan kerana demam.

“Bagi menguasai Seri Banang, saya menggunakan kaedah mendengar berulang kali dan mengikut gaya nyanyian yang diajar oleh cikgu sehingga betul semua lenggoknya,” katanya.

Amirul Zahid berkata, idolanya dalam muzik ini adalah kedua-dua gurunya dan berhasrat untuk meneruskan nyanyian lagu Melayu asli walaupun bukan bergelar penyanyi di arus perdana.

Dalam pada itu, katanya, generasi muda tidak sepatutnya meminggirkan lagu Melayu asli kerana seni tersebut menggambarkan jati diri bangsa terutama keindahan bahasa dan keunikan gaya nyanyian.

“Lagu Melayu asli adalah warisan seni budaya kita yang tulen dan pusaka ini perlu terus dipelihara serta diwarisi zaman-berzaman,” katanya.

USIM muncul johan keseluruhan Festkum 2022, sekali gus mengetepikan 13 pencabar lain.

Prestasi membanggakan itu hasil kejayaan membolot enam anugerah yang dipertandingkan iaitu juara lagu Melayu asli, naib juara sayembara puisi dan tempat ketiga rentak bitara di samping vokal, instrumensi dan persembahan terbaik.

Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Ismail Ahmed berkata, kemenangan itu merupakan yang pertama selepas dinobatkan di tempat kedua dalam acara sama pada 2010, kira-kira 13 tahun lalu.

Katanya, Festkum kali ini mempertaruhkan empat acara iaitu lagu Melayu asli dan sayembara deklamasi puisi bagi kategori perseorangan, manakala berkumpulan pula ialah rentak bitara (muzik moden) dan nasyid.

“Lebih manis apabila wakil USIM, Amirul Zahid Amadnoh, 23, menggondol dua anugerah iaitu lagu Melayu asli dan vokal terbaik di samping kategori berkumpulan yang cemerlang dengan tiga anugerah.

“Saya kagum dengan semangat dan kesungguhan pelajar kerana menggambarkan yang mereka memerlukan satu bentuk program untuk menguji bakat serta skil dimiliki,” katanya.

Penyampaian hadiah disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian. Turut hadir, Pengerusi Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (Makum), Prof. Dr. Arifin Abdu.

Hampir 500 penonton menyaksikan acara penutup dan penyampaian hadiah yang diadakan di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Sementara itu, Ismail percaya, Festkum yang dianjurkan Makum dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dapat menyuntik keinginan luar biasa dalam diri para peserta untuk meningkatkan ilmu dalam aspek persembahan seni.

Katanya, kontinjen USIM diwakili oleh 22 orang delegasi dengan diiringi lima pegawai penyelaras.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN