Sejak disahkan hamil anak sulung seminggu lalu, Audra mudah sangat rasa penat. Lebih merisaukan Audra, jantungnya kerap berdegup laju. Malah dia pernah pitam ketika sedang memasak. Suaminya segera membawa Audra ke klinik berhampiran. Menurut doktor, Audra mengalami kekurangan zat dalam badan terutama zat besi. Ketua Perkhidmatan Perubatan Siti Healthcare Sdn.Bhd. Dr.Nur Safiyyah Sabri, berkata kekurangan zat pemakanan yang sering dialami wanita hamil adalah kekurangan zat besi dan kalsium.
Tanda ibu hamil mengalami kekurangan zat besi adalah mudah keletihan, jantung berdegup laju, mudah pening, pitam, tapak tangan dan bibir yang pucat. Manakala kekurangan kalsium akan menyebabkan kekejangan otot kaki dan kerosakan gigi.
“Wanita hamil dengan masalah kekurangan zat, boleh memberi kesan kepada tumbesaran bayi dalam kandungannya. Ini akan meningkatkan risiko kecacatan tulang belakang bayi (spina bifida). Bayi mungkin dilahirkan pramatang serta boleh mengancam nyawanya,” katanya kepada Seri.
Kekurangan darah atau anemia adalah masalah kesihatan yang sering dihidapi oleh wanita hamil. Salah satu punca utama berlaku anemia adalah kekurangan zat besi. Pemeriksaan darah (hemoglobin) secara berkala perlu dibuat untuk membuat pengesanan awal.
Anemia yang tidak dirawat boleh menyebabkan komplikasi seperti kelahiran pra matang, kematian bayi dalam kandungan dan kemurungan selepas kelahiran. Kesan yang mungkin terjadi kepada bayi pula adalah tumbesaran yang terhenti, perkembangan akal terganggu dan psikomotor yang perlahan.
Atasi kurang zat
Wanita hamil yang mengalami gejala atau petanda kekurangan zat, perlu mengambil makanan tambahan. Bagaimanapun perlu mengikut saranan ahli farmasi atau doktor bertauliah.
Makanan tambahan seperti asid folik digalakkan semasa merancang kehamilan bagi memenuhi keperluan ketika hamil kelak.
“Makanan tambahan diperlukan oleh wanita hamil untuk mengelakkan kesan daripada masalah kekurangan vitamin dan mineral. Ia juga bagi memastikan wanita hamil sentiasa bertenaga sepanjang kehamilan.
“Ia mempunyai nutrisi seimbang perlu diamalkan untuk mengelakkan kekurangan zat sepanjang tempoh kehamilan. Ibu tidak perlu bimbang dengan kesan sampingan jika makanan tambahan diambil dalam kadar yang diperlukan oleh badan. Pastikan juga hanya mengambil makanan tambahan yang disyorkan oleh doktor atau ahli farmasi bertauliah,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, tidak semua wanita hamil memerlukan makanan tambahan seperti asid folik, kalsium, susu ibu untuk ibu hamil dan sebagainya.
Antaranya wanita hamil yang sentiasa mengamalkan pemakanan seharian yang seimbang dan bernutrisi sebelum dan selepas disahkan kehamilan.
Wanita hamil yang mempunyai masalah kesihatan atau mengalami masalah pengambilan makanan harian yang seimbang akibat alahan semasa mengandung perlu mengambil makanan tambahan.
“Sekiranya wanita hamil mempunyai masalah berkaitan dengan kehamilan seperti anemia, makanan tambahan seperti vitamin zat besi (iron supplement) perlu diambil sepanjang kehamilan. Ini mungkin diteruskan selepas bersalin mengikut nasihat doktor yang memeriksa pesakit.
“Wanita hamil yang berisiko tinggi untuk mendapat eklampsia (sawan akibat darah tinggi) juga dinasihatkan untuk mengambil pil kalsium 1.2 gram (g) setiap hari sehingga bersalin. Ini adalah sebagai salah satu cara untu mengurangkan risiko eklampsia dalam kalangan ibu hamil,” katanya.
Makanan daripada sumber semulajadi adalah lebih baik kerana bersifat pelbagai nutrisi (multinutrient). Sebagai contoh satu jenis sayuran hijau mengandungi pelbagai zat.
Antaranya seperti asid folik, zat besi, kalsium, pelbagai vitamin dan mineral. Ia bagi memenuhi nutrisi seharian jika diambil dalam kadar disarankan.
Amalan selepas bersalin
Dr. Nur Safiyyah berkata, keperluan nutrisi seimbang masih diperlukan selepasa ibu melahirkan bayi.
Ini kerana tempoh selepas bersalin atau ‘berpantang’ adalah waktu yang kritikal untuk wanita menjalani proses pemulihan yang melibatkan fisiologi tubuh badan.
“Saranan pemakanan semasa berpantang mengikut budaya boleh diamalkan tetapi perlu mengikut diet yang mengandungi pelbagai nutrisi seperti protein, serat, vitamin dan mineral. Makanan yang perlu dielakkan adalah makanan yang mengandungi garam dan bahan pengawet yang tinggi seperti ikan kering/masin/jeruk, biskut kering yang kurang nutrisi dan kafein yang boleh menyebabkan kesukaran untuk tidur.
“Pengambilan air yang mencukupi iaitu sekitar 2-2.5 liter sehari penting untuk memastikan kesimbangan eletrolit dan menyegarkan tubuh badan.
“Wanita semasa berpantang digalakkan melakukan senaman ringan untuk melancarkan peredaran dalam darah dan membantu mengelakkan kemurungan,” katanya.









