PETALING JAYA: Pelakon, Anzalna Nasir mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan lambakan trend makanan yang manis dan pelik yang tular di media sosial ketika ini.
Anzalna atau Nur Anzalna Md Nasir, 38, berkata, dia sendiri tidak terlepas daripada perasaan mahu mencuba, namun tetap meletakkan faktor kesihatan sebagai keutamaan.
“Saya perasan sekarang banyak makanan pelik dan manis yang tular. Apabila melihat ulasan yang menarik, terus rasa mahu mencuba.
“Kadang-kadang kita mahu menyokong peniaga kerana tahu mereka mencari rezeki, tetapi jangan lupa fikir tentang kesihatan diri. Kalau teringin boleh cuba, tetapi jangan terlalu mengikut nafsu,” katanya menerusi satu hantaran di Threads miliknya.
Dalam pada itu, Anzalna secara berseloroh mengakui pesanan tersebut sebenarnya ditujukan untuk dirinya sendiri yang juga gemar makan makanan manis.
“Makan berpada-pada, kesihatan lebih penting. Peringatan untuk diri sendiri juga yang suka makan manis-manis walaupun tahu diri sudah manis,” ujarnya.
Untuk rekod, Anzalna mula dikenali menerusi pertandingan Dewi Remaja 2009/2010 dan kini lebih fokus kepada keluarga serta perniagaan selain aktif sebagai personaliti media sosial.










